OTTAWA: Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, melahirkan keyakinannya bahawa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan memuktamadkan satu resolusi penting mengenai Gaza bagi menyokong pembentukan Pasukan Keselamatan Antarabangsa (ISF).
“Kami optimis bahawa ia akan menjadi kenyataan,” kata Encik Rubio kepada wartawan selepas mesyuarat menteri luar G7 di Canada. “Kami sedang mencapai kemajuan yang baik dalam perincian bahasa resolusi itu, dan kami berharap tindakan mengenainya dapat diambil dalam masa terdekat.”
Encik Rubio menegaskan bahawa Washington kini sedang berbincang dengan beberapa negara bagi mencari “imbangan kepentingan bersama” dalam pelaksanaan misi ini. “Kami mahu struktur pasukan ini tidak hanya berfungsi dari segi ketenteraan, tetapi juga menyokong matlamat kemanusiaan dan politik jangka panjang,” katanya.
Menurut Encik Rubio, draf resolusi itu merupakan susulan kepada rancangan gencatan senjata perang dua tahun di Gaza yang diusahakan oleh Presiden Donald Trump. Amerika Syarikat dijangka membawa resolusi tersebut ke undian Majlis Keselamatan dalam masa beberapa hari supaya pasukan keselamatan itu dapat dihantar ke Gaza menjelang awal tahun 2026.
Encik Rubio menjelaskan bahawa kehadiran pasukan antarabangsa itu penting bagi memastikan keselamatan, menyalurkan lebih banyak bantuan kemanusiaan, dan menyingkirkan pengaruh Hamas di wilayah Palestin itu.
“Jika kita mahu melihat peningkatan besar dalam bantuan kemanusiaan dan pembangunan semula Gaza, keselamatan mesti menjadi keutamaan. Dan keselamatan itu tidak boleh datang daripada Hamas,” katanya tegas.
Draf terkini resolusi itu, menurut sumber diplomatik, memperincikan bahawa ISF akan bertanggungjawab untuk menstabilkan keadaan keselamatan di Gaza, memastikan proses melucutkan senjata, memusnahkan infrastruktur ketenteraan dan menamatkan sepenuhnya kegiatan kumpulan bersenjata bukan negara.
Resolusi tersebut juga mencadangkan mandat dua tahun untuk ISF, di mana “Lembaga Keamanan” yang dipengerusikan oleh Presiden Trump akan memantau “pentadbiran peralihan Palestin” sehingga Penguasa Palestin selesai melaksanakan reformasi dan mampu mengambil alih pentadbiran Gaza dengan berkesan.
Namun, ramai pemerhati antarabangsa berpendapat bahawa meyakinkan negara-negara lain untuk menghantar tentera ke Gaza bukan tugas mudah. Sebilangan besar negara secara tertutup menyatakan keengganan mereka menghantar askar ke zon konflik yang mungkin memerlukan mereka berhadapan secara langsung dengan kumpulan bersenjata.
Encik Rubio turut menegaskan bahawa komitmen Hamas terhadap pelupusan senjata merupakan “janji yang mesti ditepati”. “Itu adalah perjanjian yang telah disepakati oleh semua pihak dalam pelan keamanan ini. Kami menjangkakan negara-negara yang terlibat akan menggunakan pengaruh mereka untuk memastikan Hamas menunaikan komitmen tersebut,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pasukan keselamatan antarabangsa itu bukan pasukan tempur: “Ia tidak sepatutnya menjadi pasukan tempur,” kata Encik Rubio. “Tujuannya adalah untuk memastikan keamanan, bukan untuk berperang.”
Namun begitu, beliau mengakui bahawa realiti di lapangan mungkin memerlukan pasukan tersebut menguatkuasakan keamanan secara aktif, termasuk mengawasi kawasan yang kini tidak lagi berada di bawah kawalan Israel.
“Matlamat akhirnya ialah tiada lagi garis pemisah, tiada lagi penguasaan Hamas di mana-mana bahagian Gaza. Sebaliknya, sebuah pentadbiran Palestin yang berwibawa dan berkeupayaan akan mentadbir wilayah itu,” kata Encik Rubio.
Dalam sidang media sama, Encik Rubio turut menyentuh keganasan pelampau peneroka Israel di Tebing Barat, yang menurutnya boleh menjejaskan usaha mengekalkan gencatan senjata di Gaza.
“Terdapat kebimbangan bahawa kejadian di Tebing Barat boleh menular dan menggugat kestabilan di Gaza,” katanya. Namun beliau menambah, “Saya berharap insiden itu tidak menjejaskan gencatan senjata yang telah dicapai.”
Encik Rubio memuji Presiden Israel Isaac Herzog dan pegawai kanan tentera kerana mengecam keganasan peneroka, sehari selepas sekumpulan pelampau Israel dilaporkan melakukan serangan membakar ladang dan kilang milik penduduk Palestin di antara bandar Nablus dan Tulkarem.
Namun, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan beberapa anggota gabungan sayap kanan masih berdiam diri, menyebabkan pemerintah dikritik kerana didakwa menutup mata terhadap tindakan pelampau tersebut.
Pemerhati politik di Washington menyifatkan kenyataan Encik Rubio sebagai jarang berlaku dalam pentadbiran Trump, yang sebelum ini menarik balik sekatan ke atas pelampau peneroka Yahudi yang dikenakan semasa era Presiden Joe Biden.
Walaupun tidak mengeluarkan kecaman keras, kenyataan Encik Rubio menandakan perubahan nada diplomatik Amerika, dengan mesej jelas bahawa usaha damai di Gaza tidak boleh dipisahkan daripada kestabilan di Tebing Barat. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg