WASHINGTON: Amerika Syarikat meluluskan cadangan penjualan senjata bernilai kira-kira AS$1.96 bilion (S$2.5 bilion) kepada Arab Saudi, selain pakej penyelenggaraan pesawat tentera bernilai AS$484 juta kepada Kuwait.

Jabatan Negara Amerika dalam satu kenyataan pada 15 Julai memaklumkan pakej untuk Arab Saudi merangkumi sehingga 10,000 unit sistem panduan udara ke udara Sistem Panduan Roket Berketepatan Tinggi (APKWS-II) serta 10,000 unit sistem panduan udara ke darat APKWS-II.

Pakej itu turut merangkumi pelancar, kepala peledak, enjin roket, fius, alat ganti, komponen pembaikan, dokumentasi teknikal, peralatan latihan serta sokongan logistik.

Menurut kenyataan itu, syarikat pertahanan BAE Systems yang berpangkalan di Nashua, New Hampshire akan menjadi kontraktor utama bagi urusan penjualan kepada Arab Saudi.

Dalam perkembangan berasingan, Washington turut meluluskan cadangan jualan ketenteraan asing kepada Kuwait bernilai AS$484 juta bagi penyelenggaraan pesawat pengangkut C-17 serta peralatan berkaitan.

Pakej itu meliputi komponen pesawat, alat ganti, aksesori, peralatan pengubahsuaian dan sokongan, peralatan pengendalian darat, sistem komunikasi, sokongan perisian, dokumentasi teknikal, latihan serta perkhidmatan logistik.

Kelulusan itu dibuat ketika Amerika terus memperkukuh kerjasama pertahanan dengan negara-negara Teluk di tengah-tengah ketegangan keselamatan yang berterusan di Asia Barat. - Agensi berita