WASHINGTON: Ejen kastam Amerika Syarikat mula mengutip tarif sepihak 10 peratus yang dikenakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, ke atas semua barangan import dari pelbagai negara pada 5 April, dengan tarif tambahan untuk barangan dari 57 rakan dagang utama yang dijangka bermula minggu depan.
Tarif ‘asas’ 10 peratus yang pertama itu berkuat kuasa di pelabuhan laut, lapangan terbang dan gudang kastam Amerika pada 12.01 tengah malam Waktu Timur (12.01 tengah hari waktu Singapura), menandakan penolakan penuh Encik Trump terhadap sistem kadar tarif yang dipersetujui bersama selepas Perang Dunia Kedua.
“Ini adalah tindakan perdagangan terbesar dalam sepanjang hayat kita,” kata Cik Kelly Ann Shaw, mantan penasihat perdagangan Rumah Putih semasa penggal pertama Encik Trump.
Cik Shaw berkata pada 3 April beliau menjangka tarif tersebut akan berubah dari masa ke masa apabila negara-negara berusaha merundingkan kadar lebih rendah.
Pengumuman tarif Encik Trump pada 2 April menggoncang pasaran saham global, menyebabkan kerugian AS$5 trilion ($6.7 trilion) dalam nilai pasaran saham syarikat S&P 500 menjelang penutupan dagang pada 4 April – penurunan rekod buat dua hari berturut-turut.
Harga minyak dan komoditi merosot, manakala pelabur beralih membuat pelaburan dalam bon pemerintah yang lebih terjamin, lapor Reuters.
Antara negara yang mula dikenakan tarif 10 peratus ialah Australia, Britain, Colombia, Argentina, Mesir dan Arab Saudi.
Menurut buletin Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika kepada para pengangkut, tiada tempoh kelonggaran diberikan untuk kargo yang berada di laut pada tengah malam 5 April Waktu Timur.
Namun, satu lagi buletin agensi itu berkata tempoh kelonggaran selama 51 hari diberikan untuk kargo yang telah dimuatkan ke atas kapal atau pesawat dan sedang dalam perjalanan ke Amerika sebelum 12.01 malam Waktu Timur 5 April.
Kargo tersebut perlu tiba selewat-lewatnya pada 12.01 tengah malam Waktu Timur, 27 Mei untuk mengelakkan dikenakan duti kastam 10 peratus.
Pada 2 April, tarif ‘bersifat timbal balik’ yang lebih tinggi antara 11 peratus hingga 50 peratus oleh Encik Trump akan berkuat kuasa.
Import dari Kesatuan Eropah (EU) dikenakan tarif 20 peratus, barangan dari China dikenakan tarif 34 peratus – menjadikan tarif keseluruhan ke atas China sebanyak 54 peratus.
Vietnam, yang mendapat manfaat daripada peralihan rantaian bekalan Amerika, akan dikenakan tarif 46 peratus.
Canada dan Mexico dikecualikan kerana telah dikenakan tarif 25 peratus sedia ada berhubung dengan krisis dadah fentanyl untuk barangan yang tidak mematuhi peraturan asal antara Amerika, Mexico dan Canada.
Barangan yang tertakluk kepada tarif keselamatan negara 25 peratus, seperti keluli, aluminium dan kenderaan, dikecualikan.
Lebih 1,000 kategori produk, termasuk minyak mentah, farmaseutikal dan semikonduktor, dikecualikan.– Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg