RISHON LE-ZION (Israel): Satu kebocoran dokumen sulit Gaza yang disyaki melibatkan pembantu Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, telah menyentak politik Israel dan menimbulkan kemarahan keluarga tebusan yang telah mendesak perjanjian pembebasan mereka.
Butiran kes telah didedahkan secara bertahap kerana perintah sekatan oleh mahkamah.
Namun keputusan majistret yang membatalkan sebahagian perintah itu telah memberikan gambaran awal kes yang dikatakan telah menjejas sumber keselamatan dan mungkin perang Israel untuk membebaskan tebusan.
“Maklumat sulit dan sensitif perisikan telah diambil daripada sistem Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dan dibawa keluar secara haram,” kata keputusan Mahkamah yang dibacakan oleh Majistret Rishon Le-Zion pada 3 November.
Mahkamah juga menyatakan rahsia yang dibocorkan itu mungkin telah menyebabkan “kerosakan serius kepada keselamatan negara dan menimbulkan risiko kepada sumber maklumat”.
Bahkan, kebocoran itu boleh menjejas usaha membebaskan tebusan yang masih ditahan Hamas di Gaza.
Encik Netanyahu telah menafikan sebarang salah laku oleh kakitangan pejabatnya dan berkata dalam satu kenyataan pada 2 November bahawa beliau dimaklumkan mengenai dokumen yang bocor itu hanya oleh pihak media.
Empat suspek – seorang jurucakap daripada kalangan Encik Netanyahu dan tiga anggota pertubuhan keselamatan – tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen.
Butiran daripada dokumen berkenaan telah diterbitkan oleh akhbar Bild Jerman pada 6 September, lapor akhbar Israel Haaretz, salah satu media yang telah merayu kepada mahkamah supaya menarik balik perintah tersebut.
Artikel itu, yang dilabel sebagai eksklusif, kononnya menggariskan strategi rundingan Hamas yang telah diperangi Israel di Gaza selama lebih setahun.
Pada masa itu, Amerika Syarikat, Qatar dan Mesir sedang mengusahakan rundingan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas yang merangkumi perjanjian membebaskan tebusan yang ditahan di Gaza.
Tetapi rundingan itu goyah dengan Israel dan Hamas mempersalahkan satu sama lain atas kebuntuan itu.
Ia diterbitkan beberapa hari selepas enam tebusan Israel ditemui dibunuh dalam terowong Hamas di selatan Gaza.
Pembunuhan mereka mencetuskan bantahan besar-besaran di Israel oleh keluarga tebusan, yang menuduh Encik Netanyahu menggagalkan rundingan gencatan senjata atas sebab politik.
“Orang-orang ini telah hidup di atas khabar angin dan separuh benar,” kata peguam keluarga tebusan, Cik Dana Pugach.
“Sejak 2023 mereka telah menunggu untuk mendengar sebarang risikan atau maklumat mengenai rundingan bagi pembebasan tebusan.
“Jika beberapa maklumat itu telah dicuri daripada sumber tentera maka kami berpendapat bahawa keluarga tersebut mempunyai hak untuk mengetahui butiran yang berkaitan,” ujar beliau.
Dalam sesi lain mengenai siasatan oleh perkhidmatan keselamatan domestik Shin Bet, polis dan tentera, mahkamah pada 3 November memerintahkan supaya seorang suspek dibebaskan, sambil menahan yang lain dalam reman. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg