AS lulus jualan pesawat, torpedo bernilai $2.95b kepada S’pura
AS lulus jualan pesawat, torpedo bernilai $2.95b kepada S’pura
WASHINGTON: Amerika Syarikat, pada 20 Januari, mengumumkan kelulusan penjualan pesawat rondaan maritim P-8A, torpedo dan peralatan berkaitan kepada Singapura bernilai AS$2.3 bilion ($2.95 bilion).
“Penjualan yang dicadangkan ini akan meningkatkan keupayaan Singapura untuk menangani ancaman semasa dan masa hadapan dengan menyediakan kekuatan maritim yang berwibawa serta mampu menghalang pihak lawan,” menurut Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan (DSCA) dalam satu kenyataan.
Ia juga akan “memperkukuh matlamat dasar luar dan keselamatan Amerika dengan meningkatkan keselamatan rakan strategik yang merupakan kuasa penting bagi kestabilan politik dan kemajuan ekonomi di Asia,” tambah DSCA.
Jabatan Negara Amerika telah meluluskan kemungkinan penjualan peralatan tersebut kepada Singapura, manakala DSCA pula telah mengemukakan pemberitahuan yang diperlukan kepada Kongres Amerika, yang masih perlu memberikan kelulusan muktamad terhadap transaksi tersebut.
Pada September 2025, Menteri Pertahanan Singapura, Encik Chan Chun Sing, berkata Singapura akan memperolehi empat pesawat rondaan maritim Boeing P-8A, dalam fasa pertama pembaharuan keupayaan keselamatan maritim Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Encik Chan memaklumkan keputusan tersebut kepada Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth, semasa satu pertemuan di Pentagon pada 10 September.
Kementerian Pertahanan (Mindef) telah dihubungi bagi mendapatkan maklumat lanjut. – AFP.

