WASHINGTON: Amerika Syarikat telah melanggar larangan diplomatik yang telah lama dipegang dengan mengadakan perbincangan rahsia dengan Hamas untuk mendapatkan pembebasan tebusan warga Amerika yang ditahan di Gaza.
Sementara itu, Presiden Donald Trump memberi amaran keras bahawa akan ada “balasan yang dahsyat” jika kumpulan militan Palestin itu tidak mematuhi tuntutannya.
Utusan khas Amerika untuk urusan tebusan, Encik Adam Boehler, telah diberi kuasa oleh Rumah Putih untuk berunding secara langsung dengan Hamas, meskipun dasar Amerika selama beberapa dekad menolak daripada berunding dengan kumpulan yang dianggap sebagai organisasi pengganas.
Menurut dua sumber yang mengetahui tentang rundingan tersebut, Encik Boehler dan pegawai Hamas telah bertemu di Doha dalam beberapa minggu terakhir.
Namun, tidak jelas siapakah yang mewakili Hamas dalam pertemuan itu.
Di Rumah Putih, Encik Trump bertemu dengan sekumpulan tebusan yang telah dibebaskan di bawah perjanjian gencatan senjata Gaza, dan beliau mengeluarkan ancaman tegas terhadap Hamas melalui media sosial.
Beliau menuntut agar Hamas “membebaskan semua tebusan sekarang, bukan nanti,” termasuk menyerahkan mayat tebusan yang telah meninggal dunia, atau mereka akan menghadapi kesan yang serius.
Encik Trump menulis: “Saya menghantar segala yang diperlukan Israel untuk menyelesaikan tugas ini, tidak seorang pun anggota Hamas akan selamat jika anda tidak melakukan seperti yang saya katakan.”
Beliau turut memberi amaran kepada penduduk Gaza bahawa masa depan yang indah menanti mereka jika tebusan dibebaskan, tetapi jika tidak, mereka akan menghadapi akibat yang serius.
Kumpulan Hamas di Gaza mengecam amaran Encik Trump, dengan menyatakan bahawa ia menunjukkan niat pentadbirannya “untuk terus menjadi rakan dalam jenayah pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat kami”.
Hamas menambah: “Ancaman Trump hari ini jelas menunjukkan wajah hodoh Amerika Syarikat dan menunjukkan Trump tidak serius serta menolak perjanjian yang diusahakannya.”
Amerika telah lama menghindari hubungan langsung dengan Hamas, yang melakukan serangan rentas sempadan ke selatan Israel pada 7 Oktober 2023, sekali gus mencetuskan perang Gaza dahsyat yang telah mengorbankan lebih 48,000 rakyat Palestin, menurut pegawai kesihatan Gaza.
Jabatan Negara Amerika telah menamakan Hamas sebagai organisasi pengganas sejak 1997.
Sementara itu, salah satu sumber mengatakan bahawa usaha tersebut termasuk percubaan mendapatkan pembebasan Encik Edan Alexander dari Tenafly, New Jersey, yang dipercayai sebagai tebusan warga Amerika terakhir yang masih hidup yang ditahan oleh Hamas.
Beliau muncul dalam video yang diterbitkan oleh Hamas pada November 2024.
Empat tebusan Amerika yang lain telah diumumkan terkorban oleh pihak berkuasa Israel.
Sehingga kini, peranan Amerika dalam membantu mencapai gencatan senjata Gaza dan perjanjian pembebasan tebusan melibatkan kerjasama dengan Israel serta perantara dari Qatar dan Mesir, tanpa komunikasi langsung antara Washington dengan Hamas.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, memberitahu wartawan bahawa Encik Boehler “mempunyai kuasa” mengadakan perbincangan langsung dengan Hamas.
Beliau berkata Israel dirujuk tetapi tidak menunjukkan ia berlaku sebelum atau selepas perbincangan tersebut.
Cik Leavitt menggambarkan hubungan itu sebagai sebahagian daripada “usaha niat baik Trump untuk melakukan apa yang terbaik untuk rakyat Amerika”.
Pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu mengeluarkan kenyataan yang mengatakan:
“Israel telah menyampaikan kepada Amerika Syarikat pendiriannya mengenai perbincangan langsung dengan Hamas.”
Ia tidak mengulas lanjut tetapi Israel, bersama banyak negara lain menganggap Hamas sebagai organisasi pengganas, dan enggan berunding secara langsung dengan kumpulan itu.
Mantan timbalan pegawai perisikan nasional Amerika untuk Timur Tengah, Encik Jonathan Panikoff, berkata pendekatan diplomatik Trump yang tidak konvensional membuka risiko dan peluang.
Beliau berkata: “Di satu pihak, berunding secara langsung dengan Hamas boleh memudahkan pembebasan tebusan Amerika dan membantu mencapai perjanjian jangka panjang.
Sebaliknya, terdapat alasan mengapa Amerika biasanya tidak berunding dengan kumpulan pengganas, kerana mengetahui Washington akan berbuat demikian boleh mendorong mereka mengulangi tingkah laku tersebut di masa hadapan.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg