Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS mulakan rundingan PBB bagi mandat pasukan antarabangsa Gaza

Nov 7, 2025 | 11:49 AM
Penduduk Palestin berjalan melepasi runtuhan bangunan yang musnah ketika gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Jabalia, utara Semenanjung Gaza, pada 6 November 2025.
Penduduk Palestin berjalan melepasi runtuhan bangunan yang musnah ketika gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Jabalia, utara Semenanjung Gaza, pada 6 November 2025. - Foto REUTERS

NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 6 November memulakan rundingan mengenai satu draf resolusi yang digubal oleh Amerika Syarikat untuk menyokong pelan damai Gaza oleh Presiden Donald Trump, termasuk penubuhan badan pentadbiran peralihan dan pasukan keselamatan antarabangsa selama dua tahun.

Seorang pegawai kanan Amerika Syarikat berkata draf itu telah diedarkan kepada 15 anggota Majlis Keselamatan pada malam 5 November, dengan Washington mendakwa mendapat sokongan awal daripada Mesir, Qatar, Arab Saudi, Turkey dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).

“Mesej kami jelas jika rantau ini menyokong rancangan ini dan struktur resolusi yang kami kemukakan, maka Majlis Keselamatan juga sewajarnya berbuat demikian,” kata pegawai itu kepada Reuters dengan syarat tidak dinamakan.

Draf resolusi itu memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi sokongan tanpa sebarang veto daripada lima anggota tetap iaitu Russia, China, Perancis, Britain dan Amerika Syarikat untuk diluluskan.

Pegawai berkenaan berkata pengundian boleh diadakan “dalam beberapa minggu, bukan bulan,” sambil menambah bahawa rundingan akan dijalankan secara intensif. Rusia dan China pasti akan memberi pandangan mereka, dan kami bersedia mendengar. Tetapi saya tidak melihat mereka akan menghalang pelan yang mungkin menjadi rancangan damai paling menjanjikan dalam satu generasi,” katanya.

Presiden Trump pula memberitahu wartawan bahawa pasukan antarabangsa itu akan “dihantar dalam masa terdekat.” Sementara itu, Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, menjelaskan bahawa negara-negara yang bersedia menghantar tentera memerlukan mandat rasmi PBB untuk berbuat demikian.

Menurut draf yang dilihat oleh Reuters, resolusi tersebut akan memberi kuasa kepada satu badan pentadbiran sementara bernama Lembaga Kemananan (BoP) untuk menubuhkan  Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF)  di Gaza. Pasukan ini diberi kuasa menggunakan “segala langkah perlu” - satu frasa yang dalam konteks diplomatik bermaksud penggunaan kekuatan bagi melaksanakan mandatnya.

ISF akan bertanggungjawab melindungi orang awam dan operasi bantuan kemanusiaan, serta mengawal kawasan sempadan dengan Israel, Mesir, dan pasukan polis Palestin yang baru dilatih serta disemak latar belakangnya.

“Pasukan ini akan menstabilkan keselamatan Gaza dengan memastikan proses pelupusan tentera Jaluran Gaza, termasuk pemusnahan infrastruktur ketenteraan dan pencegahan pembinaannya semula, serta pelucutan senjata kekal daripada kumpulan bersenjata bukan negara,” kata pegawai Amerika itu.

Beliau turut mengesahkan bahawa ISF akan diberikan kuasa untuk melucutkan senjata kumpulan Hamas, namun menegaskan bahawa Amerika masih menunggu Hamas “menunaikan bahagiannya dalam perjanjian” dengan menyerahkan senjata. Hamas setakat ini belum mengesahkan sama ada mereka bersetuju untuk melupuskan senjata walaupun syarat itu merupakan elemen utama pelan damai Trump.

Pegawai kanan Amerika itu berkata pasukan ISF dijangka terdiri daripada sekitar 20,000 anggota. Walaupun pentadbiran Trump menolak kemungkinan menghantar tentera AS ke Gaza, Washington telah berhubung dengan Indonesia, UAE, Mesir, Qatar, Turkey dan Azerbaijan untuk menyertai misi tersebut.

“Kami berada dalam komunikasi berterusan dengan negara-negara yang berpotensi menyumbang tentera, membincangkan keperluan mandat dan bahasa yang mereka perlukan dalam resolusi,” katanya, sambil menambah bahawa hampir semua negara menginginkan mandat antarabangsa rasmi dengan PBB sebagai pilihan utama.

Setakat ini, Israel belum menyatakan secara terbuka negara mana yang mungkin dikecualikan daripada penyertaan, tetapi pegawai Amerika menegaskan perbincangan sedang dijalankan secara konsisten dengan Tel Aviv. Pada Oktober lalu Israel menolak penglibatan pasukan bersenjata Turkey di Gaza di bawah pelan damai tersebut.

Israel dan Hamas sebelum ini bersetuju dengan fasa pertama pelan 20 perkara Trump, yang melibatkan gencatan senjata selepas dua tahun perang dan perjanjian pertukaran tebusan. Fasa itu turut dimasukkan sebagai lampiran dalam draf resolusi PBB kali ini.

Pelan itu antara lain mencadangkan gencatan senjata segera, pembebasan semua tebusan, pertukaran tahanan, penyahmiliteran Gaza, penempatan pasukan ISF, dan pentadbiran sementara oleh teknokrat Palestin di bawah pengawasan antarabangsa. Ia juga menggariskan program pembinaan semula berskala besar serta laluan bersyarat ke arah penentuan nasib sendiri Palestin dan potensi pembentukan negara.

“Masa tidak menyebelahi kita. Gencatan senjata masih bertahan, tetapi rapuh. PBB tidak boleh terperangkap dalam perbincangan teknikal. Ini ujian sebenar untuk Majlis Keselamatan,” kata pegawai kanan Amerika itu lagi.

Draf resolusi turut menyeru Bank Dunia dan institusi kewangan lain menubuhkan tabung amanah khas bagi menyokong pembangunan semula Gaza. BoP akan berperanan sebagai pentadbiran peralihan yang menyelia penghantaran bantuan, projek pembinaan semula dan reformasi institusi sehingga Penguasa Palestin melengkapkan program pembaharuannya.

Operasi harian seperti perkhidmatan awam, penyelarasan bantuan dan program kemanusiaan akan dikendalikan oleh entiti operasi di bawah BoP. Selain itu, resolusi tersebut menegaskan bahawa sebarang organisasi yang menyalahgunakan bantuan akan diisytiharkan tidak layak untuk terus menerima bantuan di masa hadapan.

Draf resolusi Amerika turut mengalu-alukan “peranan konstruktif” Amerika Syarikat, Qatar, Mesir dan Turkey dalam memudahkan gencatan senjata di Gaza. Ia juga menegaskan bahawa ISF akan beroperasi dengan kerjasama rapat Mesir dan Israel serta menggunakan segala langkah perlu mengikut undang-undang antarabangsa untuk melaksanakan mandatnya.

Pasukan itu dijangka beroperasi sekurang-kurangnya sehingga 31 Disember 2027 dan akan dibiayai melalui sumbangan sukarela daripada kerajaan serta penderma antarabangsa.

“Kami sedang menyaksikan titik perubahan besar dalam pendekatan global terhadap Gaza. Matlamatnya bukan sekadar menamatkan perang, tetapi memastikan keamanan yang mampan dengan struktur pentadbiran baharu yang boleh dipercayai,” kata seorang diplomat Barat di New York.

Rundingan lanjut dijangka diteruskan minggu ini, namun belum dipastikan bila resolusi itu akan dibawa ke undian rasmi di Majlis Keselamatan. Jika diluluskan, pelan ini akan menjadi asas kepada fasa baharu pentadbiran antarabangsa di Gaza dengan tumpuan kepada keselamatan, pemulihan dan pembentukan semula tadbir urus Palestin selepas konflik. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg