AMMAN: Arahan eksekutif yang ditandatangani Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada 24 November menandakan perkembangan paling tegas setakat ini dalam usaha Washington melabel tiga cabang Ikhwanul Muslimin di Mesir, Jordan dan Lebanon sebagai organisasi pengganas asing (FTO).
Pelaksanaan itu, jika diteruskan, boleh mengubah landskap politik Asia Barat sekali gus mencetuskan tindak balas diplomatik dan ideologi yang sukar diramal.
Dalam arahan tersebut, Encik Trump menuduh cabang berkenaan “terlibat atau menyokong pengganasan serta kempen ketidakstabilan yang menjejas wilayah mereka, rakyat Amerika, dan kepentingan Amerika”.
Washington turut berjanji bekerjasama dengan “rakan serantau untuk menghapuskan kapasiti operasi Ikhwanul Muslimin”.
Langkah itu memperbaharui tekanan lama terhadap gerakan itu.
Bagaimanapun kali ini, pendekatan lebih tertumpu terhadap tiga cabang tertentu dan bukan setakat Ikhwanul Muslimin secara keseluruhan.
Arahan tersebut mendakwa ‘pemimpin kanan’ Ikhwanul Muslimin Mesir menyeru serangan ganas terhadap kepentingan Amerika pada 7 Oktober 2023.
Namun, nama individu dan butiran kenyataan itu tidak didedahkan, sekali gus menimbulkan persoalan ketelusan.
Hakikatnya, Ikhwanul Muslimin di Mesir telah lumpuh sepenuhnya sejak rampasan kuasa tentera pada 2013 yang menggulingkan Presiden Mohammed Morsi.
Ribuan anggota dipenjara, manakala kepimpinan utama melarikan diri ke luar negara.
Sebelum ‘Arab Spring’, gerakan itu adalah salah satu entiti sosial politik paling berpengaruh dalam dunia Arab.
Ia menekankan pembinaan “individu Muslim dalam masyarakat Muslim” dengan impian jangka panjang membentuk semula tamadun politik Islam.
Namun selepas 2011, Ikhwan berdepan konflik dalaman dan tekanan negara sehingga berpecah kepada tiga puak.
Revolusi Syria, kejatuhan rejim Assad dan kebangkitan Ahmad al-Sharaa menyebabkan gerakan itu terus kehilangan konsensus dan arah yang jelas.
Sasaran ke atas cabang Jordan berpunca daripada dakwaan beberapa pemimpinnya memberikan sokongan kebendaan kepada Briged al-Qassam, sayap bersenjata Hamas.
Pada April, kerajaan Jordan mengharamkan Ikhwanul Muslimin, merampas pejabat, dokumen dan mematikan kegiatan mereka.
Pengharaman itu dibuat selepas dakwaan wujud komplot sejak 2021 melibatkan sel militan dan penahanan 16 ahli Ikhwan antara 2023 dengan 2025.
Menurut pihak keselamatan Jordan, mereka telah “melintasi garis merah dengan berkomplot terhadap negara”.
Cabang Lebanon, Jamaa Islamiya, mempunyai sejarah kompleks sejak penubuhannya pada 1964.
Sayap ketenteraannya, al-Fajr, muncul sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Israel pada 1982.
Hubungan Jamaa Islamiya dengan Hezbollah sering berayun antara kerjasama taktikal dengan pertentangan ideologi.
Selepas 7 Oktober 2023, hubungan itu semakin rapat kerana penyelarasan Hamas-Hezbollah berdepan Israel di sempadan selatan Lubnan.
Seorang penganalisis pernah menyifatkan Jamaa Islamiya sebagai “lanjutan operasi Hamas di Lebanon”, walaupun jumlah anggotanya hanya sekitar 500 orang.
Encik Trump menjadikan hubungan Jamaa Islamiya dengan Hamas dan kumpulan Palestin bersenjata sebagai pewajaran pengiktirafan FTO.
Menurut ramai penganalisis, arahan Encik Trump itu lebih dipengaruhi politik dalaman Amerika daripada keadaan sebenar di Timur Tengah.
Dr H. A. Hellyer, dari Institut Perkhidmatan Bersatu Diraja (Rusi) berkata:
“Faktor baru yang perlu diperhatikan adalah bagaimana golongan kanan Republikan menggunakan isu ini dalam perang budaya Amerika.
“Ia bukan semata-mata tentang Mesir, Jordan atau Lebanon.”
Pensyarah Kanan di Jabatan Pengajian Pertahanan, King’s College London, Profesor Andreas Krieg, pula menegaskan lingkaran dalaman Encik Trump – “mengaburkan perbezaan antara jihadisme Salafi dengan Islam politik arus perdana,” satu naratif yang kini diterjemahkan ke dalam dasar luar Amerika.
Beberapa kerajaan Arab seperti Amiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir dan Jordan menyambut baik langkah itu kerana sejak lama menentang Ikhwanul Muslimin atas alasan kestabilan rejim.
Penganalisis Institut Timur Tengah Switzerland (Meis), Encik Francesco Salesio Schiavi, berkata:
“Ramai masyarakat Arab melihat Ikhwan bukan sekadar aktor politik, tetapi gerakan sosial dengan akar mendalam.
“Melabel mereka sebagai pengganas boleh mengecilkan ruang diplomasi Amerika di dunia Islam.”
Profesor Krieg pula memberi amaran langkah itu “mengesahkan naratif Amerika menyebelahi mana-mana autokrat yang menjanjikan kestabilan,” sambil menambah, ia akan memberi “propaganda percuma kepada jihadisme dan Iran”.
UAE secara khusus disebut sebagai pemain besar dalam melobi Washington.
Mereka dikatakan menggunakan firma perhubungan awam dan modal ekonomi untuk mengaitkan gerakan Islam politik dengan ekstremisme.
“Inilah pelan permainan Amiriah dan dasar Trump hampir meniru skrip itu,” kata Profesor Krieg.
Israel pula melihat keputusan itu sebagai peluang memberi tekanan kepada Turkey yang rapat dengan cabang Ikhwan di Mesir dan Hamas.
Encik Michael Young dari Carnegie Center berkata: “Ini adalah cara Israel mengehadkan ruang gerak Turkey, terutama dalam Syria pasca-Assad.”
Jika penyenaraian sebagai FTO dilaksana, Amerika perlu membuktikan cabang itu mengarahkan atau mengawal tindakan ganas – sesuatu yang sukar dibuktikan dari sudut undang-undang.
Encik Abdelrahman Ayyash dari Century International, menambah:
“Jika kerajaan gagal menunjukkan kawalan terhadap keganasan, kes ini boleh tewas di mahkamah dan ia melemahkan alat FTO untuk ancaman sebenar.”
Beliau menambah, menggabungkan aktivisme Islam politik dengan pengganasan hanya akan menguatkan naratif jihadis bahawa demokrasi hanyalah perangkap dan hanya kekerasan memberi hasil.”
Arahan Encik Trump itu adalah langkah strategik yang memperkukuh hubungan Washington dengan sekutu seperti UAE, Mesir dan Israel.
Namun motivasinya dibentuk kuat oleh politik dalaman Amerika, bukan semata-mata realiti di Timur Tengah.
Dengan menyasarkan cabang tertentu, Encik Trump memilih strategi lebih praktikal berbanding cubaan sebelumnya melabel Ikhwanul Muslimin secara keseluruhan.
Namun, langkah itu juga membuka risiko besar daripada cabaran undang-undang, keretakan diplomatik, hingga memperburuk imej Amerika di dunia Islam.
Bagi sebilangan penganalisis, ini bukanlah dasar antipengganasan yang kukuh, tetapi satu langkah “berorientasi ideologi, bukan berdasarkan tingkah laku”. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg