Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS optimistik tetapi berhati-hati untuk capai gencatan senjata

Jul 11, 2024 | 11:55 AM
Israel
Tentera Israel masih melakukan operasi ketenteraan di Gaza di sebalik usaha yang dilakukan untuk mencapai gencatan senjata. - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Amerika Syarikat “berhati-hati optimis” mengenai rundingan tebusan Gaza untuk gencatan senjata dan jurang antara kedua-dua pihak boleh dikecilkan, kata jurucakap keselamatan negara Rumah Putih, Encik John Kirby.

“Kami optimis dengan berhati-hati bahawa keadaan sedang bergerak ke arah yang baik,” kata Encik Kirby apabila ditanya sama ada perjanjian gencatan senjata sudah hampir dicapai.

Menurutnya, masih terdapat jurang antara Israel dengan Hamas tetapi pihaknya percaya jurang itu boleh dikecilkan, dan itulah yang utusan Amerika di Timur Tengah, Encik Brett McGurk dan Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA), Encik Bill Burns, cuba lakukan sekarang.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, pada akhir Mei memperincikan cadangan tiga fasa bagi mencapai gencatan senjata.

Ini termasuk pembebasan tebusan di Gaza dan tahanan Palestin di penjara Israel, pengunduran tentera Israel dari Gaza dan pembinaan semula wilayah pantai itu.

Encik Burns dan Encik McGurk berada di Timur Tengah bagi membincangkan perjanjian gencatan senjata dengan rakan serantau.

Hamas telah menerima bahagian penting dalam rancangan Amerika itu – menggugurkan tuntutan bahawa Israel terlebih dahulu melakukan gencatan senjata kekal sebelum menandatangani perjanjian tersebut.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah menegaskan perjanjian itu tidak boleh menghalang Israel daripada meneruskan pertempuran sehingga matlamat perangnya untuk memusnahkan Hamas tercapai.

Encik Netanyahu memberitahu Encik McGurk pada 10 Julai bahawa beliau komited untuk mencapai perjanjian gencatan senjata Gaza dengan syarat garis merah Israel dihormati, kata pejabatnya.

Perang meletus apabila Hamas menyerang selatan Oktober pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang dan menahan lebih 240 yang lain sebagai tebusan.

Serangan balas Israel sehingga kini telah membunuh lebih 38,000 rakyat Palestin, menyebabkan krisis kelaparan yang teruk dan hampir memusnahkan Gaza sepenuhnya. – Reuters.

“Kami optimis dengan berhati-hati bahawa keadaan sedang bergerak ke arah yang baik.”
Encik John Kirby, jurucakap keselamatan negara Rumah Putih.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg