Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tarif Trump ke atas S’pura satu kejutan, kata mantan pegawai dagang kanan AS

Bekas pemangku timbalan wakil perdagangan Amerika, Wendy Cutler berkata:S’pura, AS rakan kongsi FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) dengan ekonomi terbuka, tindakan Trump mengejutkan
Apr 3, 2025 | 1:52 PM
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyampaikan ucapan mengenai tarif timbal balik semasa acara di Rumah Putih di Washington, DC, pada 2 April. 
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyampaikan ucapan mengenai tarif timbal balik semasa acara di Rumah Putih di Washington, DC, pada 2 April.  - Foto REUTERS

WASHINGTON: Menganggapnya sebagai pengisytiharan “kemerdekaan ekonomi”, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengumumkan beberapa tarif menyeluruh pada 2 April dalam usaha menggantikan perdagangan bebas dengan perdagangan “adil”.

Dalam dasar ekonominya yang paling bercita-cita tinggi itu, yang katanya akan menjadikan Amerika kaya semula, beliau mengumumkan tarif 10 peratus ke atas semua barangan yang masuk ke negara itu dari mana-mana sahaja negara di dunia, termasuk Singapura.

Beliau juga mengenakan tarif timbal balik yang tinggi kepada sekurang-kurangnya 60 rakan dagang, yang menurutnya mengenakan duti yang terlalu tinggi ke atas produk Amerika, lapor The Straits Times.

Beban paling berat jatuh ke atas ekonomi Asia, dengan kadar tertinggi 49 peratus dikenakan ke atas Kemboja.

Tarif ke atas China berjumlah 34 peratus, di samping 20 peratus yang telah dikenakan oleh Encik Trump ke atas negara itu kerana tidak melakukan tindakan yang mencukupi untuk memerangi penyeludupan opioid sintetik yang boleh membawa maut, fentanyl.

Opioid ialah ubat bagi meredakan sakit yang boleh menyebabkan ketagihan jika disalah guna.

Tarif ke atas Vietnam ialah 46 peratus, Thailand 36 peratus, Indonesia dan Taiwan masing-masing 32 peratus, Malaysia 24 peratus dan Filipina 17 peratus.

Antara beberapa negara Asia yang terjejas dengan tarif bawah 30 peratus ialah sekutunya, Jepun, pada 24 peratus dan Korea Selatan pada 25 peratus.

India, yang dianggap Encik Trump sebagai mengenakan beberapa duti paling tinggi ke atas barangan buatan Amerika, berdepan tarif 26 peratus.

Canada dan Mexico dikecualikan daripada rejim tarif timbal balik itu, manakala Kesatuan Eropah (EU) menghadapi tarif 20 peratus dan Australia 10 peratus.

Cik Wendy Cutler, naib presiden Institut Dasar Masyarakat Asia dan bekas pemangku timbalan wakil perdagangan Amerika, berkata:

“Menghentam Singapura, sekutu rapat dan rakan kongsi FTA (Perjanjian Perdagangan Bebas) dengan ekonomi terbuka, adalah sesuatu yang mengejutkan.”

Di bawah FTA Amerika-Singapura, yang berkuat kuasa sejak 2004, Singapura mengenakan tarif sifar ke atas produk Amerika, selagi barangan itu layak sebagai barangan asal di bawah peraturan asal FTA tersebut.

Pengecualian adalah untuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) Singapura, yang terpakai untuk kedua-dua barangan import dan domestik, pada kadar 9 peratus. Selain itu, barangan tertentu seperti alkohol dan tembakau menghadapi cukai eksais.

Cik Cutler berkata Asia nampaknya berada di pihak yang lebih menerima padah.

“Rakan kongsi FTA Amerika di rantau ini malahan, adalah penerima tarif baru, dengan kadar Korea Selatan pada 25 peratus, sesuatu yang luar biasa tinggi memandangkan lebih 99 peratus eksport Amerika ke Korea dapat masuk bebas cukai,” katanya, merujuk kepada FTA Amerika-Korea yang berkuat kuasa pada 2012.

“Rakan kongsi dagangan kami tidak akan melihat kadar ini sebagai ‘baik’ atau wajar, dan banyak yang akan berada di bawah tekanan domestik untuk bertindak balas dengan langkah mereka sendiri,” tambahnya.

Encik Trump berhujah bahawa tarif timbal balik itu akan mengecilkan apa yang dikatakannya sebagai jurang “tidak adil” antara duti yang dikenakan Amerika ke atas barangan import dan apa yang dikenakan oleh negara lain ke atas produk Amerika.

Dasarnya itu menandakan pembentukan semula yang paling meluas bagi aturan antarabangsa sejak Perang Dunia Kedua.

Ia berkemungkinan hanya menunggu masa sebelum rakan dagang Amerika bertindak balas dengan tarif mereka sendiri, satu corak yang menimbulkan kemungkinan perang perdagangan global yang dahsyat.

Tarif sejagat itu akan berkuat kuasa pada tengah malam 5 April (12 tengah hari pada 6 April, waktu Singapura), manakala tarif timbal balik akan bermula pada tengah malam, 9 April.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg