BEIRUT: Hezbollah telah mengosongkan kedudukan di selatan dan timur Lebanon selepas ancaman balas Israel terhadap serangan maut di bandar Druze Majdal Shams di Bukit Golan, kata sumber yang rapat dengan kumpulan itu pada 28 Julai.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, berikrar “menggempur musuh dengan kuat” sehari selepas tembakan roket dari Lebanon membunuh 12 kanak-kanak bawah umur di bandar Majdal Shams.
Ketegangan terbaru menimbulkan kebimbangan bahawa perang di Gaza akan merebak.
Israel menyalahkan pergerakan Hezbollah kerana menembak roket Falaq-1 buatan Iran, tetapi kumpulan yang disokong Iran itu – yang kerap menyasarkan kedudukan tentera Israel – berkata ia “tiada kaitan” dengan insiden tersebut.
“Hezbollah telah mengosongkan beberapa kedudukan di selatan dan di lembah Bekaa yang mereka kira boleh menjadi sasaran Israel,” kata sumber yang rapat dengan kumpulan itu.
Hezbollah mempunyai kehadiran yang kuat di lembah Bekaa timur Lebanon, yang bersempadan dengan Syria, dan di selatan Lebanon, di mana ia telah melancarkan serangan hampir setiap hari ke atas kedudukan Israel sejak Oktober 2023 untuk menyokong sekutu Hamas.
Pertukaran tembakan sebahagian besarnya terbatas kepada kawasan sempadan, tetapi Israel telah berulang kali menyerang jauh ke dalam Lebanon.
Hezbollah juga dikerahkan di Syria untuk menyokong Presiden Bashar al-Assad dalam perang saudara bertahun-tahun di negaranya.
Kumpulan Pemerhati bagi Hak Asasi Manusia Syria, berkata kumpulan pro-Iran dan pejuang yang bersekutu dengan Hezbollah telah “berkongsi kedudukan mereka” di selatan ibu negara dan di kawasan luar bandar Damsyik, serta di beberapa bahagian di Dataran Tinggi Golan yang dikawal Syria, dalam menjangkakan “serangan udara Israel”.
Hezbollah telah pun meninggalkan kedudukan di Syria pada awal Jun selepas serbuan Israel, menurut pusat maklumat yang berpangkalan di Britain.
Sejak perang saudara Syria meletus pada 2011, Israel melakukan ratusan serangan di negara itu, terutama menyasarkan kedudukan tentera dan pejuang yang disokong Iran, termasuk Hezbollah.
Pihak berkuasa Israel berulang kali berkata mereka tidak akan membenarkan musuh ketatnya Iran meluaskan kehadirannya di sana.
Serangan Israel ke atas Syria semakin rancak selepas serangan kumpulan Palestin Hamas pada 7 Oktober ke atas selatan Israel yang mencetuskan perang di Jaluran Gaza tetapi reda selepas serangan 1 April oleh Israel ke atas bangunan konsular Iran di Damsyik.
Serangan itu mendorong Iran melancarkan peluru berpandu dan dron buat pertama kali terhadap Israel pada 13 hingga 14 April, menyebabkan ketegangan serantau memuncak.
Syarikat Penerbangan Lebanon (MEA) berkata dalam satu kenyataan bahawa ia telah menjadualkan semula beberapa penerbangan pada 28 dan 29 Julai, memetik “sebab teknikal yang berkaitan dengan risiko perlindungan insurans“.
MEA ialah syarikat penerbangan Lebanon yang beribu pejabat di Beirut dan mengendalikan penerbangan ke pelbagai destinasi di Asia Barat, Eropah, Afrika dan seterusnya.
Terdahulu, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Perancis mengeluarkan amaran keselamatan untuk rakyat mereka dengan menasihati agar tidak ke Lebanon, atas risiko gangguan dalam perjalanan udara akibat ketegangan serantau yang semakin meningkat. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg