SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

AS nasihat rakyatnya tangguh haji 2026, jemaah Indonesia dijadual berlepas

AS nasihat rakyatnya tangguh haji 2026, jemaah Indonesia dijadual berlepas

Apr 8, 2026 | 12:35 PM

AS nasihat rakyatnya tangguh haji 2026, jemaah Indonesia dijadual berlepas

Bakal jemaah haji Indonesia menjalani latihan tawaf mengelilingi replika Kaabah, semasa sesi latihan di Pusat Latihan Manasik Al Mahmudah (AMTC) di Tangerang Selatan, pada 5 April. Pusat itu menyediakan pengalaman simulasi lokasi ibadah di Makkah sebagai persediaan menjelang musim haji pada akhir Mei.
Bakal jemaah haji Indonesia menjalani latihan tawaf mengelilingi replika Kaabah, semasa sesi latihan di Pusat Latihan Manasik Al Mahmudah (AMTC) di Tangerang Selatan, pada 5 April. Pusat itu menyediakan pengalaman simulasi lokasi ibadah di Makkah sebagai persediaan menjelang musim haji pada akhir Mei. - Foto AFP

RIYADH: Kedutaan Amerika Syarikat di Arab Saudi menasihatkan rakyatnya supaya mempertimbangkan semula hasrat menunaikan ibadah haji 2026 susulan ketegangan keselamatan yang semakin memuncak di rantau Timur Tengah.

Dalam satu kenyataan, kedutaan itu memaklumkan keadaan keselamatan kini serta gangguan perjalanan yang berlaku dari semasa ke semasa menjadi faktor utama amaran tersebut.

“Disebabkan keadaan keselamatan semasa dan gangguan perjalanan, kami menasihatkan agar penyertaan dalam ibadah haji tahun ini (2026) dipertimbangkan semula,” ujar kenyataan itu.

Kedutaan turut menegaskan bahawa mulai 18 April, individu yang ingin memasuki Makkah perlu menunjukkan permit haji, kad pemastautin Makkah atau permit kerja yang sah, manakala pemegang visa lain diminta meninggalkan bandar tersebut sebelum tarikh berkenaan.

Amaran itu dikeluarkan beberapa minggu sebelum musim haji dijangka bermula sekitar 25 Mei, dengan Hari Arafah dijangka jatuh pada 26 Mei dan Aidiladha pada 27 Mei, tertakluk kepada cerapan anak bulan.

Amaran keselamatan itu dikeluarkan ketika konflik antara Amerika-Israel dengan Iran memuncak sejak akhir Februari, mencetuskan serangan balas melibatkan dron dan peluru berpandu di beberapa negara Asia Barat.

Serangan tersebut dilaporkan menyasarkan Israel, Jordan, Iraq serta negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan Amerika sekali gus menyebabkan korban jiwa, kerosakan prasarana serta gangguan pada pasaran sejagat dan sektor penerbangan.

Ketegangan turut meningkat selepas Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengeluarkan kenyataan kontroversi yang memberi amaran bahawa “seluruh tamadun boleh musnah dalam satu malam”.

Sementara itu, di tengah keadaan yang tidak menentu, Indonesia memaklumkan bahawa persiapan bagi musim haji 2026 hampir selesai sepenuhnya.

Menteri Haji dan Umrah Indonesia, Encik Mochamad Irfan Yusuf, berkata segala urusan termasuk visa dan penyediaan makanan telah dimuktamadkan.

“Persiapan hampir 100 peratus. Visa telah dikeluarkan dan semua pengaturan seperti katering telah diselesaikan,” katanya dalam satu sidang media di Jakarta.

Beliau menambah, kumpulan pertama jemaah dijadual memasuki asrama haji pada 21 April sebelum berlepas ke Arab Saudi pada hari berikutnya.

“Insya-Allah, kumpulan pertama akan berlepas pada 22 April,” katanya.

Namun, beliau mengakui ketegangan di Timur Tengah memberi kesan kepada logistik, termasuk peningkatan kos bahan api yang meningkat hampir dua kali ganda.

“Kami berharap keadaan yang tidak menggalakkan ini tidak menjejas perjalanan jemaah dan pelaksanaan ibadah haji,” tambahnya.

Duta Arab Saudi ke Indonesia, Encik Faisal Abdullah Al-Amudi, memberi jaminan kerajaan Arab Saudi beriltizam memastikan kelancaran ibadah haji.

“Kami terus menyelaras dan bersedia membantu (jika) sebarang isu timbul,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan memastikan jemaah, khususnya dari Indonesia, dapat menunaikan ibadah dengan selamat dan teratur.

“Kami bersedia memberikan bantuan bagi memastikan ibadah haji berjalan lancar,” tambah beliau. – Agensi berita.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg