RIYADH: Negara-negara Arab mengadakan pertemuan pada 21 Februari untuk mengemukakan cadangan alternatif bagi Gaza sedang Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dan pemimpin Israel terus memperkukuh pelan kontroversinya untuk memaksa keluar semula penduduk Palestin bagi membangunkan kawasan tersebut.
Mesyuarat yang melibatkan negara seperti Mesir, Jordan, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi serta Qatar itu berlangsung sebelum Sidang Puncak Arab yang lebih besar pada 4 Mac.
Menurut Saudi, ia mesyuarat tidak rasmi dan akan diadakan dalam “kerangka hubungan persaudaraan yang rapat antara pemimpin-pemimpin negara-negara tersebut.”
Putera Mahkota Saudi, Mohammed bin Salman, telah menjemput pemimpin negara-negara Teluk bagi mesyuarat itu dan mengetuai usaha negara Arab merangka pelan pemulihan yang berbeza daripada cadangan Encik Trump, lapor agensi berita rasmi Saudi, SPA.
Mesyuarat di Riyadh membincangkan rancangan pembinaan semula Gaza yang dijangka melibatkan pembiayaan AS$20 bilion ($26.7 bilion) untuk membentuk sebuah jawatankuasa baru Palestin, yang terdiri daripada teknokrat dan pemimpin masyarakat.
Mereka dijangka memimpin Gaza bagi menggantikan Hamas.
Menurut sumber diplomatik, mesyuarat itu diharap dapat menjadi titik tolak penting dalam usaha membangunkan semula Gaza dengan pendekatan yang adil, tanpa mengorbankan hak rakyat Palestin untuk kekal di tanah air mereka.
Negara-negara Arab telah berikrar untuk merangka pelan pembinaan semula Gaza sebagai tindak balas kepada cadangan Encik Trump yang mahu memindahkan penduduk Palestin dan menjadikan Gaza sebagai kawasan peranginan antarabangsa.
Pelan Arab itu belum mendapat sokongan sepenuhnya daripada negara Arab, yang mempunyai pandangan berbeza mengenai cara Gaza sepatutnya diperintah.
Walaupun demikian, Mesir berjanji untuk membangunkan Gaza dalam tempoh tiga tahun dan mengatakan bahawa mereka boleh mencapainya dengan lebih baik daripada keadaan sebelum ini.
Perdana Menteri Mesir, Encik Mostafa Madbouly, berkata:
“Kami mempunyai pengalaman dan telah menggunakan pengalaman itu sebelum ini di Mesir.
“Kami yakin kemampuan kami untuk membina semula Gaza dan melaksanakannya dengan cara yang lebih baik daripada keadaan sebelum kemusnahan.
“Sesungguhnya, tiga tahun adalah jangka masa yang munasabah untuk mencapai matlamat ini.”
Pada 17 Februari, Mesir menjadi tuan rumah mesyuarat terbaru Perikatan Sejagat bagi Pelaksanaan Huraian Dua Negara.
Kementerian Luar Mesir menegaskan “komitmen penuh Kahirah untuk melaksanakan huraian dua negara” dalam menyelesaikan konflik Israel-Palestin, serta “keperluan menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka”.
Menurut Bank Dunia, Kesatuan Eropah, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pembinaan semula Gaza memerlukan masa yang lebih panjang.
Perkhidmatan asas seperti kesihatan dan pendidikan dijangka mengambil masa tiga tahun, manakala pembinaan semula sepenuhnya memerlukan 10 tahun dengan anggaran kos lebih AS$50 bilion.
“Kami menyedari bahawa pembinaan semula Gaza adalah perjalanan yang panjang dan kompleks.
“Perkara ini memerlukan pembiayaan antarabangsa dan sokongan untuk pengurusan berkesan, yang tentunya isu yang agak mencabar untuk diselesaikan,” ujar wakil Bank Dunia.
Sumber dari Mesir menyatakan bahawa pembiayaan untuk pelan itu boleh diperoleh melalui sumbangan awam dan swasta, yang kemungkinan besar akan melibatkan negara Teluk Arab serta Kesatuan Eropah.
Selain itu, sebuah persidangan derma antarabangsa untuk Gaza juga dijangka diadakan pada April.
Namun, pelan itu juga mungkin gagal jika Israel yang telah mengawal sempadan Gaza sebelum serangan Hamas pada Oktober 2023 menolak untuk bekerjasama.
Banyak pihak percaya bahawa proses pembinaan semula Gaza hanya akan berjaya jika gencatan senjata yang rapuh itu dapat bertahan, kerana tanpa kestabilan, usaha-usaha tersebut mungkin tersekat. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg