Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sidang Trump-Putin ditangguh selepas Moscow tolak gencatan senjata Ukraine

Oct 22, 2025 | 1:18 PM
sidang puncak Trump, putin, russia, perang ukraine
Sepasang kemeja-T dengan gambar Presiden Russia Vladimir Putin dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dipamerkan untuk dijual di sebuah kedai cenderamata di jalan pelancongan Arbat, pusat bandar Moscow pada 21 Oktober. Pada tarikh sama, Russia mengumumkan bahawa tiada “jangka masa tepat” bagi sidang puncak antara Encik Putin dengan Encik Trump berhubung isu Ukraine. - Foto AFP

WASHINGTON: Sidang puncak yang dirancang antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan Presiden Russia Vladimir Putin telah ditangguhkan pada 20 Oktober selepas Moscow menolak cadangan gencatan senjata segera di Ukraine, sekali gus menjejas usaha rundingan damai yang sedang dirancang.

Seorang pegawai kanan Rumah Putih memaklumkan bahawa tiada rancangan dalam masa terdekat untuk mengadakan pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dengan Presiden Russia Vladimir Putin.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, dan Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov, mengadakan perbincangan telefon yang digambarkan sebagai “produktif” tetapi belum mencapai kesepakatan untuk meneruskan pertemuan secara bersemuka.

“Buat masa ini, tiada perancangan untuk Presiden Trump berjumpa Presiden Putin,” katanya kepada Reuters, sambil menambah bahawa kedua-dua pihak bersetuju menilai semula keadaan sebelum menetapkan tarikh baharu bagi sidang puncak tersebut.

Encik Trump sebelum ini mengumumkan bahawa beliau dan Encik Putin dijadual bertemu di Hungary dalam masa terdekat bagi membincangkan langkah menamatkan perang di Ukraine.

Namun, usaha itu gagal apabila Encik Putin enggan membuat sebarang konsesi, dengan menegaskan Ukraine perlu menyerahkan lebih banyak wilayah sebelum sebarang gencatan dapat dicapai.

“Saya tidak mahu mengadakan pertemuan yang sia-sia,” kata Encik Trump kepada wartawan di Washington.

“Kami sedang meneliti perkembangan terkini dan akan memaklumkan kepada anda dalam tempoh dua hari,” tambahnya.

Encik Kirill Dmitriev, utusan pelaburan Kremlin, dalam satu kenyataan media sosial berkata, “Persiapan untuk sidang kemuncak masih diteruskan,” meskipun tiada tarikh ditetapkan.

Menurut dua pegawai Amerika, Russia telah menghantar satu dokumen tidak rasmi kepada Washington yang mengulangi pendiriannya menuntut kawalan penuh ke atas wilayah Donbas di timur Ukraine.

Syarat itu secara langsung menolak cadangan Encik Trump agar gencatan senjata bermula berdasarkan kedudukan semasa barisan hadapan.

Russia kini menguasai sepenuhnya wilayah Luhansk dan sekitar 75 peratus wilayah Donetsk, yang bersama-sama membentuk kawasan Donbas.

Di Eropah, para pemimpin Kesatuan Eropah menyeru Washington agar kekal bertegas mendesak gencatan senjata segera berdasarkan garisan pertempuran sedia ada.

Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Encik Mark Rutte, dilaporkan terbang ke Washington untuk membincangkan perkara itu dengan Encik Trump pada 22 Oktober.

“Rutte akan membentangkan pandangan Eropah mengenai gencatan senjata dan rundingan damai yang seterusnya,” kata seorang pegawai Barat yang enggan dinamakan.

Encik Trump sebelum ini berharap mengadakan satu lagi sesi berprofil tinggi bersama Encik Putin selepas pertemuan mereka di Alaska pada Ogos lalu gagal membawa sebarang kemajuan.

Namun, mesyuarat persediaan antara Encik Rubio dengan Encik Lavrov yang dijadual di Budapest pada 23 Oktober telah dibatalkan.

Encik Lavrov berkata lokasi dan masa sidang puncak bukan isu utama.

“Yang penting ialah pelaksanaan perkara yang telah dipersetujui di Alaska,” katanya.

Jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov, pula menjelaskan bahawa tiada tarikh yang disahkan.

“Kami perlukan persiapan yang serius untuk sidang kemuncak seperti ini, dan ia akan mengambil masa,” katanya.

Apabila ditanya sama ada Moscow mempunyai tarikh khusus untuk sidang puncak, Encik Peskov menjawab ringkas: “Tidak, tiada tarikh ditetapkan.”

Walaupun tiada pihak secara rasmi membatalkan rancangan sidang puncak itu, dua diplomat kanan Eropah menganggap penangguhan mesyuarat Rubio-Lavrov sebagai isyarat bahawa Amerika semakin berhati-hati untuk meneruskan pertemuan jika Russia tidak mengendurkan tuntutannya.

“Saya rasa pihak Russia meminta terlalu banyak dan Amerika menyedari bahawa tiada sebarang persetujuan yang mungkin dicapai di Budapest,” kata seorang diplomat.

Seorang lagi menambah: “Moscow enggan berkompromi. Mereka tidak bersetuju untuk ‘berhenti di tempat mereka berada’. Saya percaya Lavrov memberi alasan sama, dan Rubio mungkin sudah berputus asa.”

Negara-negara Eropah sekutu Ukraine menyuarakan kebimbangan bahawa Encik Trump mungkin bertemu Encik Putin tanpa mendapatkan sebarang konsesi penting daripada Moscow.

Dalam kenyataan bersama pada 21 Oktober, Britain, Perancis, Jerman dan Kesatuan Eropah (EU) menyatakan sokongan terhadap pendirian Encik Trump bahawa pertempuran perlu dihentikan segera dan garisan semasa harus dijadikan asas rundingan.

Selepas bertemu Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky di Rumah Putih pada 17 Oktober, Encik Trump menegaskan bahawa gencatan senjata mesti dimulakan berdasarkan kedudukan tentera pada masa ini, satu pendirian yang disambut baik oleh Kyiv.

Walaupun laporan media mendakwa pertemuan Trump-Zelensky berlangsung tegang dan penuh tekanan, Encik Zelensky menggambarkannya sebagai kejayaan diplomatik kerana Amerika akhirnya menyokong cadangan Ukraine.

Dalam minggu ini, pemimpin Eropah dijadual bertemu Encik Zelensky dalam dua sidang penting – satu di bawah Kesatuan Eropah dan satu lagi mesyuarat “gabungan sukarela” negara-negara yang membincangkan pasukan keselamatan antarabangsa pasca perang. Russia menolak sebarang rancangan untuk pasukan keselamatan antarabangsa seperti itu.

Pemilihan Budapest sebagai lokasi sidang puncak turut menimbulkan perdebatan dalam EU memandangkan Perdana Menteri Hungary Encik Viktor Orban dikenali sebagai sekutu rapat Moscow. Sebarang perjalanan Encik Putin ke Budapest akan memerlukan pesawatnya melintasi ruang udara Eropah.

Poland memberi amaran bahawa ia boleh menahan Encik Putin jika pesawatnya melalui ruang udara negara itu, manakala Bulgaria berkata ia bersedia membenarkan laluan tersebut. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg