Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyatakan Amerika akan “mengendalikan” Venezuela buat sementara waktu sehingga satu “peralihan yang selamat, wajar dan berhemah” dapat dilaksanakan.
Kenyataan itu dibuat selepas pasukan Amerika menahan Presiden Venezuela, Encik Nicolas Maduro, dalam satu operasi ketenteraan yang jarang berlaku dan membawanya ke New York untuk berdepan pertuduhan berkaitan dadah dan senjata.
Serangan dan penahanan itu menandakan kemuncak kepada kempen tekanan berbulan-bulan oleh Washington terhadap pemerintah Encik Maduro, sekali gus mencetuskan persoalan besar mengenai motif sebenar Amerika, kesahihan undang-undang antarabangsa, serta masa depan Venezuela.
Penglibatan Amerika didorong oleh empat faktor utama: Isu dadah dan dakwaan narco-terrorism (pengganasan berkaitan dadah terkawal); pertikaian keabsahan politik yang berlarutan; tekanan melalui sekatan ekonomi serta kepentingan minyak; dan naratif keselamatan serantau yang menyifatkan Venezuela sebagai punca ketidakstabilan serta jenayah rentas sempadan.
Encik Trump menyalahkan Encik Maduro atas kemasukan ratusan ribu migran Venezuela ke Amerika.
Penghijrahan besar-besaran itu merupakan sebahagian daripada hampir lapan juta rakyat Venezuela yang meninggalkan negara itu sejak 2013 akibat krisis ekonomi, kemerosotan perkhidmatan awam dan penindasan politik.
Tanpa mengemukakan bukti, Encik Trump mendakwa Encik Maduro telah “mengosongkan penjara dan hospital mental” serta “memaksa” tahanan dan pesakit berhijrah ke Amerika.
Dakwaan itu sering diulang Encik Trump sebagai alasan keras terhadap Caracas.
Encik Trump juga menjadikan isu dadah sebagai teras serangannya.
Beliau menuduh Venezuela membanjiri Amerika dengan kokain dan fentanil, walaupun pakar antidadah antarabangsa mempertikaikan dakwaan tersebut.
Pentadbiran Encik Trump telah meletakkan dua kumpulan jenayah Venezuela, iaitu Tren de Aragua dan Cartel de los Soles, dalam senarai Pertubuhan Pengganas Asing oleh Amerika.
Encik Trump turut mendakwa kartel terakhir itu dipimpin oleh Encik Maduro sendiri.
Encik Maduro menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menuduh Amerika menggunakan “perang terhadap dadah” sebagai alasan menyingkirkannya dan menguasai sumber minyak Venezuela.
Pakar antidadah menyatakan Venezuela hanyalah negara transit kecil dalam perdagangan dadah sejagat. Colombia, bukan Venezuela, kekal sebagai pengeluar utama kokain dunia.
Menurut laporan Agensi Penguatkuasaan Dadah Amerika Syarikat (DEA), hampir tiga perempat kokain yang memasuki Amerika melalui laluan Pasifik, manakala hanya sebahagian kecil melalui Caribbean.
Fentanil pula hampir sepenuhnya dihasilkan di Mexico dan dibawa masuk melalui sempadan darat Amerika.
Venezuela tidak disenaraikan sebagai negara sumber fentanil dalam laporan ancaman dadah kebangsaan terbaru DEA.
Sejak Trump memulakan penggal keduanya, tekanan terhadap Caracas meningkat secara berperingkat.
Amerika menggandakan ganjaran bagi maklumat yang membawa kepada penahanan Encik Maduro.
Pada masa yang sama, pasukan Amerika mula menyasarkan kapal-kapal yang dituduh membawa dadah dari Amerika Selatan.
Lebih 30 serangan dilaporkan di Laut Caribbean dan Pasifik, mengorbankan lebih 110 orang.
Pentadbiran Encik Trump mendakwa ia terlibat dalam konflik bersenjata bukan antarabangsa dengan rangkaian pengedar dadah, namun ramai pakar undang-undang antarabangsa menyifatkan sasaran tersebut bukan sasaran ketenteraan yang sah.
Pada Oktober, Encik Trump mengesahkan Agensi Risik Pusat (CIA ) telah diberi kebenaran menjalankan operasi sulit di Venezuela.
Beliau turut mengumumkan sekatan laut sepenuhnya ke atas kapal minyak Venezuela, menjejaskan sumber pendapatan utama pemerintahan Encik Maduro.
Encik Maduro muncul sebagai tokoh penting di bawah Presiden Hugo Chavez.
Bekas pemandu bas dan pemimpin kesatuan itu mengambil alih kuasa pada 2013.
Sepanjang lebih dua dekad, parti pemerintah menguasai Parlimen, badan kehakiman dan suruhanjaya pilihan raya.
Pada pilihan raya 2024, Encik Maduro diisytiharkan menang walaupun pembangkang mendakwa calon mereka, Encik Edmundo González, menang besar.
Pemimpin pembangkang, Cik María Corina Machado, yang dihalang bertanding, memenangi Hadiah Keamanan Nobel pada 2024 atas perjuangannya ke arah peralihan demokrasi.
Venezuela memiliki simpanan minyak mentah terbesar di dunia.
Namun, sekatan antarabangsa, kekurangan pelaburan dan salah urus syarikat minyak negara telah merosakkan sektor tersebut.
Pada 2023, Venezuela hanya menghasilkan 0.8 peratus minyak mentah sejagat.
Negara itu kini mengeksport sekitar 900,000 tong sehari, dengan China sebagai pembeli utama.
Encik Trump menafikan dakwaan tindakan Amerika bertujuan merampas minyak Venezuela.
Namun, kenyataannya mengenai “menyimpan minyak” dari kapal yang dirampas menimbulkan kecurigaan sejagat.
Di bawah Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), penggunaan kekerasan terhadap negara lain dilarang kecuali dalam kes mempertahankan diri atau dengan kelulusan Majlis Keselamatan PBB.
Pengkritik menegaskan tuduhan jenayah tidak membenarkan serangan ketenteraan atau penahanan ketua negara di wilayah asing.
Isu itu kini dibahas di PBB dan dalam politik domestik Amerika.
Kes paling hampir ialah pencerobohan Panama pada 1989 dan penahanan bekas diktator Panama, Jeneral Manuel Noriega.
Namun Venezuela jauh lebih besar, lebih kompleks dan berdepan pemerhatian sejagat yang jauh lebih intensif.
Masa depan Venezuela kekal tidak menentu.
Amerika berdepan pilihan sama ada berundur selepas menyingkirkan Encik Maduro, atau terlibat lebih jauh dalam pembentukan pemerintahan baru.
Kekosongan kuasa di Caracas, risiko penentangan dalaman, tekanan undang-undang antarabangsa dan reaksi kuasa besar seperti Russia dan China akan menentukan sama ada tindakan itu membawa kestabilan atau krisis lebih mendalam.
Yang pasti, operasi itu menjadi ujian terbesar terhadap doktrin dasar luar Encik Trump dan akan membentuk persepsi dunia terhadap peranan Amerika di hemisfera Barat. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg