Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS pantau 500 kecederaan awam akibat senjata bantuan Washington di Gaza

Nov 11, 2024 | 5:30 AM
Penunjuk perasaan berhimpun semasa bantahan, ‘Hentikan Pembunuhan Beramai-Ramai’ di London, Britain, pada 2 November. Puluhan ribu orang berarak di London mendesak penamatan pengeboman di Gaza
Penunjuk perasaan berhimpun semasa bantahan, ‘Hentikan Pembunuhan Beramai-Ramai’ di London, Britain, pada 2 November. Puluhan ribu orang berarak di London mendesak penamatan pengeboman di Gaza - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Pegawai Jabatan Negara Amerika Syarikat telah mengenal pasti hampir 500 kemungkinan kecederaan orang awam yang terjadi sepanjang operasi ketenteraan Israel di Gaza, adalah daripada senjata yang diperoleh daripada bantuan Amerika.

Menurut tiga sumber termasuk seorang pegawai Amerika yang terlibat dalam isu tersebut, setakat ini, tiada tindakan lanjut diambil terhadap sebarang kejadian

Kejadian itu mungkin telah melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa, ujar sumber tersebut pada lewat Oktober.

Sistem pemantauan itu dijalankan melalui mekanisme rasmi Jabatan Negara yang dinamakan, Panduan Tindakan Insiden Kecederaan Orang Awam, yang berfungsi menjejak dan menilai sebarang laporan penyalahgunaan senjata asal Amerika.

Kejadian itu, yang bermula sejak 7 Oktober 2023 ketika konflik di Gaza meletus, dikumpulkan daripada pelbagai sumber termasuk laporan media, kumpulan masyarakat sivil dan hubungan dengan pemerintah asing.

Seorang mantan pegawai Amerika berkata bahawa walaupun kejadian itu telah didokumentasikan, tiada kes berkaitan Gaza yang mencapai tahap ketiga setakat ini.

Mekanisme itu yang diwujudkan pada Ogos 2023, melibatkan tiga tahap: analisis kejadian, penilaian kesan dasar dan tindakan koordinasi.

Antara tindakan yang boleh diambil termasuk berunding dengan pemerintah Israel agar mengurangkan risiko kepada orang awam atau menangguhkan lesen eksport senjata ke Israel.

Pegawai Jabatan Negara Amerika, Encik Matthew Miller, menyatakan bahawa pentadbiran Encik Joe Biden mengakui betapa sukarnya untuk menilai setiap kejadian melibatkan individu.

“Kami sedang melakukan penyiasatan dengan teliti dan agresif kerana penting untuk mencapai kesimpulan yang tepat,” ujar Encik Miller.

Beliau turut menambah bahawa Amerika kerap menyuarakan kebimbangan mengenai risiko kepada orang awam kepada Israel, namun proses itu bukanlah mudah.

Menurut Encik John Ramming Chappell, seorang penasihat undang-undang, pentadbiran Encik Biden dilihat bergantung kepada pihak Israel untuk menjalankan siasatan sendiri.

“Pemerintah Amerika tidak banyak berusaha untuk menyiasat bagaimana tentera Israel menggunakan senjata buatan Amerika,” katanya sambil mengkritik Amerika atas kurangnya tindakan proaktif dalam isu ini.

Proses siasatan Jabatan Negara itu tidak semata-mata menilai pelanggaran undang-undang antarabangsa, malah merangkumi semua kejadian yang menyebabkan kecederaan atau kematian orang awam yang berkaitan dengan senjata Amerika.

Tindakan itu bertujuan menilai jika kematian atau kecederaan tersebut boleh dielakkan atau dikurangkan.

Sumber Amerika yang tidak ingin dinamakan berkata: “Semakan insiden boleh membawa kepada cadangan latihan tambahan untuk unit atau kelengkapan yang berbeza, selain daripada tindakan yang lebih berat.”

Dalam pada itu, tindakan ketenteraan Israel semakin mendapat kecaman antarabangsa.

Berdasarkan laporan terkini, lebih 43,000 rakyat Palestin telah terbunuh dalam operasi ketenteraan Israel di Gaza.

Episod keganasan terkini dalam konflik Israel-Palestin yang telah berlarutan sejak puluhan tahun tercetus pada 7 Oktober 2023, apabila kumpulan Hamas dari Gaza menyerang selatan Israel, menyebabkan kematian 1,200 orang serta penawanan 250 yang lain.

Seorang pegawai Amerika yang enggan dikenali mengulas:

“Kecederaan dan kematian orang awam perlu dijadikan pertimbangan utama dalam sebarang konflik.

“Proses pemantauan ini adalah bukti bahawa Amerika mengutamakan keselamatan orang awam, walaupun ia berdepan cabaran untuk bertindak secara berkesan dalam situasi genting seperti di Gaza.”

Pentadbiran Encik Biden turut dikritik oleh aktivis hak asasi manusia yang mendesak Amerika supaya bertindak lebih tegas terhadap Israel.

Menurut mereka, kerjasama ketenteraan antara Amerika dengan Israel tanpa pengawasan yang teliti hanya akan meningkatkan risiko kecederaan kepada orang awam di wilayah konflik.

Pentadbiran Encik Biden sebelum ini menegaskan bahawa tindakan yang lebih tegas akan diambil jika terdapat bukti kukuh bahawa Israel telah melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Namun, kenyataan itu dianggap sekadar retorik oleh sesetengah pengkritik yang berpendapat Amerika perlu mengutamakan tindakan konkrit berbanding sekadar mengumpulkan data dan membuat siasatan.

Akhbar Washington Post yang melaporkan kejadian itu juga menyebut bahawa tekanan daripada sekutu Amerika termasuk negara Arab, semakin meningkat untuk menghentikan kekerasan di Gaza.

Bagi masyarakat antarabangsa, tindakan tegas Amerika amat diperlukan bagi memastikan Israel bertanggungjawab atas sebarang kecederaan kepada orang awam yang berpunca daripada penggunaan senjata bantuan Amerika. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg