Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Mahkamah AS sekat tarif Trump

Tindakan Presiden AS itu dikatakan langgar kuasa undang-undang
May 29, 2025 | 10:22 AM
trump, tarif
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump memegang carta semasa menyampaikan ucapan mengenai tarif timbal balas dalam satu acara, ‘Make America Wealthy Again’,di Taman Mawar Rumah Putih di Washington, DC, pada 2 April 2025. - Foto AFP

NEW YORK: Sebuah mahkamah persekutuan di Amerika Syarikat pada 28 Mei telah menyekat pelaksanaan tarif Presiden Donald Trump.

Ia memutuskan Encik Trump telah melampaui kuasanya dengan mengenakan duti menyeluruh ke atas import dari negara yang menjual lebih banyak produk kepada Amerika, daripada apa yang mereka beli.

Mahkamah Perdagangan Antarabangsa menyatakan bahawa Perlembagaan Amerika memberikan Kongres kuasa eksklusif untuk mengatur perdagangan dengan negara lain, dan kuasa itu tidak boleh diketepikan oleh kuasa darurat Presiden bagi melindungi ekonomi Amerika.

“Mahkamah tidak menilai sama ada penggunaan tarif oleh Presiden itu bijak atau berkesan. Ia tidak dibenarkan kerana undang-undang persekutuan tidak mengizinkannya,” kata panel tiga hakim dalam keputusannya.

Beberapa minit kemudian, pentadbiran Encik Trump memfailkan notis rayuan dan mempertikaikan kuasa mahkamah.

Keputusan Mahkamah Perdagangan Antarabangsa yang berpusat di Manhattan, yang mendengar pertikaian berkaitan undang-undang perdagangan dan kastam antarabangsa, boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan Persekutuan di Washington DC, dan akhirnya ke Mahkamah Agung Amerika.

Encik Trump menjadikan tarif import sebagai dasar utama dalam perang perdagangan yang telah mengganggu aliran perdagangan sejagat dan menggoncang pasaran kewangan.

Syarikat pelbagai saiz mengalami kesukaran akibat tarif yang dikenakan secara tiba-tiba dan perubahan mendadak dasar, menjejaskan rantaian bekalan, pengeluaran, tenaga kerja, dan harga.

Jurucakap Rumah Putih pada 28 Mei berkata defisit perdagangan Amerika dengan negara lain merupakan “darurat nasional yang telah memusnahkan masyarakat, meninggalkan pekerja kami, dan melemahkan asas industri pertahanan, fakta yang tidak dipertikaikan oleh mahkamah.

“Bukan tugas hakim yang tidak dipilih untuk memutuskan cara menangani darurat nasional,” kata jurucakap, Encik Kush Desai, dalam kenyataan.

Pasaran kewangan menyambut baik keputusan itu.

Dolar Amerika melonjak selepas perintah mahkamah, meningkat berbanding mata wang seperti euro, yen, dan franc Switzerland.

Niaga hadapan Wall Street dan pasaran saham Asia turut naik.

Jika kekal, keputusan itu akan menggugat strategi utama Encik Trump yang menggunakan tarif antara 10 dengan 54 peratus di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA) – yang sepatutnya hanya digunakan untuk ancaman luar biasa semasa darurat nasional.

Tanpa kelebihan segera ini, pentadbiran Encik Trump terpaksa melalui proses penyiasatan perdagangan yang lebih lama di bawah undang-undang lain bagi menyokong ancaman tarif mereka.

Keputusan itu melibatkan dua saman, satu difailkan oleh firma guaman kepentingan awam bukan meraih untung iaitu Pusat Keadilan Liberty bagi pihak lima syarikat kecil Amerika yang mengimport barangan dari negara sasaran tarif, dan satu lagi oleh 13 negeri Amerika.

Syarikat itu, daripada pengimport wain dan minuman keras di New York hingga pembuat kit pendidikan dan alat muzik di Virginia, berkata tarif itu menjejas kemampuan mereka untuk berniaga.

“Tiada persoalan tentang pengecualian yang terhad di sini; jika perintah tarif ini tidak sah kepada plaintif, ia tidak sah untuk semua,” tulis mahkamah.

Sekurang-kurangnya lima lagi cabaran undang-undang ke atas tarif itu sedang berjalan.

Peguam Negara Oregon, Encik Dan Rayfield, seorang Demokrat yang mengetuai tuntutan negeri, menyifatkan tarif Encik Trump sebagai “tidak sah, cuai dan membawa malapetaka ekonomi”.

“Keputusan ini menegaskan bahawa undang-undang negara kita penting dan keputusan perdagangan tidak boleh dibuat mengikut kehendak presiden,” katanya dalam satu kenyataan.

Encik Trump mendakwa beliau mempunyai kuasa luas untuk mengenakan tarif di bawah IEEPA, undang-undang yang biasanya digunakan untuk mengenakan sekatan ke atas musuh Amerika atau membekukan aset mereka.

Encik Trump ialah presiden pertama yang menggunakan IEEPA untuk mengenakan tarif.

Jabatan Kehakiman berkata saman itu wajar ditolak kerana plaintif belum menanggung bayaran tarif, dan hanya Kongres, bukan perniagaan swasta, yang boleh mencabar darurat nasional di bawah IEEPA.

Dalam pengumuman tarif pada awal April, Encik Trump menyifatkan defisit perdagangan sebagai darurat nasional yang membenarkan tarif 10 peratus ke atas semua import, dengan kadar lebih tinggi untuk negara yang mempunyai defisit terbesar dengan Amerika, terutama China.

Banyak tarif khusus itu ditangguhkan seminggu kemudian.

Pentadbiran Trump pada 12 Mei turut mengumumkan pengurangan sementara tarif tertinggi ke atas China sambil berunding perjanjian perdagangan jangka panjang.

Kedua-dua negara bersetuju untuk mengurangkan tarif antara satu sama lain selama sekurang-kurangnya 90 hari. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg