GAZA/BAITULMAKDIS: Serangan baru Israel ke atas Gaza pada 8 Julai boleh mengancam rundingan gencatan senjata pada saat yang genting, kata ketua Hamas ketika kereta-kereta kebal Israel meluru ke tengah Bandar Gaza dan mengarahkan penduduk keluar selepas pengeboman besar-besaran semalaman.
Penduduk berkata, serangan udara dan serangan artileri adalah antara yang paling dahsyat dalam lebih sembilan bulan konflik antara tentera Israel dengan Hamas di kawasan itu.
Serangan itu berlaku ketika pegawai kanan Amerika Syarikat giat berusaha mendesak gencatan senjata selepas Hamas membuat konsesi besar minggu lalu.
Kumpulan itu berkata serangan baru tersebut nampaknya bertujuan untuk menggagalkan rundingan dan menggesa pengantara supaya mengekang Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu.
Serangan itu “boleh membawa proses rundingan kembali ke titik awal. Encik Netanyahu dan tenteranya akan memikul tanggungjawab penuh atas keruntuhan laluan ini”, Hamas memetik pemimpinnya, Encik Ismail Haniyeh, sebagai menyatakan demikian.
Penduduk berkata kawasan kejiranan Bandar Gaza menjadi sasaran bom sepanjang malam hingga awal pagi 8 Julai.
Beberapa bangunan bertingkat tturut musnah, kata mereka.
Perkhidmatan Kecemasan Awam Gaza berkata ia percaya berpuluh-puluh orang terbunuh tetapi pasukan kecemasan tidak dapat menjalankan pemeriksaan kerana serangan berterusan.
Penduduk Gaza berkata kereta kebal maju dari sekurang-kurangnya tiga arah dan sampai ke tengah-tengah Bandar Gaza, disokong oleh bedilan berat Israel dari udara dan darat.
Ini telah memaksa beribu-ribu orang keluar dari rumah mereka untuk mencari tempat perlindungan yang lebih selamat tetapi sukar ditemui dan ada yang tidur di tepi jalan.
“Musuh ada di belakang kita dan di laut yang ada di depan kita, ke mana kita hendak pergi?” kata Encik Abdel-Ghani, seorang penduduk Bandar Gaza.
“Bedilan kereta kebal dan peluru berpandu dari pesawat jatuh di jalan raya dan rumah seperti neraka dari gunung berapi.
“Orang ramai berlari ke pelbagai arah tetapi mereka kebuntuan hendak tuju ke mana,” tambah beliau.
Tentera Israel mendakwa militan Hamas dan sekutunya Jihad Islam bersembunyi di sebalik prasarana awam untuk menyerang tentera Israel.
Pada 8 Julai, ia mengeluarkan arahan supaya penduduk di Bandar Gaza, Rimal, Tel Al-Hawa dan Daraj berpindah ke Deir al-Balah di tengah Gaza.
Briged Syuhada Fatah Al-Aqsa Palestin berkata mereka melepaskan bom mortar terhadap tentera Israel semasa serbuan di barat daya Bandar Gaza.
Perang meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang dan lebih 240 yang lain ditahan sebagai tebusan.
Serangan balas dan berterusan Israel telah mengorbankan lebih 38,000 rakyat Palestin manakala lebih 87,000 yang lain cedera, kata kementerian kesihatan Gaza.
Perang juga menyebabkan penduduk Palestin mengalami masalah kelaparan akibat kurangnya bantuan kemanusiaan yang masuk ke wilayah yang terkepung itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg