Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Israel, Hamas beri isyarat sedia runding bagi tamatkan perang Gaza

Amerika, Qatar sahkan rundingan gencatan senjata Gaza akan disambung semula
Oct 25, 2024 | 3:00 PM
Para penduduk Palestin memeriksa bangunan yang musnah akibat pengeboman Israel ke atas Kem Pelarian Maghazi di Gaza pada 24 Oktober.
Para penduduk Palestin memeriksa bangunan yang musnah akibat pengeboman Israel ke atas Kem Pelarian Maghazi di Gaza pada 24 Oktober. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Israel berkata ketua perisiknya akan menghadiri rundingan gencatan senjata Gaza manakala Hamas berikrar untuk menghentikan pertempuran jika gencatan senjata dicapai.

Ini memandangkan usaha yang telah lama terhenti untuk menamatkan perang kelihatan mendapat perhatian kedua-dua pihak yang bertelingkah itu.

Usaha untuk menghentikan perang sejak setahun lalu telah gagal, namun Amerika kini percaya pembunuhan pemimpin Hamas, Encik Yahya Sinwar, pada 16 Oktober boleh membuka pintu kepada tercapainya perjanjian.

Seorang pegawai kanan Hamas berkata delegasinya yang berpangkalan di Doha telah membincangkan “idea dan cadangan” berkaitan gencatan senjata Gaza dengan pegawai Mesir di Kahirah pada 24 Oktober.

“Hamas telah menyatakan kesediaan untuk menghentikan pertempuran, tetapi Israel mesti komited kepada gencatan senjata, berundur dari Gaza, membenarkan kepulangan orang yang dipindahkan, bersetuju dengan perjanjian pertukaran tahanan dan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza,” kata pegawai Hamas itu.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata beliau mengalu-alukan kesediaan Mesir untuk berusaha bagi mencapai perjanjian.

Selepas mesyuarat di Kahirah, Encik Netanyahu mengarahkan ketua agensi perisik Mossad Israel supaya menemui perantara utama Qatar pada 27 Oktober untuk “mengajukan satu siri inisiatif yang ada dalam agenda,” kata Pejabat Perdana Menteri Israel.

Amerika dan Qatar berkata rundingan gencatan senjata Gaza akan disambung semula di ibu negara Qatar.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony Blinken, telah bertemu pemimpin Qatar di Doha pada 24 Oktober dalam lawatan kali ke-11 ke rantau itu sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel yang mencetuskan perang Gaza.

Encik Blinken berkata mereka sedang mengusahakan rancangan “supaya Israel boleh berundur, supaya Hamas tidak boleh membentuk semula, dan supaya rakyat Palestin boleh membina semula kehidupan dan masa depan mereka”.

Qatar berkata bahawa pasukan Amerika dan Israel akan terbang ke Doha, dengan Perdana Menteri, Encik Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al-Thani, menambah bahawa pihaknya telah “berhubungan semula” dengan Hamas sejak kematian Encik Sinwar.

Pegawai Israel dan Amerika serta beberapa penganalisis berkata Encik Sinwar telah menjadi penghalang utama kepada perjanjian yang membenarkan pembebasan 97 tebusan yang masih ditahan di Gaza, 34 daripadanya dikatakannya sudah terkorban, dakwa tentera Israel.

Seorang pegawai berkata Encik Blinken telah tiba di London pada 24 Oktober dan akan bertemu dengan Menteri Luar Jordan dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 25 Oktober, dua rakan kongsi penting dalam rancangan pascaperang di Gaza.

Pegawai itu berkata Encik Blinken juga akan bertemu Perdana Menteri Lebanon, Encik Najib Mikati, untuk membincangkan konflik negaranya dengan Israel.

Di medan perang, tentera Israel terus membedil Hamas, dengan menggempur utara Gaza.

“Lebih 770 orang telah terbunuh” di utara wilayah itu dalam tempoh 19 hari sejak operasi bermula, kata jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Encik Mahmud Bassal.

Beliau menambah serangan Israel ke atas sebuah sekolah yang dijadikan tempat perlindungan di tengah Gaza telah mengorbankan 17 nyawa pada 24 Oktober.

Tentera Israel berkata matlamat serangannya di utara Gaza adalah untuk memusnahkan keupayaan operasi Hamas daripada bersatu semula. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg