KAHIRAH/BAITULMAKDIS/GAZA: Sebarang perjanjian gencatan senjata Gaza mesti membenarkan Israel meneruskan pertempuran sehingga matlamatnya tercapai, kata Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 7 Julai.
Kenyataannya itu dibuat ketika perbincangan mengenai rancangan Amerika Syarikat bagi menamatkan perang dijangka disambung semula.
Lima hari selepas Hamas menerima sebahagian butiran penting rancangan itu, dua pegawai Hamas berkata kumpulan itu sedang menunggu maklum balas Israel terhadap cadangan terbarunya.
Encik Netanyahu dijadual mengadakan rundingan lewat pada 7 Julai mengenai pelan tiga fasa yang dibentangkan pada Mei oleh Presiden Amerika, Encik Joe Biden, dan sedang diketengahkan oleh perantara Qatar dan Mesir.
Ia bertujuan menamatkan perang dan membebaskan sekitar 120 tebusan Israel yang masih ditahan di Gaza.
Hamas telah menggugurkan tuntutan utama bahawa Israel terlebih dahulu perlu melaksanakan gencatan senjata kekal sebelum ia menandatangani perjanjian.
Sebaliknya, ia berkata ia akan membenarkan rundingan dicapai bagi gencatan senjata sepanjang fasa pertama enam minggu, sumber Hamas memberitahu agensi berita, Reuters, pada 6 Julai dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
Tetapi Encik Netanyahu berkata beliau menegaskan perjanjian itu tidak boleh menghalang Israel daripada meneruskan pertempuran sehingga matlamat perangnya tercapai.
Matlamat tersebut ditakrifkan pada permulaan perang sebagai membongkar keupayaan tentera dan pemerintahan Hamas, serta mengembalikan tebusan.
“Rancangan yang dipersetujui oleh Israel dan yang telah dialu-alukan oleh Encik Biden akan membolehkan Israel memulangkan tebusan tanpa melanggar matlamat perang yang lain,” kata Encik Netanyahu.
Perjanjian itu, katanya, juga mesti melarang penyeludupan senjata ke Hamas melalui sempadan Gaza-Mesir dan tidak sepatutnya membenarkan beribu-ribu militan bersenjata kembali ke utara Gaza.
Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA) Amerika, Encik William Burns, akan bertemu Perdana Menteri Qatar dan ketua risikan Israel dan Mesir pada 10 Julai di Doha, kata sumber yang mengetahui isu itu.
Encik Burns juga dijangka melawat Kahirah minggu ini, bersama delegasi Israel, lapor berita televisyen, Al Qahera, Mesir pada 7 Julai, memetik sumber berpangkat tinggi.
Rundingan baru yang bakal diadakan di Doha itu menyusuli percubaan berbulan-bulan untuk mencapai gencatan senjata tetapi gagal.
Seorang pegawai Palestin yang rapat dengan rundingan itu berkata cadangan tersebut boleh membawa kepada perjanjian rangka kerja jika diterima oleh Israel dan akan menamatkan perang.
“Kami telah memberi jawapan kami kepada perantara dan menunggu untuk mendengar jawapan Israel,” kata pegawai Palestin itu.
Seorang lagi pegawai Palestin yang mengetahui perbincangan gencatan senjata berkata Israel sedang berbincang dengan Qatar dan maklum balas dijangka diterima dalam beberapa hari.
Perang masuk bulan ke-10 itu meletus apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh lebih 1,400 orang dan 240 yang lain ditahan sebagai tebusan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg