Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Trump anggap perbincangan mengenai Gaza ‘agak baik’

Feb 28, 2025 | 12:45 PM
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kanan) dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, berjabat tangan semasa sidang media bersama di Bilik Timur Rumah Putih di Washington, DC, pada 27 Februari 2025. 
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump (kanan) dan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, berjabat tangan semasa sidang media bersama di Bilik Timur Rumah Putih di Washington, DC, pada 27 Februari 2025.  - Foto AFP

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan pada 27 Februari bahawa terdapat “perbincangan yang agak baik” yang sedang berlangsung mengenai Gaza, apabila ditanya mengenai masa depan gencatan senjata antara Israel dan pejuang Hamas.

Bagaimanapun, beliau tidak memberikan maklumat terperinci semasa sidang media di Rumah Putih.
Gencatan senjata yang dilaksanakan dalam tiga fasa di Gaza bermula pada 19 Januari dan telah membawa kepada penyerahan 33 tebusan Israel yang ditahan di Gaza, serta kira-kira 2,000 tahanan dan penahanan rakyat Palestin yang dipenjara oleh Israel.

Fasa pertama yang berlangsung selama enam minggu dijadualkan tamat dalam dua hari. Israel pada 27 Februari mengumumkan bahawa mereka menghantar perunding ke Kahirah untuk berbincang mengenai lanjutan fasa pertama gencatan senjata ini.

Apabila ditanya sama ada fasa kedua gencatan senjata akan dilaksanakan, Encik Trump berkata, “Kita akan lihat apa yang akan berlaku. Tiada siapa yang tahu dengan pasti, tetapi kita akan lihat apa yang berlaku.” Beliau juga menambah, “Kami sedang mengadakan perbincangan yang agak baik.”

Israel dan Hamas saling menuduh antara satu sama lain melanggar gencatan senjata tersebut. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengyifatkan gambar-gambar tebusan Israel yang kurus dan tahanan Palestin yang dibebaskan sebagai gambar yang menyedihkan, yang menunjukkan keadaan sukar di mana mereka ditahan.

Perdana Menteri Britain, Keir Starmer, yang turut hadir dalam sidang media itu, mengulangi sokongan beliau terhadap penyelesaian dua negara, yang mencadangkan penubuhan sebuah negara untuk rakyat Palestin di Tebing Barat dan Gaza yang diduduki Israel, bersamaan dengan penubuhan Israel.

“Ya, saya percaya bahawa penyelesaian dua negara adalah satu-satunya cara untuk mencapai keamanan yang berkekalan di rantau ini,” kata Encik Starmer apabila ditanya mengenai cadangan Encik Trump yang mahu mengambil alih Gaza dan menghalau rakyat Palestin secara kekal.

Cadangan Encik Trump telah dikritik secara global sebagai usul untuk pengusiran etnik.
Serangan tentera Israel ke atas Gaza telah menyebabkan lebih daripada 48,000 rakyat Palestin terbunuh sejak Oktober 2023, menurut kementerian kesihatan Gaza, dan menimbulkan tuduhan mengenai jenayah genosid dan jenayah perang yang dinafikan oleh Israel.

Serangan tersebut telah memaksa hampir keseluruhan penduduk Gaza meninggalkan kediaman mereka dan mencetuskan krisis kebuluran.
Kekerasan terbaru dalam konflik Israel-Palestin yang telah berlarutan selama beberapa dekad ini bermula pada 7 Oktober 2023, apabila Hamas menyerang Israel, membunuh 1,200 orang dan mengambil kira-kira 250 tebusan, menurut kiraan pihak Israel. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg