Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS minta Italy bantu bentuk pasukan keselamatan baru di Gaza
AS minta Italy bantu bentuk pasukan keselamatan baru di Gaza
WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, secara rasmi meminta Italy menghantar penasihat polis, bomba dan pasukan polis tentera bagi membantu membentuk pasukan keselamatan baru di Gaza, sebagai sebahagian daripada usaha menstabilkan wilayah Palestin itu selepas perang.
Permintaan tersebut dikemukakan oleh Lembaga Keamanan yang dipengerusikan Trump menerusi beberapa surat kepada pemerintah Perdana Menteri Italy, Cik Giorgia Meloni, bulan lalu, menurut dokumen yang diperoleh Bloomberg News.
Surat berkenaan meminta Rome menyatakan komitmennya terhadap rancangan itu, melantik pegawai perhubungan dan mencalonkan seorang pegawai kanan Carabinieri, iaitu pasukan polis tentera di bawah Kementerian Pertahanan Italy.
Pegawai tersebut dicadangkan untuk memegang jawatan timbalan pengurus program kepolisan Lembaga Keamanan, yang bertanggungjawab membantu membangunkan pasukan keselamatan bagi Gaza.
Bagaimanapun, pemerintah Italy belum membuat keputusan muktamad sama ada menerima permintaan tersebut.
Menurut beberapa sumber yang mengetahui pertimbangan Rome, pemerintah Meloni sedang meneliti kemungkinan menghantar seorang pegawai kanan Carabinieri, tetapi kebimbangan mengenai keselamatan anggota yang mungkin ditugaskan ke Gaza menjadi antara halangan utama.
Hubungan antara Encik Trump dengan Cik Meloni yang pernah terjejas akibat perselisihan awal tahun 2026 ini turut merumitkan perbincangan.
Italy sebelum ini enggan menyertai Lembaga Keamanan sebagai anggota pengasas kerana Cik Meloni berpendapat beberapa peruntukan dalam piagam pertubuhan itu mungkin bercanggah dengan Perlembagaan negaranya.
Bagaimanapun, pada Februari lalu, Rome bersetuju menyertai lembaga tersebut sebagai pemerhati bagi membolehkan Italy menyumbang kepada usaha keamanan tanpa terikat sepenuhnya dengan tanggungjawab keanggotaan.
Menteri Luar Italy, Encik Antonio Tajani, ketika itu menjelaskan bahawa penyertaan sebagai pemerhati membolehkan negaranya menyokong usaha menstabilkan Gaza dan penyelesaian dua negara.
Beliau menegaskan bahawa Italy tidak boleh mengetepikan diri daripada usaha keamanan penting di rantau Mediterranean, khususnya kerana konflik Gaza turut menjejas keselamatan dan kepentingan ekonomi negaranya.
“Rancangan Keamanan Gaza diwujudkan di bawah naungan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), begitu juga Lembaga Keamanan yang bertanggungjawab memantau pelaksanaan proses penstabilan wilayah itu,” katanya.
Menurut Encik Tajani, Italy mempunyai pengalaman luas dalam melatih anggota keselamatan Palestin dan menyokong pengurusan sempadan menerusi misi Kesatuan Eropah (EU).
Pasukan Carabinieri sudah bertahun-tahun menyediakan latihan kepada polis Palestin dan pernah menyertai misi keamanan EU di Rafah, selatan Gaza.
Italy juga merancang melatih 50 pegawai keselamatan Palestin di Jordan sebelum mereka ditugaskan ke Gaza.
Bagaimanapun, penyertaan dalam program latihan tidak semestinya bermakna Rome bersedia menghantar anggotanya secara langsung ke wilayah yang masih berdepan ancaman keselamatan.
Sementara itu, Lembaga Keamanan masih bergelut melaksanakan rancangan pemulihan Gaza meskipun sudah sembilan bulan dilancarkan secara rasmi.
Setakat ini, pasukan penstabilan antarabangsa belum ditempatkan di Gaza, pentadbiran awam Palestin yang baru belum dibentuk dan kerja pembinaan semula secara besar-besaran masih belum bermula.
Pada September lalu, lembaga tersebut memperuntukkan AS$2.45 bilion ($3.13 bilion) bagi pembinaan semula Gaza, jauh lebih rendah daripada anggaran AS$71 bilion yang diperlukan untuk membangunkan semula wilayah itu dalam tempoh 10 tahun.
Perjanjian damai antara Israel dengan Hamas yang dimeterai pada 2025 menetapkan bahawa Hamas perlu melucutkan senjata, tetapi syarat tersebut masih belum dilaksanakan.
Kegagalan mencapai kemajuan dalam perkara itu menjadi antara cabaran utama kepada rancangan menstabilkan Gaza.
Seorang pegawai Lembaga Keamanan berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan aktif dengan beberapa pemerintah mengenai bentuk sumbangan yang boleh diberikan untuk membangunkan semula wilayah Palestin itu.
Menurutnya, Italy mempunyai rekod kerjasama yang baik dalam membangunkan keupayaan pasukan polis Palestin.
“Italy telah memberikan sumbangan yang amat positif selama beberapa tahun dalam usaha meningkatkan keupayaan pasukan polis.
“Kami juga mengadakan perbincangan yang sangat positif dengan pihak berkuasa Italy mengenai kemungkinan sokongan kepada Jawatankuasa Kebangsaan bagi Pentadbiran Gaza,” katanya.
Bagaimanapun, pemerintah Italy enggan mengulas permintaan terbaru Washington, manakala Jabatan Negara Amerika merujuk pertanyaan kepada Lembaga Keamanan.
Isu penyertaan Italy turut menjadi perdebatan politik dalam negeri, dengan parti pembangkang menuduh Cik Meloni terlalu rapat dengan Encik Trump dan bimbang lembaga itu boleh mengetepikan peranan PBB serta wakil Palestin.
Cik Meloni juga dijangka menghadapi pilihan raya umum tahun 2027 menjadikan sebarang keputusan menghantar pegawai keselamatan ke Gaza sebagai isu politik yang sensitif. - Agensi berita