WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 24 November telah memulakan proses menetapkan beberapa cabang Ikhwanul Muslimin sebagai organisasi pengganas asing dan sejagat.
Langkah tersebut sekali gus akan menyaksikan Amerika membawa sekatan terhadap salah satu gerakan Islam tertua dan paling berpengaruh di dunia Arab.
Beliau menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio, dan Setiausaha Perbendaharaan, Encik Scott Bessent, agar mengemukakan laporan mengenai penetapan mana-mana cabang Ikhwanul Muslimin, seperti yang ada di Lebanon, Mesir dan Jordan.
Demikian menurut kenyataan Rumah Putih.
Ia mengarahkan mereka supaya meneruskan sebarang penetapan terhadap cabang-cabang tersebut dalam tempoh 45 hari daripada laporan itu disiapkan.
Pentadbiran Encik Trump telah menuduh cabang Ikhwanul Muslimin di negara tersebut sebagai menyokong atau menggalakkan serangan ganas terhadap Israel dan sekutu Amerika yang lain.
Mereka turut dituduh memberi sokongan kepada kumpulan militan Palestin, Hamas.
“Presiden Trump sedang berdepan dengan rangkaian rentas negara Ikhwanul Muslimin yang mencetuskan pengganasan dan kempen ketidakstabilan terhadap kepentingan dan sekutu Amerika di Timur Tengah,” kata kenyataan itu.
Parti Republikan dan suara sayap kanan telah lama menyokong dan mempertimbangkan langkah melabel Ikhwanul Muslimin sebagai kumpulan pengganas.
Encik Trump telah melakukan usaha serupa semasa penggal pertama pemerintahannya.
Bahkan, beberapa bulan selepas penggal keduanya bermula, Encik Rubio berkata, pentadbiran Encik Trump sedang berusaha menetapkan pergerakan itu sebagai organisasi pengganas.
Gabenor Texas, Encik Greg Abbott, juga seorang Republikan, pada minggu lalu telah memberi gelaran yang sama ke atas Ikhwanul Muslimin di peringkat negeri.
Ikhwanul Muslimin ditubuhkan di Mesir pada 1920-an sebagai gerakan politik Islam untuk menentang penyebaran idea sekular dan nasionalis.
Pergerakan itu cepat merebak ke seluruh negara Islam, menjadi pemain utama tetapi sering beroperasi secara rahsia.
Agensi berita, Reuters, sebelum ini melaporkan mahkamah tentera Jordan pada 8 Oktober telah menjatuhkan hukuman penjara tiga hingga 15 tahun terhadap sembilan pesalah berhubung dakwaan komplot berkaitan Ikhwanul Muslimin untuk menggugat kestabilan negara.
Kes tersebut menyebabkan pihak berkuasa mengharamkan kumpulan pembangkang terbesar di negara itu.
Menurut mahkamah, pesalah itu adalah antara lebih sedozen anggota Ikhwanul Muslimin yang ditahan pada April, dituduh menerima latihan dan pembiayaan di Lebanon untuk melakukan serangan di dalam Jordan dengan menggunakan roket dan dron.
Pihak berkuasa berkata, anggota kumpulan itu telah merancang serangan ke atas sasaran keselamatan dan lokasi sensitif di Jordan. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg