WASHINGTON/ISTANBUL: Amerika Syarikat (AS) kini mengemukakan draf resolusi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menubuhkan Pasukan Keselamatan Antarabangsa Gaza (ISF) dengan mandat dua tahun, sekali gus membuka jalan kepada satu bentuk pentadbiran sementara antarabangsa di wilayah itu sehingga sekurang-kurangnya hujung tahun 2027.
Draf itu, yang diperoleh media Amerika Axios, disifatkan “sensitif tetapi tidak sulit” dan dijangka menjadi asas rundingan antara anggota Majlis Keselamatan dalam tempoh dua minggu akan datang sebelum diundi dan diluluskan.
Seorang pegawai kanan Amerika memberitahu bahawa pasukan pertama mungkin dikerahkan ke Gaza seawal Januari depan, sekiranya resolusi tersebut mendapat kelulusan awal PBB.
Mengikut kandungan draf itu, ISF akan beroperasi di bawah mandat dua tahun dengan kemungkinan lanjutan selepas 2027. Pasukan ini diberi kuasa luas untuk “memastikan keselamatan dan kestabilan Gaza” serta “menguatkuasakan proses pelucutan senjata ke atas kumpulan bersenjata bukan negara.”
Ia juga akan bertanggungjawab memastikan proses pelucutan senjata kumpulan militan seperti Hamas, jika kumpulan itu enggan berbuat demikian secara sukarela.
Selain itu, pasukan tersebut akan menjaga sempadan Gaza dengan Israel dan Mesir, melindungi orang awam, melindungi laluan bantuan kemanusiaan serta melatih pasukan polis Palestin baru yang bakal menjadi rakan utama mereka dalam operasi keselamatan.
“Pasukan ini bukan pasukan pengaman tetapi pasukan penguatkuasaan,” tegas seorang pegawai Amerika yang dipetik oleh Axios. “Matlamatnya ialah mewujudkan persekitaran keselamatan yang stabil bagi memastikan pembinaan semula Gaza berjalan dengan selamat.”
Draf resolusi turut menubuhkan satu badan pentadbiran sementara digelar Lembaga Keamanan Gaza yang akan diketuai oleh Presiden Donald Trump sendiri, dan kekal beroperasi sekurang-kurangnya hingga akhir 2027.
Lembaga ini akan berfungsi sebagai pentadbiran peralihan, bertanggungjawab menentukan keutamaan pembangunan semula Gaza serta mengurus pembiayaan antarabangsa. Menurut dokumen itu, lembaga tersebut akan “menyelia dan menyokong jawatankuasa teknokrat Palestin” yang terdiri daripada tokoh profesional tempatan tanpa penglibatan politik, bagi menjalankan pentadbiran harian wilayah Gaza.
Pegawai Amerikaberkenaan menjelaskan bahawa lembaga itu akan beroperasi lebih awal daripada pembentukan jawatankuasa teknokrat tersebut. Bantuan kemanusiaan pula akan disalurkan oleh agensi seperti PBB, Palang Merah dan Bulan Sabit Merah dengan pengawasan langsung lembaga berkenaan. “Mana-mana organisasi yang menyelewengkan bantuan akan disenaraihitamkan,” katanya.
Sementara itu, dalam satu pertemuan di Istanbul pada 3 November, menteri luar dari tujuh negara Islam termasuk Indonesia, Pakistan, Arab Saudi, Jordan, Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar membincangkan kesediaan mereka menyertai pasukan penstabilan antarabangsa itu.
Pertemuan itu mendedahkan bahawa Resolusi Majlis Keselamatan PBB bagi menubuhkan Pasukan Penstabilan Antarabangsa di Gaza dijangka siap dalam tempoh dua minggu lagi, namun pelaksanaannya mungkin tertangguh sekiranya pertikaian mengenai mandat pasukan itu tidak diselesaikan.
Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, berkata keputusan akhir negara-negara Islam untuk menghantar pasukan akan bergantung pada mandat dan kuasa sebenar ISF.
“Negara-negara akan membuat keputusan berdasarkan mandat dan autoriti pasukan ini. Jika misi itu bercanggah dengan prinsip serta dasar negara penyumbang, mereka tidak akan menghantar pasukan,” kata Encik Fidan.
Turkey mengulangi kesediaannya menghantar pasukan, walaupun Israel menolak penyertaan negara itu atas alasan hubungan Ankara dengan Hamas. Namun, antara isu yang masih menjadi perdebatan ialah sama ada Amerika akan memainkan peranan utama dalam memimpin pasukan berkenaan, serta bagaimana mekanisme “pemisah konflik” akan diwujudkan bagi mengelakkan pertembungan dengan tentera Israel di lapangan.
Satu lagi isu penting yang sedang dirunding ialah sama ada jadual pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza akan ditetapkan secara jelas atau hanya bergantung kepada kemajuan proses pelucutan senjata Hamas.
Menteri Luar Jordan, Encik Ayman Safadi, menegaskan perlunya tempoh masa yang konkrit bagi penarikan Israel. “Adalah penting kita ada garis masa untuk pengunduran tentera Israel. Israel tidak boleh kekal di 53 peratus wilayah Gaza dan masih mengharapkan keamanan,” kata Encik Safadi.
Beliau turut menambah bahawa “mekanisme pemisah konflik” mesti diwujudkan bagi mengelakkan pertindihan peranan antara ISF dan polis Palestin. “Pasukan antarabangsa tidak boleh menjadi ‘polis’ kepada rakyat Palestin,” katanya. Beliau menegaskan bahawa jawatankuasa teknokrat yang akan mentadbir Gaza harus kekal berhubung dengan Penguasa Palestin bagi menjamin wilayah itu terus diiktiraf sebagai sebahagian daripada tanah Palestin yang diduduki.
Ketika rundingan diplomatik ini berjalan, keadaan di Gaza kekal tegang. Pada 4 November, sekurang-kurangnya 115 orang dilaporkan terbunuh dan 352 cedera dalam serangan baru menjadikannya hari paling berdarah sejak gencatan senjata dimeterai pada 10 Oktober.
Menteri Luar Jerman, Encik Johann Wadephul, memberi amaran bahawa masa semakin suntuk untuk mengisi kekosongan kuasa di Gaza. “Kita perlu bertindak segera. Gencatan senjata amat penting, tetapi kita mesti mengisi kekosongan pentadbiran dan keselamatan di Gaza dengan segera,” katanya.
Dalam masa sama, diplomat Barat memberitahu bahawa beberapa calon untuk menyertai jawatankuasa teknokrat Palestin telah dikenal pasti dan sedang disemak bagi memastikan mereka diterima masyarakat sivil Gaza.
Namun isu paling rumit masih kekal pelucutan senjata Hamas. Seorang diplomat Barat berkata: “Satu-satunya syarat Hamas ialah mereka tidak akan melucutkan senjata dalam keadaan yang boleh menyebabkan mereka dibunuh oleh Israel.”
Walaupun ramai penganalisis ragu-ragu terhadap keberkesanan pelan ini, sumber diplomatik Barat berkata prosesnya “berjalan lebih lancar daripada jangkaan.” “Rakyat Gaza mahukan unsur antarabangsa yang menyokong kerajaan Palestin, bukan menggantikannya. Tetapi tanpa kehadiran antarabangsa dalam aspek keselamatan, Israel tidak akan menganggap rancangan ini serius dan Gaza tidak akan pernah memperoleh ruang untuk dibina semula seperti yang diharapkan,” kata seorang penganalisis. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg