Duta Saudi ke Indonesia jamin haji 2026 berjalan lancar meski ketegangan serantau
Duta Saudi ke Indonesia jamin haji 2026 berjalan lancar meski ketegangan serantau
Keberangkatan jemaah haji Indonesia pada 22 Apr diteruskan ikut jadual
Duta Saudi ke Indonesia jamin haji 2026 berjalan lancar meski ketegangan serantau
JAKARTA: Duta Besar Arab Saudi ke Indonesia, Encik Faisal bin Abdullah Al-Amudi, memberi jaminan bahawa ibadah haji 2026 akan berlangsung lancar dan mengikut perancangan walaupun ketegangan geopolitik di Timur Tengah semakin memuncak.
Beliau berkata keadaan keselamatan di Arab Saudi kekal stabil dan semua persiapan bagi musim haji berjalan seperti dirancang oleh pemerintah.
“Arab Saudi, alhamdulillah, kekal selamat. Segala persiapan berjalan lancar,” katanya dalam sidang media di kediamannya di Jakarta pada 24 Mac.
Menurut beliau, pihak berkuasa Arab Saudi yakin sepenuhnya dengan tahap kesiapsiagaan bagi menerima jutaan anggota jemaah dari seluruh dunia.
“Semua akan berjalan seperti yang dirancang,” tambahnya.
Kenyataan itu dibuat ketika kebimbangan timbul dalam kalangan bakal jemaah termasuk dari Indonesia, susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran yang menyebabkan gangguan penerbangan serta penutupan ruang udara di beberapa kawasan.
Encik Faisal menegaskan perkembangan tersebut tidak menjejas persiapan haji.
Sementara itu, pemerintah Indonesia turut mengesahkan jadual keberangkatan jemaah haji kekal seperti yang ditetapkan.
Menteri Haji Indonesia, Encik Mochamad Irfan Yusuf, berkata kumpulan pertama jemaah dijangka berlepas pada 22 April tanpa sebarang perubahan.
“Sehingga kini, tiada perubahan pada jadual keberangkatan haji 2026. Kami berharap semuanya berjalan lancar,” katanya.
Indonesia, negara dengan penduduk Muslim terbesar dunia, akan menghantar kira-kira 221,000 anggota jemaah bagi musim haji 2026.
Kemuncak ibadah haji iaitu wuquf di Arafah dijangka berlangsung pada 26 Mei.
Menurut Encik Mochamad Irfan, pihak Arab Saudi telah memberi jaminan bahawa semua urusan, termasuk haji dan umrah, berjalan seperti biasa.
Beliau turut menegaskan bahawa pemerintah telah menyediakan segala keperluan termasuk penginapan, makanan dan hotel bagi memastikan kelancaran perjalanan ibadah.
Walaupun terdapat laporan mengenai gangguan penerbangan ke Arab Saudi, beliau berkata laluan alternatif masih tersedia.
Encik Mochamad Irfan berkata dana disediakan untuk memenuhi semua keperluan operasi dan penerbangan terus ke Arab Saudi masih tersedia serta tidak terjejas oleh perkembangan keadaan geopolitik.
“Kami sentiasa berkomunikasi dengan pasukan Kementerian Haji Arab Saudi, dan setakat ini, mereka telah menyatakan bahawa tiada perubahan pada jadual,” katanya.
Beliau juga memberi jaminan bahawa ibadah umrah terus berjalan dengan selamat dengan pengawasan ketat bagi memastikan jemaah pulang mengikut jadual.
Konflik yang tercetus sejak akhir Februari, apabila Amerika dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran turut memberi kesan kepada laluan penerbangan serta perdagangan sejagat, termasuk gangguan di Selat Hormuz yang menjadi laluan penting bagi minyak dan gas asli cecair dunia.
Dalam sidang media yang sama, Encik Faisal menegaskan pendirian Arab Saudi yang mengecam serangan Iran ke atas negara Teluk dan beberapa negara Islam lain.
“Kami menolak dan mengutuk serangan yang menyasarkan Arab Saudi dan negara jiran. Ia melanggar undang-undang antarabangsa serta prinsip hubungan baik antara negara,” katanya.
Beliau menambah bahawa tindakan tersebut bukan sahaja menjejas kestabilan politik serantau, malah memberi kesan kepada perpaduan umat Islam.
Encik Faisal turut menekankan keperluan menghentikan serangan dengan segera selaras dengan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – Agensi berita.

