TEL AVIV: Tentera Israel telah meluaskan zon kemanusiaan yang diwujudkannya di selatan Gaza.
Tindakan itu dibuat sejurus sebelum tamat tarikh akhir kata dua pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, kepada Israel supaya menghantar lebih banyak bantuan ke kawasan itu atau berisiko terputus bekalan tentera.
Dalam satu kenyataan pada 11 November, tentera Israel berkata zon itu kini akan merangkumi hospital lapangan; kawasan perkhemahan; bekalan perlindungan; dan peruntukan makanan, air, ubat-ubatan serta peralatan perubatan.
Namun, ia tidak menyatakan sama ada sebarang penambahan baru telah dibuat kepada sumber sedia ada.
Tentera menyediakan peta yang menunjukkan sembilan kawasan telah ditambah ke zon itu.
Agensi bantuan berkata bekalan amat diperlukan bagi mengimbangi krisis kemanusiaan di Gaza, terutama di utara yang menyaksikan tentera Israel telah meningkatkan operasi ketenteraan terhadap kumpulan Hamas.
Pengumuman tentera Israel dibuat ketika tarikh akhir 30 hari yang ditetapkan pada 13 November oleh pentadbiran Encik Biden akan tamat.
Dalam salah satu amaran Amerika yang paling tegas sejak perang bermula, pentadbiran Encik Biden berkata kegagalan memberikan lebih banyak bantuan kepada 2.2 juta penduduk Gaza sebelum tarikh akhir itu “mungkin mempunyai implikasi kepada dasar Amerika”, termasuk bantuan ketenteraan yang diperlukan Israel.
Penasihat keselamatan negara Rumah Putih, Encik Jake Sullivan, berkata pada 10 November bahawa Amerika akan menilai “jenis kemajuan” yang telah dicapai Israel dalam menyalurkan bantuan ke Gaza.
Encik Sullivan berkata Encik Biden kemudian akan “membuat pertimbangan tentang apa yang kami perlu lakukan sebagai tindak balas”.
Masih tidak jelas sama ada peluasan yang diumumkan oleh tentera Israel itu akan membawa kepada sebarang peningkatan bantuan di dalam zon kemanusiaan, juga dikenali sebagai Al-Mawasi – kawasan pantai selatan Gaza yang kurang penduduk sebelum perang tetapi kini penuh sesak dengan keluarga yang berpindah.
Kawasan itu, yang ditetapkan sebagai selamat untuk orang awam oleh tentera Israel pada awal 2024, sering menjadi sasaran serangan Israel dan tidak mempunyai perkhidmatan perubatan yang mencukupi.
Tentera Israel berkata serangannya menyasarkan anggota Hamas dan ia telah mengambil langkah mengelakkan korban awam.
Israel sejak itu telah mengeluarkan arahan pemindahan yang menjejas bahagian zon kemanusiaan dan sekali gus mengecilkan kawasan yang sudah sesak itu lebih daripada seperlima.
Israel telah berulang kali mengarahkan rakyat Palestin di kawasan lain di Gaza agar berpindah ke zon kemanusiaan, walaupun terdapat bantahan daripada kumpulan bantuan bahawa kawasan itu tidak mempunyai tempat tinggal, air, makanan, sanitasi atau penjagaan kesihatan yang mencukupi. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg