WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan bahawa beliau merancang bertemu Presiden Russia Vladimir Putin di Budapest, Hungary, selepas mendakwa telah mencapai “kemajuan besar” dalam satu panggilan telefon dengan pemimpin Russia itu pada 16 Oktober.
Pengumuman itu dibuat sehari sebelum Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dijadualkan ke Rumah Putih untuk menggesa Washington membekalkan peluru berpandu Tomahawk kepada Kyiv.
Encik Trump tidak menyatakan tarikh pertemuan itu, namun ia bakal menjadi pertemuan kedua beliau dengan Encik Putin sejak kembali ke pejabat Presiden awal 2025.
Kali pertama kedua-dua pemimpin itu bertemu adalah di Alaska pada Ogos lalu, tetapi rundingan tersebut gagal menghasilkan sebarang kemajuan dalam usaha menamatkan pencerobohan Russia ke atas Ukraine.
“Saya percaya kemajuan besar telah dicapai melalui perbualan telefon hari ini (16 Oktober),” kata Encik Trump dalam satu kenyataan di platform Truth Social miliknya.
Kremlin segera mengumumkan bahawa mereka akan “segera memulakan persiapan” untuk sidang puncak tersebut, yang disifatkan sebagai perbualan “sangat jujur dan penuh kepercayaan”.
Pembantu kanan Encik Putin, Encik Yuri Ushakov, berkata panggilan telefon itu dibuat atas inisiatif Moscow.
Beliau memetik Encik Putin sebagai berkata kepada Encik Trump bahawa keputusan Washington untuk memberikan peluru berpandu jarak jauh Tomahawk kepada Ukraine “tidak akan mengubah situasi di medan perang, tetapi akan merosakkan hubungan antara kedua-dua negara secara serius”.
“Bukan sahaja hubungan dua hala akan terjejas, malah peluang untuk penyelesaian damai juga akan semakin pudar,” ujar Encik Ushakov kepada wartawan.
Encik Trump menambah bahawa pegawai tinggi dari kedua-dua negara, termasuk Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, akan mengadakan “mesyuarat awal” minggu depan bagi menetapkan butiran sidang puncak tersebut.
“Presiden Putin dan saya akan bertemu di lokasi yang dipersetujui, Budapest, Hungary untuk melihat sama ada kita boleh menamatkan perang yang ‘tidak bermaruah’ ini antara Russia dan Ukraine,” kata Encik Trump.
Perdana Menteri Hungary Encik Viktor Orban menyambut baik rancangan pertemuan itu dan menyifatkannya sebagai berita baik bagi seluruh dunia.
“Pertemuan yang dirancang antara Presiden Amerika dan Presiden Russia adalah berita baik bagi rakyat dunia yang cintakan keamanan. Kami sudah bersedia!” kata Encik Orban di platform X.
Pemilihan Budapest juga menarik perhatian kerana ia mengelak kemungkinan penahanan Encik Putin oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), yang mengeluarkan waran tangkap ke atasnya atas dakwaan jenayah perang di Ukraine.
Hungary telah mengumumkan pengunduran daripada ICC, namun secara rasmi masih menjadi ahli hingga Jun 2026.
Sementara itu, Encik Zelensky tiba di Washington pada hari yang sama untuk pertemuan pentingnya dengan Encik Trump.
Kedatangannya berlaku dalam suasana yang sukar, kerana panggilan Trump-Putin sehari sebelumnya menimbulkan persoalan tentang hala tuju sokongan Amerika terhadap Ukraine.
Seorang pegawai kanan Ukraine memberitahu AFP bahawa “topik utama perbincangan ialah peluru berpandu Tomahawk,” yang mempunyai jarak sekitar 1,600 kilometer dan dilihat sebagai kunci pertahanan Ukraine terhadap serangan Russia.
Encik Trump dalam catatan di Truth Social berkata beliau akan “membincangkan perbualan saya dengan Presiden Putin, dan banyak lagi perkara lain” bersama Encik Zelensky namun tidak menyebut tentang peluru berpandu tersebut.
“Kami menghargai segala usaha ke arah keamanan, tetapi realitinya Russia masih menggunakan serangan udara sebagai bahasa diplomasi,” kata pegawai Ukraine ke Washington, menuduh Moscow menolak usaha damai melalui “serangan keganasan.”
Encik Trump percaya beliau kini mempunyai momentum untuk menamatkan perang Ukraine selepas kejayaannya menengahi gencatan senjata di Gaza baru-baru ini.
Beliau mendakwa Encik Putin turut mengucapkan tahniah atas kejayaan itu dan yakin kejayaan di Timur Tengah akan “membantu rundingan damai” di Eropah Timur.
Namun penganalisis mengingatkan bahawa harapan sebegini bukan pertama kali muncul.
Pada Ogos lalu, sidang kemuncak di Alaska diharapkan menjadi titik mula kepada perjanjian damai, tetapi Encik Putin enggan berganjak daripada pendirian bahawa Russia harus mengekalkan wilayah yang telah didudukinya.
Encik Trump pernah berjanji untuk menamatkan perang Ukraine dalam masa 24 jam, tetapi realitinya rundingan masih berdepan jalan buntu.
“Kedua-dua pihak bercakap tentang keamanan, tetapi setiap kenyataan mereka membawa nada ugutan,” kata seorang penganalisis dasar luar di Washington.
“Pertemuan di Budapest ini boleh menjadi peluang terakhir, atau satu lagi pentas simbolik tanpa hasil,” katanya. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg