WASHINGTON: Amerika Syarikat berkata ia tidak melihat “sebarang pemindahan paksa khusus” di Jaluran Gaza, bercanggah daripada laporan kumpulan hak asasi manusia yang menuduh Israel memindahkan secara paksa hampir 1.9 juta penduduk Palestin.
“Kami tidak melihat apa-apa jenis perpindahan paksa tertentu.
“Tetapi seperti yang anda dengar kami katakan secara konsisten, ini adalah sesuatu yang kami akan beri perhatian sangat teliti,” kata timbalan jurucakap Jabatan Negara, Encik Vedant Patel, kepada pemberita apabila ditanya mengenai laporan terbaru oleh Human Rights Watch (HRW).
“Adalah konsisten dan boleh diterima untuk meminta orang awam mengosongkan kawasan tertentu semasa mereka menjalankan operasi ketenteraan tertentu, dan kemudian mereka boleh pulang ke rumah,” katanya pada 14 November.
Encik Patel menekankan pemindahan paksa rakyat Palestin “akan menjadi garis merah” bagi Amerika, merujuk kepada ucapan Setiausaha Negara, Encik Antony Blinken, di Tokyo pada 8 November 2023.
Encik Blinken menetapkan tidak seharusnya ada pemindahan paksa penduduk Palestin dari Gaza “bukan sekarang, bukan selepas perang”, dan mengulangi penentangan Amerika mengenai sembarang pendudukan semula wilayah itu.
Encik Patel turut menolak penemuan jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyifatkan tindakan ketenteraan Israel di Gaza sebagai konsisten dengan “pembunuhan beramai-ramai”, atau genosid.
“Kami berpendapat ungkapan seperti itu dan tuduhan seperti itu pastinya tidak berasas,” kata beliau, mengulangi penilaian Amerika sebelum ini.
Jawatankuasa PBB menuduh Israel sengaja mengenakan keadaan yang mengancam nyawa rakyat Palestin, termasuk menggunakan kebuluran sebagai strategi peperangan.
“Sejak permulaan perang, pegawai Israel secara terbuka menyokong dasar yang menafikan rakyat Palestin keperluan yang diperlukan untuk meneruskan kehidupan dengan makanan, air, dan bahan api,” kata jawatankuasa itu.
Ia menambah bahawa Israel mengganggu secara sistematik bantuan kemanusiaan dengan menggunakan keperluan penting dan bekalan bagi tujuan politik dan ketenteraan.
Pemerhati HRW turut menuduh Israel melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan dengan memindahkan secara paksa hampir 1.9 juta penduduk Palestin semasa serangan di Gaza.
Dalam laporan itu, HRW memperincikan bagaimana serangan Israel, arahan pemindahan dan kemusnahan prasarana menyebabkan malapetaka kemanusiaan di Gaza.
“Niat tentera Israel nampaknya ialah memastikan wilayah itu dikosongkan dan dibersihkan daripada rakyat Palestin dan di tempat mereka, diduduki dan dikawal oleh tentera Israel,” kata HRW.
HRW menuntut tindakan antarabangsa segera, termasuk penyiasatan bebas terhadap tindakan Israel itu.
Laporan itu menggesa kuasa-kuasa dunia supaya mendesak pihak berkuasa Israel agar bertanggungjawab atas perpindahan dan krisis kemanusiaan yang berlaku di Gaza. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg