ISTANBUL: Ketua Agensi Perisikan Turkey (MIT), Encik Ibrahim Kalin, mengadakan pertemuan dengan ketua pasukan perunding Hamas, Encik Khalil al-Hayya, di Istanbul pada 5 November bagi membincangkan pelaksanaan fasa seterusnya dalam pelan gencatan senjata Gaza, menurut sumber keselamatan Turkey.
Pertemuan itu turut membincangkan langkah-langkah untuk memastikan pelaksanaan gencatan senjata berjalan lancar serta kaedah mengatasi masalah yang timbul dalam tempoh pelaksanaan perjanjian tersebut.
Sumber keselamatan berkata, Turkey menegaskan komitmennya untuk memainkan peranan penting dalam pemulihan Gaza, termasuk sebagai pihak penjamin pelaksanaan pelan damai 20 perkara yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Hamas dalam pertemuan itu menyampaikan penghargaan kepada Presiden Recep Tayyip Erdoğan dan pemerintah Turkey atas peranan mereka sebagai pengantara dan penjamin dalam memastikan keberlangsungan gencatan senjata yang dicapai bulan Oktober lalu di Sharm El-Sheikh, Mesir.
“Kami menghargai usaha Presiden Erdogan dan rakyat Turkey yang konsisten dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan untuk rakyat Palestin,” kata Encik Khalil al-Hayya seperti dipetik oleh media Turkey.
Dalam pertemuan itu, delegasi Hamas turut menegaskan komitmen mereka terhadap gencatan senjata meskipun Israel didakwa terus melanggar perjanjian tersebut. Sumber turut menyebut bahawa Encik Kalin dan Encik al-Hayya membincangkan langkah untuk memperkukuh bantuan kemanusiaan ke Gaza serta mempercepat penghantaran bantuan melalui koordinasi antarabangsa.
Menurut pihak berkuasa Gaza, Israel hanya membenarkan 3,203 lori membawa bekalan masuk ke wilayah itu sejak 10 Oktober hanya 24 peratus daripada jumlah yang dipersetujui dalam fasa pertama pelan gencatan senjata.
Presiden Erdogan sebelum ini mengecam Israel kerana “mencari alasan untuk melanggar perjanjian dan menyambung pembunuhan.” “Semua orang tahu rekod buruk Israel dalam menunaikan janjinya,” kata Encik Erdogan. “Gencatan senjata dan penghantaran bantuan ke Gaza hanya boleh diteruskan jika Israel dipaksa mematuhinya.”
Fasa pertama pelan damai 20 perkara anjuran Trump telah berkuat kuasa pada 10 Oktober. Ia merangkumi pertukaran tahanan - Hamas membebaskan 20 tebusan Israel hidup-hidup dan menyerahkan 21 mayat, sementara Israel membebaskan hampir 2,000 tahanan Palestin serta 270 jenazah.
Namun, Israel dilaporkan telah melanggar gencatan senjata sekurang-kurangnya 194 kali sejak ia dimeterai. Tentera Israel mendakwa anggota Hamas “menyeberangi garisan kuning” dan menyerang askar mereka.
Hamas menegaskan proses pemulangan mayat tebusan yang masih tertinggal mengambil masa disebabkan kemusnahan besar di Gaza. Israel pula mengikat rundingan fasa kedua kepada syarat supaya semua mayat tebusan diserahkan terlebih dahulu.
Fasa kedua pelan ini dijangka melibatkan pembentukan “Lembaga Keamanan” yang diketuai oleh Encik Trump dan dianggotai bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair. Lembaga ini akan memantau pelaksanaan pentadbiran teknokrat Palestin di Gaza serta penyertaan pasukan pelbagai negara yang dinamakan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF).
Pasukan itu dijangka berperanan melindungi orang awam, melatih pasukan polis Palestin yang baru dan membantu pelucutan senjata kumpulan bersenjata bukan negara termasuk Hamas, sesuatu yang telah lama ditolak oleh pergerakan itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Mesir, Encik Badr Abdelatty, mengadakan panggilan dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Jordan dan Turkey untuk membincangkan pelaksanaan fasa kedua pelan tersebut yang menumpukan aspek politik, kemanusiaan dan pembangunan.
Encik Abdelatty menekankan keperluan melaksanakan sepenuhnya perjanjian Sharm El-Sheikh bagi memastikan penghentian perang dan mengurangkan penderitaan rakyat Gaza. Mesir juga bersedia menjadi tuan rumah kepada Sidang Pemulihan Awal Gaza di Kaherah akhir bulan November ini, yang bertujuan menggerakkan sokongan antarabangsa bagi pembinaan semula wilayah berkenaan.
“Pelan damai ini hanya akan berjaya jika semua pihak menghormati semangat perjanjian dan komited terhadap keamanan,” katanya.
Di Washington, seorang pegawai kanan AS memberitahu Associated Press bahawa pentadbiran Trump akan membentangkan resolusi mengenai Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Cadangan itu akan memberikan mandat kepada pasukan tersebut untuk beroperasi sekurang-kurangnya dua tahun, dengan penyertaan beberapa negara Arab termasuk Mesir, Qatar, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu dan Turkey.
Menurut draf awal yang dilihat Axios, pasukan itu akan diberi tanggungjawab “melindungi orang awam” serta “melatih pasukan polis Palestin baharu,” selain menjalankan “tugas tambahan yang perlu bagi menyokong pelaksanaan perjanjian Gaza.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg