RABAT: Maghribi dijangka menjadi negara pertama menjadi tuan rumah latihan asas bagi Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) yang dirancang untuk ditempatkan di Gaza di bawah pelan pascaperang yang disokong Amerika Syarikat, menurut beberapa laporan media Israel.

Penyiar awam Israel, Kan 11, melaporkan latihan pertama itu dijangka berlangsung dalam beberapa minggu akan datang sebagai sebahagian daripada pelan damai Gaza yang dicadangkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Menurut laporan itu, wakil ibu pejabat ISF di Kiryat Gat, selatan Israel, sudah berada di Rabat bagi menyelaras latihan bersama pertama dengan Angkatan Tentera Diraja Maghribi.

Program latihan itu dijangka merangkumi latihan menembak menggunakan peluru hidup, latihan kecergasan fizikal, kemahiran menembak, latihan operasi serta pelbagai simulasi ketenteraan sebagai persediaan kepada ribuan anggota yang bakal dikerahkan ke Gaza.

Media Israel melaporkan Maghribi akan memainkan peranan penting dalam melatih anggota pasukan pelbagai negara yang bakal menyertai ISF, sekali gus memperkukuh kedudukannya sebagai antara penyumbang utama kepada misi keselamatan pascaperang di wilayah Palestin itu.

Kira-kira 500 anggota tentera Maghribi dijangka menyertai ISF bersama anggota dari Kosovo, Kazakhstan dan Albania.

Pasukan itu dijangka memulakan operasi di kawasan yang dikenali sebagai “Rafah Baru”, sebuah bandar baharu yang dirancang dibangunkan oleh Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan diisytiharkan sebagai kawasan bebas daripada Hamas sebelum operasi diperluaskan ke kawasan lain di Gaza.

Laporan JFeed pula menyatakan Maghribi kini muncul sebagai antara rakan strategik utama dalam pembentukan ISF yang secara keseluruhannya disasarkan mempunyai kira-kira 20,000 anggota tentera serta 12,000 anggota polis terlatih.

Sebelum ini, Maghribi secara rasmi menyertai ISF bersama Indonesia, Kazakhstan, Kosovo dan Albania sebagai antara lima negara pertama yang berjanji menyumbang anggota kepada pasukan itu.

Pada pertengahan Julai, Rabat turut menandatangani Perjanjian Negara Peserta yang merangkumi penempatan pegawai kanan tentera dalam struktur pemerintahan bersama ISF, penghantaran anggota pasukan polis tentera Maghribi yang dikenali sebagai Gendarmerie Diraja, pegawai keselamatan negara serta sebuah hospital medan untuk merawat penduduk awam Gaza.

Beberapa pegawai perancang tentera Maghribi juga dilaporkan sudah ditempatkan di ibu pejabat ISF di Kiryat Gat, yang menjadi pusat penyelarasan dikendalikan Amerika Syarikat bagi merancang operasi pasukan berkenaan.

Perkembangan itu dilihat sebagai petunjuk paling jelas bahawa pembentukan ISF kini memasuki fasa pelaksanaan selepas berbulan-bulan hanya berada di peringkat perancangan.

Bagaimanapun, kedudukan Indonesia dalam ISF masih belum jelas.

Kan 11 melaporkan Jakarta masih belum menyertai pasukan itu secara rasmi walaupun sebelum ini menyatakan kesediaan menyumbang kira-kira 800 anggota tentera.

Sebaliknya, JFeed menyenaraikan Indonesia sebagai antara negara yang sudah berikrar menghantar anggota ke ISF.

Sehingga kini, tiada pengesahan rasmi daripada Indonesia mengenai status penyertaannya.

Laporan media Israel juga menyebut tiada tarikh rasmi ditetapkan bagi penempatan pasukan antarabangsa ke Gaza, namun ia dijangka bermula seawal tahun 2027 selepas pilihan raya Parlimen Israel.

Setakat ini, Maghribi, Amerika Syarikat mahupun negara lain yang dinamakan dalam laporan itu belum mengeluarkan pengesahan rasmi mengenai pelaksanaan latihan berkenaan.

Pemerhati berpendapat pemilihan Maghribi sebagai pusat latihan bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Selain mempunyai pengalaman luas menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Maghribi turut diiktiraf kerana program pencegahan keganasan dan pemulihan fahaman ekstremis yang dibangunkan sejak dua dekad lalu.

Menteri Luar Maghribi, Encik Nasser Bourita, sebelum ini berkata pengalaman negara itu dalam melatih pasukan polis dan menangani fahaman radikal akan dimanfaatkan bagi membantu membentuk pasukan keselamatan Palestin pada masa depan.

Hubungan diplomatik Maghribi dengan Israel menerusi Perjanjian Abraham turut membolehkan kerjasama lebih rapat antara kedua-dua negara dalam aspek latihan dan penyelarasan ketenteraan.

Penganalisis berpendapat faktor itu menjadikan Rabat lokasi paling sesuai untuk membangunkan modul latihan ISF berbanding negara penyumbang lain.

Penganalisis dari Insitutut The Washington, Cik Salma Annasse, berpendapat sistem pemulihan fahaman ekstremis yang diamalkan Maghribi boleh dijadikan model bagi membantu membina semula institusi keselamatan dan keagamaan di Gaza selepas perang.

Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa model itu perlu disesuaikan dengan realiti masyarakat Palestin dan tidak boleh dilaksanakan secara langsung tanpa mengambil kira keadaan tempatan.

Sementara itu, Lembaga Keamanan sebelum ini mengalu-alukan penyertaan Maghribi sebagai negara Arab pertama menyertai ISF.

Utusan Lembaga Keamanan bagi Gaza, Nikolay Mladenov, berkata penyertaan Rabat membuktikan komitmen lama Maghribi terhadap rakyat Palestin diterjemahkan kepada tindakan praktikal melalui bantuan kemanusiaan dan keselamatan.

Menurut Lembaga Keamanan, selain membantu penghantaran bantuan kemanusiaan, anggota Maghribi juga dijangka memainkan peranan melatih Pasukan Polis Palestin sebagai sebahagian daripada usaha mewujudkan pentadbiran dan keselamatan yang stabil di Gaza selepas konflik berakhir. - Agensi berita