Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Negara Arab sokong pelan pemulihan menyeluruh Gaza

Sidang Puncak Arab di Kahirah tetapkan pelan Mesir dengan penyelarasan penuh negara Palestin dan negara-negara Arab
Mar 5, 2025 | 10:23 AM
Foto edaran Istana Diraja Hasyimiah menunjukkan (depan, dari kiri) Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa; Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah Al-Sisi; Raja Jordan, Raja Abdullah II; dan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas; bergambar bersama dalam sesi foto kumpulan pemimpin Arab yang menghadiri Sidang Puncak Tergempar Arab di Ibu Kota Pentadbiran Baru, di timur Kahirah, Mesir, pada 4 Mac.
Foto edaran Istana Diraja Hasyimiah menunjukkan (depan, dari kiri) Raja Bahrain, Raja Hamad bin Isa Al Khalifa; Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah Al-Sisi; Raja Jordan, Raja Abdullah II; dan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas; bergambar bersama dalam sesi foto kumpulan pemimpin Arab yang menghadiri Sidang Puncak Tergempar Arab di Ibu Kota Pentadbiran Baru, di timur Kahirah, Mesir, pada 4 Mac. - Foto EPA-EFE

KAHIRAH: Negara-negara Arab menolak cadangan kontroversi Presiden Donald Trump untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza dan mengubahnya menjadi kawasan pelancongan pantai.

Sebaliknya, mereka memperkenalkan pelan sendiri yang mengekalkan penduduk Palestin di Gaza, membangunkan semula wilayah itu, dan menjadikannya sebahagian dari negara Palestin masa hadapan tanpa penglibatan Hamas dalam pemerintahan.

Cadangan balas itu diumumkan selepas Sidang Puncak Tergempar Arab di Kahirah, Mesir, yang menyaksikan negara-negara Arab meluluskan pelan Mesir untuk memperuntuk dana AS$53 bilion ($70.9 bilion) bagi pemulihan Gaza.

Kenyataan akhir sidang puncak itu menetapkan bahawa pelan yang dikemukakan oleh Mesir dengan penyelarasan penuh Negara Palestin dan negara-negara Arab, adalah berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Bank Dunia serta Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pemulihan awal dan pembinaan semula Gaza sebagai satu rancangan menyeluruh Arab.

Kenyataan itu turut menegaskan penolakan terhadap sebarang usaha untuk memindahkan penduduk Palestin dari tanah air mereka “atas apa jua alasan atau dalam apa jua keadaan”.

Menurut Setiausaha Agung Liga Arab, Encik Ahmed Aboul Gheit, pelan itu “menyediakan hala tuju baru bagi kestabilan dan politik Gaza” dan menekankan kepentingan memuktamadkan perjanjian gencatan senjata.

Bagaimanapun, Kementerian Luar Israel segera menolak cadangan tersebut dengan menyatakan bahawa ia adalah “lapuk” dan tidak mengiktiraf ancaman Hamas terhadap Israel serta rantau tersebut.

Sebaliknya, Hamas mengalu-alukan rancangan pemulihan itu dan menegaskan bahawa rakyat Palestin harus kekal di Gaza.

Dalam pelan yang dibentangkan, Gaza akan ditadbir oleh jawatankuasa khas yang terdiri daripada pakar teknokrat dan tokoh bebas yang tiada kaitan dengan Hamas.

Presiden Mesir, Encik Abdel Fattah el-Sisi, menjelaskan bahawa pelan itu bertujuan “memulihkan Gaza secara menyeluruh dengan pendekatan yang terangkum tanpa perlu menggantikan penduduknya”.

Sidang Puncak Arab itu turut memaklumkan bahawa satu jawatankuasa undang-undang Arab ditugaskan untuk mengkaji klasifikasi pemindahan penduduk Palestin sebagai sebahagian daripada jenayah genosid.

Sumber daripada sidang puncak menambah, Hamas dikatakan bersedia menyerahkan kawalan pentadbiran awam kepada jawatankuasa tadbir urus baru selagi masa depan Gaza ditentukan berdasarkan “kesepakatan nasional Palestin”.

Bagaimanapun, pelan itu tidak menyebut secara khusus bagaimana Hamas akan melucutkan senjata, satu isu yang masih menjadi pertikaian utama dalam perbincangan antarabangsa.

Meskipun usaha diplomatik Arab semakin meningkat, keadaan di Gaza masih genting.

Gencatan senjata yang telah berlanjutan selama enam minggu kini tergugat selepas Israel menyekat bantuan kemanusiaan dan barangan dari memasuki Gaza pada 2 Mac.

Tindakan itu dilihat sebagai cara untuk memaksa Hamas agar bersetuju dengan lanjutan gencatan senjata tanpa syarat tambahan.

Sidang puncak Kahirah disertai oleh wakil dari 22 negara anggota Liga Arab, Setiausaha Agung PBB dan Presiden Majlis Eropah.

Bagaimanapun, kehadiran pemimpin dari negara Teluk seperti Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi persoalan apabila mereka hanya menghantar wakil, sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai sejauh mana sokongan Arab terhadap pelan Mesir itu.

Sementara itu, pemimpin Palestin, Encik Mahmoud Abbas, menyatakan kesediaannya untuk mengambil alih semula pentadbiran Gaza di bawah Penguasa Palestin (PA), yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Encik Abbas turut mencadangkan pilihan raya Palestin yang telah lama tertangguh bagi memperkukuh semula landskap politik di Gaza dan Tebing Barat.

Namun, Encik Abbas, yang dilihat semakin hilang sokongan dalam kalangan rakyat Palestin perlu meyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa beliau mampu memimpin Gaza dengan berkesan.

Seorang diplomat Arab yang enggan dikenali berkata:

“Negara Arab mahu mengelakkan sebarang perubahan demografi di Gaza kerana ini akan menggagalkan matlamat negara Palestin.

“Kami mahukan penyelesaian yang adil dan tidak mengabaikan hak rakyat Palestin.”

Kenyataan Sidang Puncak Arab itu turut mengecam keputusan terbaru Israel untuk menghentikan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza dan menutup laluan yang digunakan bagi bantuan, sambil menegaskan bahawa tindakan itu adalah “pelanggaran terhadap perjanjian gencatan senjata, undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa”.

Ia turut menyuarakan penolakan terhadap pelaksanaan sekatan dan kebuluran oleh Israel sebagai “alat untuk mencapai matlamat politik.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg