NEW YORK: Usaha Amerika Syarikat untuk mendapatkan mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi menubuhkan pasukan penstabilan antarabangsa di Gaza terus berdepan tentangan sengit daripada Russia, China dan beberapa negara Arab.
Negara-negara itu melahirkan kebimbangan terhadap cadangan pembentukan badan pentadbiran sementara dikenali sebagai Lembaga Keamanan yang akan mentadbir Gaza buat sementara waktu di bawah pelan gencatan senjata Presiden Amerika Donald Trump.
Selain itu, mereka turut mempersoalkan ketiadaan peranan peralihan untuk Penguasa Palestin (PA), sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa warga Palestin akan diketepikan daripada proses pentadbiran dan pembinaan semula wilayah berkenaan.
Menurut empat diplomat PBB yang mengetahui rundingan tertutup itu, Beijing dan Moscow kedua-duanya anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang memiliki kuasa veto mendesak agar Lembaga Keamanan yang digariskan dalam pelan gencatan senjata Presiden Trump digugurkan sepenuhnya daripada draf ketetapan.
Namun, dalam draf terkini yang diperoleh agensi berita, Washington tetap mempertahankan kewujudan badan tersebut sambil menambah bahawa bahasa yang memberi sedikit komitmen terhadap hak menentukan nasib sendiri rakyat Palestin, walaupun dianggap masih longgar.
Seorang diplomat PBB yang enggan dikenali berkata: “Perbezaan pandangan mengenai Lembaga Keamanan bukan perbezaan kecil. Ia menunjukkan jurang besar antara beberapa ahli Majlis Keselamatan dan Amerika Syarikat selepas lebih dua tahun perang.”
Dalam kenyataan pada 13 November, misi Amerika ke PBB memberi amaran bahawa sebarang percubaan untuk menggagalkan rundingan akan membawa “akibat serius dan boleh dielakkan” kepada rakyat Gaza.
“Majlis perlu bersatu dan meluluskan ketetapan ini,” tegas kenyataan itu.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, turut menggesa Majlis Keselamatan PBB supaya tidak melengah-lengahkan proses tersebut.
“Saya rasa kita sedang membuat kemajuan. Kita tidak boleh hilang momentum,” katanya sebelum berlepas dari mesyuarat menteri luar Kumpulan Tujuh (G7) di Canada.
Draf asal yang diedarkan minggu lalu mencadangkan mandat antarabangsa yang luas kepada pasukan penstabilan sehingga akhir 2027.
Mandat itu diperlukan oleh negara-negara Arab yang berminat menyumbang pasukan tentera, tetapi draf tersebut mendapat tentangan segera daripada Russia, China dan Algeria.
Hampir semua ahli Majlis Keselamatan lain turut mengemukakan pindaan.
Isu utama yang dipertikaikan termasuk hala tuju ke arah pembentukan negara Palestin serta tempoh masa pengunduran tentera Israel dari Gaza.
Bagi meredakan kritikan tersebut, draf baru menjelaskan bahawa hanya selepas pembaharuan dalam PA “dilaksanakan sepenuhnya” dan proses pembangunan semula Gaza mencapai kemajuan ketara, barulah “keadaan mungkin membolehkan satu laluan yang kredibel ke arah penentuan nasib sendiri dan pembentukan sebuah negara Palestin”.
Draf terkini menyebut bahawa tentera Israel akan berundur secara berperingkat apabila pasukan penstabilan mengambil alih kawalan keselamatan.
Namun, ia turut menegaskan bahawa langkah itu mesti memenuhi “piawaian, penanda aras dan jadual masa yang dipersetujui” oleh Israel, pasukan penstabilan dan Amerika Syarikat.
UAE sekutu rapat Amerika secara terbuka menyatakan bahawa ia tidak melihat rangka kerja jelas untuk pasukan penstabilan itu dan tidak akan menyertainya dalam keadaan sekarang.
Di Israel pula, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu kekal menolak pembentukan negara Palestin dan kembalinya Penguasa Palestin ke Gaza.
Beberapa negara Majlis Keselamatan PBB turut meminta penjelasan lanjut tentang Lembaga Keamanan termasuk siapa yang akan menganggotainya dan bagaimana ia akan berfungsi.
Namun, draf baru tidak banyak mengubah perincian tersebut.
Beberapa diplomat memberi amaran bahawa jika rundingan terus buntu, Washington boleh memilih untuk bertindak secara unilateral dengan membentuk “gabungan negara sedia berkhidmat” tanpa mandat PBB.
“Amerika mungkin hilang sabar,” kata seorang diplomat, “dan meneruskan rancangan itu bersama negara-negara yang bersetuju”.
Menurut seorang lagi diplomat, Amerika kini mempunyai tiga pilihan: menerima pindaan bermakna, membawa draf itu ke undian (dan berharap tiada veto), atau membentuk gabungan luar-PBB untuk menstabilkan Gaza.
Beliau turut mengakui bahawa Moscow dan Beijing mahu lebih separuh kandungan draf digugurkan, dan hanya bersetuju jika pasukan penstabilan itu melapor terus kepada Majlis Keselamatan.
Draf semasa menjelaskan bahawa pasukan penstabilan akan bertanggungjawab memastikan penyingkiran elemen ketenteraan di Gaza, melucut serta melupuskan senjata kumpulan bersenjata bukan negara, dan mengawal kawasan sempadan bersama pasukan polis Palestin yang telah dilatih.
Pasukan itu juga akan menyelaras penyampaian bantuan kemanusiaan dengan negara jiran, termasuk Mesir dan Israel, bagi memastikan laluan bantuan berjalan lancar dan selamat.
Teks itu turut menekankan “penyambungan semula sepenuhnya” bantuan kemanusiaan oleh PBB, Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, serta memastikan bantuan tidak diseleweng.
Seorang diplomat menambah: “Langkah cepat amat penting. Kita tidak boleh kehilangan momentum menuju perdamaian.”
Namun, dengan kuasa veto masih menjadi faktor penentu, nasib resolusi itu kekal tidak pasti sama ada bakal diluluskan, dipinda, atau digugurkan sepenuhnya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg