Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS rancang jual senjata $8b kepada Israel

Jan 4, 2025 | 3:08 PM
Penyokong Houthi berkumpul di Sana’a, Yaman, pada 3 Januari untuk membantah serangan Amerika Syarikat dan Israel yang menyasarkan kemudahan utama yang dikuasai Houthi di Yaman , di tengah-tengah serangan pro-Palestin Houthi terhadap Israel dan perkapalan antarabangsa di laut sekitar Yaman. 
Penyokong Houthi berkumpul di Sana’a, Yaman, pada 3 Januari untuk membantah serangan Amerika Syarikat dan Israel yang menyasarkan kemudahan utama yang dikuasai Houthi di Yaman , di tengah-tengah serangan pro-Palestin Houthi terhadap Israel dan perkapalan antarabangsa di laut sekitar Yaman.  - Foto EPA-EFE

WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Joe Biden telah memaklumkan Kongres mengenai cadangan penjualan senjata bernilai AS$8 bilion ($10.9 bilion) kepada Israel, kata seorang pegawai Amerika Syarikat pada 3 Januari, sedang Washington mengekalkan sokongan kepada sekutunya itu, yang perangnya di Gaza telah membunuh puluhan ribu orang.

Perjanjian itu memerlukan kelulusan daripada jawatankuasa Dewan Perwakilan dan Senat, dan termasuk senjata bagi jet pejuang dan helikopter penyerang serta peluru meriam, laman berita Axios melaporkan sebelum ini.

Pakej itu juga termasuk bom berdiameter kecil dan kepala peledak, menurut Axios.

Jabatan Negara Amerika tidak menjawab permintaan untuk mengulas.

Penunjuk perasaan telah berbulan-bulan menuntut sekatan senjata terhadap Israel, tetapi dasar Amerika sebahagian besarnya kekal tidak berubah.

Pada Ogos 2024, Amerika meluluskan penjualan jet pejuang dan peralatan ketenteraan lain bernilai AS$20 bilion kepada Israel.

Pentadbiran Biden berkata ia membantu sekutunya mempertahankan diri terhadap kumpulan militan yang disokong Iran seperti Hamas di Gaza, Hezbollah di Lebanon dan Houthi di Yaman.

Menghadapi kritikan antarabangsa, Washington menyokong Israel semasa serangannya ke atas Gaza, yang telah menyebabkan hampir kesemua 2.3 juta penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal, mengakibatkan krisis kelaparan dan membawa kepada tuduhan pembunuhan beramai-ramai, yang dinafikan Israel.

Kementerian kesihatan Gaza meletakkan angka kematian lebih 45,000 orang, dengan ramai lagi dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan.

Usaha diplomatik setakat ini gagal menamatkan perang Israel selama 15 bulan di Gaza, yang tercetus selepas serangan militan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober 2023, yang membunuh 1,200 orang dan kira-kira 250 dijadikan tebusan, menurut pengiraan Israel.

Washington, sekutu dan pembekal senjata terbesar Israel, sebelum ini memveto ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai gencatan senjata di Gaza.

Menurut Axios, beberapa wakil parti Encik Biden, Demokrat, mendesak pentadbiran beliau supaya mengena syarat bagi penjualan senjata kepada Israel berdasarkan pengendalian Israel terhadap perang dan situasi kemanusiaan di Gaza, tetapi presiden itu enggan berbuat demikian.

Encik Biden akan meninggalkan jawatan pada 20 Januari, apabila Encik Donald Trump, daripada parti Republikan, menggantikannya.

Kedua-dua mereka adalah penyokong kuat Israel. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg