Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS minta Qatar usir Hamas kerana tolak gencatan senjata

Nov 9, 2024 | 4:20 PM
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, bertemu Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim al-Thani di Doha pada 24 October, untuk berbincang tentang gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Antony Blinken, bertemu Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim al-Thani di Doha pada 24 October, untuk berbincang tentang gencatan senjata antara Israel dengan Hamas. - Foto AFP

WASHINGTON/DOHA: Amerika Syarikat dilaporkan memberitahu Qatar bahawa kehadiran pemimpin Hamas di Doha tidak lagi boleh diterima selepas kumpulan Palestin itu menolak cadangan terbaru untuk mencapai gencatan senjata dan perjanjian tebusan.

Qatar telah memainkan peranan penting dalam rundingan gencatan senjata bersama Amerika Syarikat dan Mesir bagi menamatkan perang Gaza yang berterusan antara Israel dengan Hamas.

Namun, rundingan pusingan terbaru pada pertengahan Oktober gagal menghasilkan perjanjian, dengan Hamas menolak cadangan gencatan senjata jangka pendek.

“Selepas menolak cadangan berulang untuk membebaskan tebusan, pemimpinnya tidak lagi dialu-alukan di ibu negara mana-mana rakan kongsi Amerika.

“Kami menjelaskannya kepada Qatar berikutan penolakan Hamas minggu lalu terhadap satu lagi cadangan pembebasan tebusan,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran Amerika.

Sekitar 10 hari lalu, Qatar menyampaikan arahan tersebut kepada pemimpin Hamas, tambah pegawai itu.

Amerika yang telah menghubungi Qatar supaya menutup pejabat politik Hamas, menggesa bahawa masa untuk bertindak adalah sekarang.

Pentadbiran Presiden Joe Biden sedang menyediakan usaha terakhir untuk menamatkan serangan Israel di Gaza dan Lebanon, tetapi pemilihan Encik Donald Trump dari Republikan baru-baru ini sebagai presiden seterusnya, telah mengurangkan pengaruhnya pada minggu-minggu terakhir memegang jawatan.

Pada November 2023, rundingan di Doha membawa kepada gencatan senjata selama tujuh hari di Gaza, membolehkan pembebasan beberapa tebusan sebagai pertukaran untuk ratusan tahanan Palestin di penjara Israel.

Bantuan kemanusiaan juga dibenarkan masuk ke Gaza, namun konflik itu menyala semula dan berterusan.

Qatar telah menjadi tuan rumah kepimpinan politik Hamas sejak 2012 sebagai sebahagian daripada perjanjian dengan Amerika.

Selepas serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, memberi amaran kepada pemimpin Qatar dan wilayah itu bahawa “urusan seperti biasa” dengan Hamas tidak dapat diteruskan lagi.

Qatar kemudian memaklumkan Encik Blinken tentang kesediaan mereka untuk mempertimbangkan semula kehadiran Hamas di negara itu apabila tiba masanya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg