Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS, negara Arab seru PBB segera laksana huraian mengenai Gaza

Nov 15, 2025 | 5:53 PM
Gaza, PBB, huraian Gaza
Para anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bermesyuarat mengenai krisis di Gaza, di ibu pejabat PBB di New York, Amerika Syarikat. - Foto AFP

NEW YORK: Amerika Syarikat serta beberapa negara Arab seperti Mesir, Arab Saudi dan Turkey menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya segera meluluskan misi peleraian Amerika menyokong rancangan damai Gaza, yang diusulkan Presiden Amerika, Encik Donald Trump.

“Amerika, Qatar, Mesir, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Indonesia, Pakistan, Jordan dan Turkey, melahirkan sokongan terhadap huraian Majlis Keselamatan PBB yang sedang dipertimbangkan,” kata negara-negara itu dalam satu kenyataan bersama pada 14 November.

Mereka turut menggesa supaya ketetapan itu ‘diluluskan dengan segera’.

Minggu lalu, Amerika secara rasmi memulakan rundingan di Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai 15 anggota, mengenai satu teks yang akan menyusuli gencatan senjata selepas perang dua tahun antara Israel dengan Hamas, serta mengesahkan rancangan Encik Trump.

Draf ketetapan itu menunjukkan ia ‘mengalu-alukan penubuhan Lembaga Keamanan’, sebuah badan pentadbiran sementara di Gaza, yang secara teori akan dipengerusikan Encik Trump, dengan mandat sehingga akhir 2027.

Ia juga akan membenarkan negara-negara anggota membentuk Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) sementara bagi bekerjasama dengan Israel, Mesir dan pasukan polis Palestin yang baru dilatih bagi membantu mengamankan kawasan sempadan serta menjadikan Jaluran Gaza zon bebas tentera.

Tidak seperti draf sebelumnya, versi terbaru itu turut menyebut mengenai kemungkinan pembentukan sebuah negara Palestin pada masa depan.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan ketika Russia mengedar satu draf huraian alternatif kepada anggota Majlis Keselamatan yang tidak membenarkan pembentukan Lembaga Keamanan atau penempatan pasukan antarabangsa di Gaza.

Bagaimanapun, versi Russia itu mengalu-alukan ‘inisiatif yang membawa kepada gencatan senjata’, namun tidak menyebut nama Encik Trump.

Ia turut menyeru Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, dari Portugal, agar mengemukakan laporan mengenai kemungkinan penempatan pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza.

Amerika menyifatkan gencatan senjata yang berlangsung sekarang sebagai ‘rapuh’ dan memberi amaran mengenai risiko sekiranya draf mereka ditolak.

“Mana-mana penolakan terhadap ketetapan ini ibarat mengundi untuk kekuasaan berterusan Hamas atau kumpulan itu kembali berperang dengan Israel, sekali gus menghukum wilayah itu dan rakyatnya dengan konflik berpanjangan,” kata Duta Amerika ke PBB, Encik Mike Waltz. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg