Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS rampas 2 kapal tangki, rangka pelan jualan minyak Venezuela

Jan 8, 2026 | 12:22 PM
Marco Rubio, Pete Hegseth, donald trump, venezuela, Nicolas Maduro
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio (tengah), bersama Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth (kiri), bercakap kepada wartawan selepas memberi taklimat kepada Senator Amerika mengenai penahanan Presiden Venezuela, Encik Nicolas Maduro, di Bangunan Capitol Amerika di Washington, DC, pada 7 Januari. Selepas sesi taklimat tersebut, pegawai pentadbiran Presiden Encik Donald Trump dijangka memberi taklimat kepada anggota Dewan Perwakilan. - Foto EPA

WASHINGTON: Amerika Syarikat meningkatkan tekanan terhadap Venezuela apabila tentera negara itu merampas dua kapal tangki minyak di perairan antarabangsa.

Ia termasuk sebuah kapal yang mengibarkan bendera Russia, hanya beberapa jam sebelum Setiausaha Negara Amerika membentangkan rancangan menyeluruh untuk masa depan ekonomi Venezuela bagi penguasaan hasil minyak negara itu.

Rampasan kapal berbendera Russia itu menandakan peningkatan ketegangan dengan Moscow, susulan penyingkiran sekutu rapatnya, Encik Nicolas Maduro, dalam operasi ketenteraan Amerika di Caracas awal Januari.

Tentera Amerika dalam satu kenyataan menyatakan kapal tersebut ‘dirampas’ di Lautan Atlantik Utara, di antara Scotland dengan Iceland, kerana melanggar sekatan Amerika.

Menurut pihak tentera, kapal berkenaan tidak membawa minyak ketika dirampas, namun sebelum ini cuba belayar ke Venezuela untuk mengambil minyak mentah dan telah mengelak daripada dikesan pasukan Amerika selama lebih dua minggu.

Kementerian Pengangkutan Russia mengesahkan pasukan Amerika menaiki kapal itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Bella 1 dan kini dinamakan Marinera, di perairan antarabangsa, sambil memaklumkan hubungan dengan kapal tersebut terputus.

Dalam kenyataan berasingan, tentera Amerika turut mengumumkan penahanan sebuah lagi kapal tangki tanpa kewarganegaraan, M Sophia, yang didakwa sebahagian daripada ‘armada gelap’ dan sedang menjalankan kegiatan haram di perairan Caribbean.

Kapal tersebut kini diiringi ke Amerika.

Di Washington, Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio, menggariskan pelan tiga peringkat untuk Venezuela, sambil menegaskan pentadbiran Amerika “tidak bertindak secara terburu-buru”.

Menurutnya, langkah pertama ialah menstabilkan Venezuela dengan merampas dan menjual antara 30 juta dengan 50 juta tong minyak Venezuela, dengan Amerika mengawal sepenuhnya bagaimana hasil jualan itu diagihkan.

“Amerika, bukan kepimpinan sementara Venezuela, akan menentukan bagaimana dana itu digunakan,” katanya kepada wartawan.

Langkah kedua, jelas Encik Rubio, ialah memastikan syarikat Amerika dan Barat mendapat akses kepada pasaran Venezuela ‘secara adil’.

Langkah ketiga pula melibatkan fasa peralihan politik, termasuk penyertaan parti pembangkang, walaupun beliau tidak memperincikan bagaimana proses itu akan dilaksanakan.

“Kami rasa proses ini sedang bergerak ke hadapan dengan cara yang sangat positif,” katanya.

Sementara itu, syarikat minyak milik negara Venezuela, Petroleos de Venezuela, buat kali pertama mengesahkan ia sedang berunding mengenai penjualan minyak mentah kepada Amerika.

Dalam satu kenyataan di media sosial, syarikat itu menyatakan urus niaga tersebut berasaskan rangka kerja komersial yang serupa dengan perjanjian sedia ada bersama syarikat antarabangsa seperti Chevron.

Di Rumah Putih, jurucakap Cik Karoline Leavitt berkata pentadbiran Encik Trump berada dalam “penyelarasan rapat” dengan pihak berkuasa sementara Venezuela, sambil menegaskan keputusan utama negara itu akan ditentukan oleh Amerika.

Encik Trump menyatakan Venezuela akan menggunakan hasil minyak tersebut untuk membeli “hanya produk buatan Amerika”.

“Pembelian itu termasuk produk pertanian Amerika, ubat-ubatan, peranti perubatan, serta peralatan menambah baik grid elektrik dan kemudahan tenaga Venezuela,” kata Encik Trump dalam satu hantaran di media sosial.

“Dengan kata lain, Venezuela komited untuk menjalankan urusan perniagaan dengan Amerika sebagai rakan utama,” katanya.

Encik Trump sebelum ini mengumumkan pada 6 Januari bahawa Venezuela akan menghantar minyak ke Amerika untuk dijual, dengan nilai dianggarkan sekitar AS$2.8 bilion ($3.6 bilion) pada harga pasaran semasa.

Menurut sumber yang mengetahui perkara itu, hasil jualan akan disimpan dalam akaun Perbendaharaan Amerika bagi melindunginya daripada tuntutan pemiutang Venezuela.

Setiausaha Tenaga Amerika, Encik Chris Wright, berkata Amerika perlu mengawal penjualan minyak dan hasilnya untuk tempoh yang tidak ditentukan bagi mendorong perubahan politik dan ekonomi di Venezuela.

“Kami memerlukan pengaruh dan kawalan ke atas jualan minyak itu untuk memacu perubahan yang mesti berlaku di Venezuela,” katanya dalam satu persidangan tenaga di Miami.

Beliau menegaskan Amerika tidak mencuri minyak Venezuela.

“Kami akan memulakan semula penjualan minyak Venezuela di pasaran sejagat, menyimpannya dalam akaun atas nama Venezuela, dan membawa dana itu kembali untuk manfaat rakyat Venezuela,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg