KAHIRAH: Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah al-Sisi, pada 27 Oktober lalu mencadangkan gencatan senjata selama dua hari di Gaza dan pertukaran tebusan terhad yang bertujuan mendapatkan “gencatan senjata sepenuhnya” selepas lebih setahun perang antara Israel dengan Hamas.
Cadangan itu termasuk menukar empat tebusan Israel yang ditahan di Gaza untuk tahanan Palestin di penjara Israel, dan akan diikuti dengan lebih banyak rundingan dalam tempoh 10 hari, kata Encik al-Sisi pada satu sidang akhbar di Kahirah.
Beliau tidak menyatakan sama ada rancangan itu telah dibentangkan secara rasmi kepada Israel atau Hamas.
Campur tangan Encik al-Sisi berlaku sedang Israel terus menggempur Gaza sambil turut menyerang Hezbollah di Lebanon, dan baru sahaja melancarkan serangan udara ke atas musuh utamanya, Iran.
Serangan ke atas Iran pada 26 Oktober itu adalah kali kedua Israel bertindak balas terhadap serangan peluru berpandu balistik Iran, mencetuskan seruan sedunia agar semua pihak menahan diri.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan bermesyuarat pada 28 Oktober atas permintaan Iran, dengan Teheran menggesa badan itu supaya mengutuk serangan yang mengorbankan empat askarnya.
Di negara mereka sendiri, pemimpin Iran mendakwa serangan itu hanya menyebabkan kerosakan terhad.
Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, memberitahu Kabinetnya bahawa Iran tidak mahu berperang tetapi akan memberikan “tindak balas yang sesuai”.
Israel melancarkan serangan sebagai tindakan balas terhadap serangan peluru berpandu 1 Oktober oleh Iran, yang merupakan responsnya terhadap pembunuhan pemimpin militan yang bersekutu dengan Teheran dan seorang komander Iran.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berkata operasi itu tepat dan mencapai semua objektifnya.
Encik Netanyahu, bercakap pada acara peringatan di Baitulmakdis untuk serangan Hamas pada 7 Oktober yang mencetuskan perang, diganggu dengan jeritan daripada saudara mangsa.
Terdapat tekanan awam dan diplomatik terhadap Encik Netanyahu untuk melakukan lebih banyak lagi untuk mencapai perjanjian bagi memastikan pembebasan baki tawanan yang ditahan di Gaza.
Mesir, bersama Qatar dan Amerika Syarikat, selama berbulan-bulan menjadi pengantara perbincangan tidak langsung dengan sedikit sahaja kejayaan.
Ketua perisik Israel, Encik David Barnea, sepatutnya berada di Qatar pada 27 Oktober untuk rundingan yang bertujuan memulakan semula perbincangan ke arah perjanjian tebusan.
Keluarga tebusan telah meminta pemerintah Israel menjadi perantara perjanjian itu berikutan pembunuhan pemimpin Hamas, Encik Yahya Sinwar, pada awal Oktober.
Pegawai Israel dan Amerika serta beberapa penganalisis berkata Encik Sinwar telah menjadi penghalang utama kepada perjanjian.
Antara isu utama yang menghalang kejayaan dalam perbincangan ialah desakan Hamas supaya Israel berundur sepenuhnya dari Gaza, yang telah ditolak oleh pegawai Israel berulang kali.
Daripada 251 tebusan yang diculik militan Palestin semasa serangan 7 Oktober, 97 masih ditahan di Gaza termasuk 34 yang dikatakan tentera Israel telah meninggal dunia.
Lebih 100 telah dibebaskan semasa gencatan senjata selama seminggu pada November 2023.
Israel terus berperang di Gaza dan Lebanon, dengan serangan berterusan melanda Beirut dan beberapa bandar di selatan Lebanon.
Kementerian Kesihatan Lebanon menyatakan sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dalam serangan Israel di selatan Lebanon pada 27 Oktober, termasuk sekurang-kurangnya sembilan berhampiran bandar Sidon dan tujuh – tiga daripadanya anggota penyelamat – di perkampungan selatan Ain Baal, dekat dengan sempadan Israel.
Peperangan itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 1,615 orang terbunuh di Lebanon sejak 23 September, menurut pengiraan AFP berdasarkan angka rasmi, walaupun jumlah sebenar mungkin lebih tinggi disebabkan jurang dalam data. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg