Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS: Pelan pemulihan Gaza negara Arab tidak penuhi jangkaan Trump

Mar 7, 2025 | 10:16 AM
Penduduk Palestin di utara Jaluran Gaza berkumpul di antara runtuhan bangunan yang musnah untuk berbuka puasa bersama sempena bulan suci Ramadan pada 6 Mac.
Penduduk Palestin di utara Jaluran Gaza berkumpul di antara runtuhan bangunan yang musnah untuk berbuka puasa bersama sempena bulan suci Ramadan pada 6 Mac. - Foto EPA-EFE

KAHIRAH: Jabatan Negara Amerika Syarikat menyatakan rancangan yang ketuai Mesir bagi masa depan Gaza tidak memenuhi jangkaan Presiden Donald Trump, yang telah mencadangkan pemindahan besar-besaran penduduk Palestin dari wilayah Palestin itu.

Perjanjian yang dicadangkan itu “tidak memenuhi syarat, sifat, apa yang diminta oleh Presiden Trump”, kata jurucakap Jabatan Negara, Cik Tammy Bruce, kepada wartawan pada 6 Mac.

“Ia tidak memenuhi jangkaan,” katanya.

Beliau bercakap sejurus selepas penasihat utama Encik Trump bagi Timur Tengah, Encik Steve Witkoff, memberikan pandangan lebih positif mengenai inisiatif Mesir itu tanpa menyokong butirannya.

“Kita memerlukan lebih banyak perbincangan, tetapi ini adalah satu langkah awal yang dibuat secara ikhlas oleh Mesir,” kata Encik Witkoff di Rumah Putih.

Encik Trump telah mengemukakan cadangan mengambil alih Semenanjung Gaza dan memindahkan penduduknya ke tempat lain, satu idea yang mendapat kecaman meluas di seluruh dunia.

Pemimpin negara Arab sedang mendapatkan sokongan bagi rancangan alternatif yang akan membiayai pembinaan semula Gaza melalui sebuah dana amanah.

Dalam satu kenyataan lantang di media sosial, Encik Trump memberi amaran kepada penduduk Gaza mereka akan berdepan risiko “dimusnahkan” sekiranya Hamas tidak membebaskan tebusan Israel, sementara rundingan gencatan senjata dengan Israel masih belum menemui jalan penyelesaian.

Menurut Encik Witkoff, kenyataan Encik Trump itu mungkin memberi isyarat bahawa tindakan bersama terhadap Hamas akan diambil.

“Saya rasa akan ada tindakan. Ia boleh berlaku secara bersama dengan Israel. Hamas mempunyai peluang bertindak secara rasional, melakukan perkara betul, dan kemudian berundur,” ujar Encik Witkoff.

Pentadbiran Trump secara rasmi menolak rancangan pemulihan Gaza yang disokong negara Arab itu, dengan alasan beliau tetap berpegang pada visinya mengusir penduduk Palestin dari Gaza dan menjadikannya kawasan pelancongan yang dikawal oleh Amerika.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara Amerika, Encik Brian Hughes, menyatakan cadangan semasa itu tidak menangani hakikat Gaza tidak lagi sesuai didiami.

“Presiden Trump berpegang teguh dengan visinya untuk membina semula Gaza tanpa Hamas. Kami menantikan perbincangan lanjut bagi membawa keamanan dan kemakmuran ke rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Rancangan Mesir, yang mendapat sokongan pemimpin Arab, mencadangkan Hamas melepaskan kuasa kepada sebuah pentadbiran sementara sebelum Penguasa Palestin (PA) mengambil alih wilayah itu. Ia membenarkan penduduk Palestin kekal di Gaza, bertentangan dengan rancangan Encik Trump yang mahukan mereka dipindahkan.

Dalam satu sidang media di Kahirah, Presiden PA, Encik Mahmoud Abbas, berkata pilihan raya umum akan diadakan di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmakdis Timur sekiranya keadaan mengizinkan.

Usul negara Arab bernilai AS$53 bilion ($70.6 bilion) itu merancang membangunkan semula Gaza menjelang 2030. Fasa pertama melibatkan membersihkan lebih 50 juta tan runtuhan akibat serangan udara dan tentera Israel.

Sumber rasmi Jordan memaklumkan bahawa rancangan itu akan dibentangkan kepada Encik Trump dalam beberapa minggu akan datang. Namun, sejauh mana sokongan serantau terhadap rancangan itu belum dapat dipastikan.

Pemimpin Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), dua negara kaya yang sokongannya amat penting, tidak menghadiri sidang kemuncak rancangan masa depan Gaza itu. Presiden Algeria, Encik Abdelmadjid Tebboune, memboikotnya kerana berpendapat ia dikuasai segelintir negara Arab saja.

CNN melaporkan dokumen yang diperoleh menunjukkan rancangan itu termasuk membangunkan pusat beli-belah, pusat konvensyen antarabangsa serta lapangan terbang dalam lima tahun. Ia juga menggariskan usaha menarik pelancong dengan membangunkan pusat peranginan serta memperindah pantai Mediterranean di Gaza.

Bagaimanapun, rancangan itu menghadapi cabaran besar berhubung perlucutan senjata Hamas. Pemimpin kanan Hamas, Encik Sami Abu Zuhri, dalam satu temu bual bersama Reuters berkata senjata pejuang Palestin tidak boleh dipertikaikan.

“Senjata pertahanan adalah garis merah dan bukan sesuatu yang boleh dirundingkan,” katanya.

Hamas sebelum ini mengisyaratkan kesediaan mempertimbangkan perlucutan senjata sebagai sebahagian proses damai, tetapi menolak menjadikannya sebagai syarat awal dalam rundingan.

Dalam satu kenyataan pada Februari, pegawai kanan Hamas, Encik Osama Hamdan, menyatakan kumpulan itu tidak akan melepaskan senjata dan mungkin semakin berkembang selepas perang Gaza.

Pegawai Hamas, Encik Husam Badran, berkata pihaknya bersedia tidak lagi mentadbir Gaza tetapi keputusan itu perlu dibuat oleh rakyat Palestin sendiri tanpa campur tangan pihak luar.

“Selagi ada konsensus nasional, Hamas tidak akan terlibat dalam pemerintahan,” katanya kepada Al Arabiya.

Ketika ini, gencatan senjata di Gaza yang bermula pada Januari dalam keadaan tidak menentu selepas fasa pertamanya tamat 1 Mac. Israel pula dilaporkan menyokong cadangan Amerika untuk memanjangkan gencatan senjata serta pembebasan tebusan yang ditawan oleh Hamas dalam serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.

Namun, tindakan Israel yang menyekat kemasukan makanan, bahan api dan perubatan ke Gaza bagi menekan Hamas menerima perjanjian itu menimbulkan kebimbangan akan kembalinya konflik bersenjata.

Bercakap di sidang kemuncak bagi mengumumkan pelan masa depan Gaza, Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah el-Sissi, menegaskan bahawa tiada keamanan sebenar selagi negara Palestin tidak diwujudkan. “Tidak akan ada keamanan sejati tanpa pembentukan negara Palestin yang berdaulat,” kata Encik Sissi.– Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg