GENEVA: Amerika Syarikat berkata ia telah mencapai kemajuan ketara dalam merangka pelan untuk menamatkan perang di Ukraine semasa satu rundingan pada 23 November.
Namun, tiada persetujuan dicapai tentang cara menjamin keselamatan Kyiv di tengah-tengah ancaman Russia.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, mengetuai rundingan di Geneva itu bersama delegasi peringkat tinggi Ukraine.
Ini selepas Kyiv dan sekutunya menyuarakan kebimbangan mengenai pelan yang disokong Amerika yang mereka lihat sebagai konsesi besar kepada Russia, dan mahukan perubahan.
Encik Rubio berkata persoalan termasuk peranan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) dan jaminan keselamatan untuk Ukraine masih perlu diselesaikan.
Bagaimanapun, pasukannya telah berusaha menghuraikan isu tersebut dalam pelan damai 28 perkara untuk Ukraine yang diperjuangkan Presiden Amerika, Encik Donald Trump.
“Dan kami telah mencapainya dengan cara yang sangat besar,” kata Encik Rubio kepada pemberita.
Terdahulu, Encik Trump berkata Ukraine tidak berterima kasih atas usaha Amerika sepanjang perang mereka dengan Russia, mendorong pegawai Ukraine segera mengucapkan terima kasih kepada Encik Trump atas sokongannya.
Pegawai Eropah menyertai rundingan tersebut lewat pada 23 November selepas merangka versi pelan Amerika yang telah diubah suai untuk Ukraine yang menolak had diusul kepada angkatan tentera Kyiv dan ‘penyerahan’ wilayah yang diusulkan.
Pelan Eropah mencadangkan agar Ukraine diberikan sokongan tentera lebih besar berbanding di bawah pelan Amerika dan rundingan mengenai pertukaran tanah harus bermula dari barisan depan dan bukannya pandangan yang telah ditentukan terlebih dahulu tentang kawasan manakah yang harus dianggap sebagai milik Russia.
Pada 21 November, Encik Trump berkata Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, mempunyai masa sehingga 27 November untuk meluluskan pelan itu yang menyeru Ukraine supaya menyerahkan wilayahnya, menerima had ketenteraannya dan meninggalkan cita-cita untuk menyertai Nato.
Bagi ramai rakyat Ukraine termasuk askar yang berjuang di barisan depan, syarat sedemikian dianggap sebagai penyerahan diri selepas hampir empat tahun berperang dalam konflik paling dahsyat di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
Pada 22 November, Encik Trump berkata cadangan semasa untuk menamatkan perang bukanlah tawaran terakhirnya.
Menurut Encik Rubio, Amerika masih memerlukan masa untuk menangani isu yang belum selesai dan berharap satu perjanjian dapat dicapai menjelang 27 November.
Tetapi ia juga mungkin boleh mengambil masa lebih lama.
Pegawai Amerika dan Ukraine sedang membincangkan kemungkinan Encik Zelensky berkunjung ke Amerika seawal minggu ini untuk membincangkan pelan damai dengan Encik Trump, kata dua sumber yang dekat dengan perkara itu.
Mereka dijangka membincangkan isu paling sensitif dalam pelan damai itu seperti penyerahan wilayah, kata salah satu sumber.
Rundingan antara pegawai Amerika dengan Ukraine bermula dalam suasana tegang sejurus selepas Encik Trump mengadu dalam catatan Truth Social bahawa kepimpinan Ukraine “tidak berterima kasih” kepada Amerika atas usahanya dan Eropah terus membeli minyak Russia.
Encik Rubio menyatakan bahawa rundingan itu mungkin yang terbaik yang pernah diadakan oleh Amerika dengan Ukraine sejak Encik Trump kembali berkuasa.
Beliau berkata perubahan akan dibuat dalam mencari penyelesaian yang boleh disokong oleh Ukraine dan Amerika.
Sejak pelan damai Amerika diumumkan, terdapat kekeliruan tentang siapakah yang terlibat dalam merangkanya.
Sekutu Eropah berkata mereka tidak dirujuk.
Sebelum menuju ke Geneva, Encik Rubio menegaskan dalam wadah X bahawa Washington telah melakar pelan itu itu selepas beberapa senator Amerika mencadangkan sebaliknya. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg