Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS lulus penjualan 48 jet pejuang F-35 kepada Saudi
AS lulus penjualan 48 jet pejuang F-35 kepada Saudi
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump meluluskan potensi penjualan 48 jet pejuang siluman F-35 kepada Arab Saudi bernilai AS$24.3 bilion ($31.2 bilion), meskipun timbul kebimbangan dalam kalangan anggota Kongres dan pegawai pertahanan Amerika Syarikat bahawa teknologi sensitif pesawat itu boleh terdedah kepada China.
Jabatan Negara Amerika pada 17 September berkata ia sudah memaklumkan Kongres mengenai rancangan penjualan F-35 Lightning II keluaran Lockheed Martin itu, sekali gus membuka laluan kepada salah satu urus niaga senjata terbesar antara Washington dengan Riyadh.
Pakej tersebut merangkumi 48 jet F-35, 49 enjin Pratt & Whitney F135, termasuk sebuah enjin gantian, selain peralatan komunikasi, alat ganti, latihan dan sokongan logistik.
Jika dimuktamadkan, Arab Saudi akan menjadi negara Arab pertama yang memiliki F-35 dan negara kedua di Timur Tengah selepas Israel yang mengendalikan pesawat pejuang generasi kelima itu.
Israel kini satu-satunya negara di rantau tersebut yang mengendalikan F-35.
Jabatan Negara Amerika berkata penjualan itu akan menyokong dasar luar dan kepentingan keselamatan negara Amerika dengan meningkatkan keupayaan pertahanan Arab Saudi, yang mempunyai status sekutu utama bukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).
Menurut Washington, pesawat itu akan membantu Riyadh menghadapi ancaman semasa dan masa depan, memperkukuh pertahanan negara serta meningkatkan keupayaan tentera Arab Saudi bekerjasama dengan angkatan Amerika dan sekutunya.
Jabatan itu menegaskan bahawa penjualan tersebut “tidak akan mengubah keseimbangan ketenteraan di rantau itu”.
Kenyataan itu penting kerana Amerika sejak sekian lama mempunyai dasar memastikan Israel mengekalkan apa yang dikenali sebagai “kelebihan ketenteraan kualitatif” atau QME berbanding negara lain di Timur Tengah.
Dasar itu bertujuan memastikan Israel mempunyai keupayaan teknologi dan ketenteraan yang mencukupi untuk menghadapi kemungkinan ancaman daripada negara lain di rantau tersebut.
Penjualan F-35 kepada Riyadh dijangka mendapat penelitian Kongres, termasuk mengenai kesannya terhadap QME Israel serta hubungan pertahanan Arab Saudi yang semakin berkembang dengan China.
Antara yang membantah ialah anggota Demokrat dalam Jawatankuasa Perisikan Dewan Perwakilan, Encik Raja Krishnamoorthi.
Beliau memberi amaran bahawa penjualan itu tidak seharusnya diteruskan ketika terdapat kebimbangan dalam kalangan perisikan Amerika bahawa teknologi ketenteraan sensitif F-35 boleh jatuh ke tangan Beijing.
Kebimbangan itu berkait rapat dengan hubungan pertahanan Riyadh-Beijing, termasuk kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara.
F-35 merupakan antara sistem persenjataan paling canggih Amerika dan mempunyai teknologi siluman, radar, penderia serta sistem elektronik yang sangat sensitif.
Washington sebelum ini berdepan persoalan serupa berhubung rancangan menjual F-35 kepada Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Abu Dhabi pada Disember 2021 menggantung rundingan mengenai perjanjian bernilai AS$23 bilion yang merangkumi F-35 selepas timbul kebimbangan Washington mengenai hubungan UAE dengan China, termasuk penggunaan teknologi telekomunikasi Huawei.
Keputusan terbaru mengenai Arab Saudi dibuat ketika Riyadh berdepan keadaan keselamatan yang semakin mencabar, termasuk serangan peluru berpandu dan dron serta pertempuran baru dengan kumpulan Houthi di Yaman.
Houthi pada 16 September mendakwa telah menembak jatuh sebuah jet pejuang F-15 Arab Saudi di wilayah Marib.
Kumpulan itu mendakwa menggunakan peluru berpandu darat ke udara buatan tempatan untuk menjatuhkan pesawat tersebut.
Jika dakwaan itu disahkan, ia boleh menunjukkan peningkatan ketara keupayaan pertahanan udara Houthi, sedangkan Arab Saudi selama ini mempunyai kelebihan kekuatan udara dalam konflik Yaman.
Pertempuran antara Arab Saudi dengan Houthi juga semakin meningkat, dengan korban awam dilaporkan dalam serangan terbaru.
Amerika setakat ini menyatakan ia tidak akan campur tangan secara langsung dalam pertempuran antara Arab Saudi, pemerintah Yaman yang disokong Riyadh dan Houthi yang disokong Iran.
Dalam keadaan itu, pemerolehan F-35 akan memberi Arab Saudi keupayaan lebih maju dalam operasi udara ke udara dan udara ke darat serta memperkukuh usaha memodenkan angkatan udaranya.
Tentera udara Arab Saudi ketika ini mengendalikan beberapa jenis pesawat tempur termasuk F-15 buatan Amerika, selain Eurofighter Typhoon dan Tornado buatan Eropah.
Riyadh sudah bertahun-tahun berusaha mendapatkan F-35 dan membuat permintaan langsung kepada Encik Trump pada awal 2025.
Encik Trump kemudian mengumumkan pada November 2025 bahawa Washington berhasrat menjual pesawat tersebut kepada Arab Saudi.
Bagaimanapun, kelulusan Jabatan Negara itu tidak bermakna pesawat berkenaan akan dihantar dalam masa terdekat.
Kongres masih mempunyai ruang untuk meneliti dan membantah urus niaga berkenaan sebelum rundingan kontrak diteruskan.
Perdebatan di Washington dijangka tertumpu kepada dua persoalan utama – sama ada penjualan F-35 kepada Riyadh akan menjejaskan kelebihan ketenteraan Israel dan sejauh mana Amerika dapat memastikan teknologi sensitif pesawat itu tidak terdedah kepada China. – Agensi berita.
