Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jet F-35 AS bakal jual kepada Saudi tidak secanggih pesawat Israel

Nov 20, 2025 | 1:05 PM
Jet pejuang, F-35, Arab Saudi, Israel, Amerika Syarikat, penjualan
Israel dibenarkan mengubah suai jet pejuang F-35 tanpa memerlukan kelulusan Amerika Syarikat, termasuk menyepadukan sistem senjatanya sendiri di samping menambah keupayaan mematikan radar. - Foto EPA

WASHINGTON: Jet pejuang F-35 Amerika Syarikat yang bakal jual kepada Arab Saudi dikatakan kurang canggih berbanding yang dikendalikan oleh Israel.

Demikian kata pegawai dan pakar pertahanan Amerika pada 19 November.

Menurut mereka, ia adalah selaras dengan undang-undang Amerika yang menjamin kelebihan ketenteraan Israel di rantau tersebut.

Presiden Donald Trump mengumumkan penjualan itu minggu ini.

Menurut pegawai, pesawat Saudi itu tidak akan mempunyai ciri-ciri unggul armada Israel yang merangkumi sistem senjata canggih dan peralatan peperangan elektronik.

Penjualan jet tersebut dibincangkan dalam lawatan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman (MBS), di Rumah Putih pada 18 November.

Israel menikmati kebenaran unik mengubah suai F-35-nya, termasuk keupayaan menyepadukan sistem senjatanya sendiri di samping menambah keupayaan mematikan radar dan menaik taraf bahagian lain yang tidak memerlukan kelulusan Amerika.

Namun begitu, Tentera Udara Israel (IDF) menentang penjualan yang dirancang itu, memberi amaran dalam kertas kerja kepada pemimpin politik bahawa ia akan menjejas keunggulan udara Israel di rantau tersebut, lapor The Times of Israel, pada 18 November.

Meskipun Arab Saudi memperoleh jet tersebut, ia tidak mungkin menerima Peluru Berpandu Taktikal Lanjutan Bersama AIM-260, kata Pengarah Eksekutif, Institut Pengajian Aeroangkasa Mitchell, Encik Douglas Birkey.

AIM-260 adalah peluru berpandu udara-ke-udara generasi baru yang sedang dibangunkan untuk pesawat generasi kelima.

Jangkauan jarak peluru berpandu taktikal sejauh lebih 190 kilometer itu mewakili teknologi peluru berpandu paling sensitif yang berkaitan dengan platform F-35.

Peluru berpandu itu kemungkinan besar akan ditawarkan kepada Israel.

Jet F-35 disesuaikan untuk setiap negara dan juruterbang, dan Amerika mempunyai versi paling maju, dengan setiap negara lain menerima piawaian pesawat pejuang yang lebih rendah.

Jet pejuang yang dihasilkan untuk Arab Saudi oleh syarikat Lockheed Martin itu boleh dibuat dengan keupayaan teknologi lebih rendah berbanding jet Israel, berdasarkan pakej perisian yang dibenarkan.

Di luar perbezaan keupayaan, Israel mengekalkan kelebihan dari segi angka.

Ia kini mengendalikan dua skuadron F-35, dengan skuadron ketiga dalam pesanan.

Arab Saudi pula akan dihadkan kepada dua skuadron yang hanya akan siap untuk dihantar dalam masa beberapa tahun.

Israel telah mengendalikan F-35 di rantau itu selama kira-kira lapan tahun, memberikannya pengalaman ketara dalam mempelajari sistem dan keupayaan pesawat tersebut.

Pegawai Amerika berkata semakan rasmi kelebihan ketenteraan kualitatif (QME) diperlukan sebelum penjualan itu dimuktamadkan.

Sebarang penjualan kepada Arab Saudi biasanya mesti diluluskan oleh Kongres Amerika.

Seorang pegawai telah membayangkan, sokongan kuat Israel di Capitol Hill boleh menghalang kelulusan penjualan itu.

Pegawai turut menyatakan Israel sedang berusaha membawa Arab Saudi ke dalam Perjanjian Abraham untuk tujuan memulihkan keadaan serantau dan bagi mengelakkan hubungan yang tegang dengan Encik Trump.

Bantahan Kongres melalui resolusi bersama penolakan yang kalis veto, memerlukan majoriti dua pertiga di kedua-dua dewan untuk mengatasi veto presiden, ambang yang dianggap sukar dicapai.

Penjualan itu akan meletakkan Arab Saudi setaraf dengan Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang juga telah ditawarkan F-35.

Perjanjian tersebut masih tergendala akibat pertikaian mengenai jadual penghantaran, keupayaan pesawat dan kebimbangan mengenai akses China kepada teknologi tersebut. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg