Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rundingan Israel-Hamas masih gagal capai kata sepakat

Jan 3, 2025 | 11:39 AM
Penduduk Palestin berkumpul untuk menerima makanan yang dimasak di dapur amal di Khan Younis, selatan Gaza, pada 2 Januari sedang perunding Israel meneruskan rundingan di Doha dengan meletakkan pembebasan tebusan sebagai tuntutan utama.
Penduduk Palestin berkumpul untuk menerima makanan yang dimasak di dapur amal di Khan Younis, selatan Gaza, pada 2 Januari sedang perunding Israel meneruskan rundingan di Doha dengan meletakkan pembebasan tebusan sebagai tuntutan utama. - Foto REUTERS

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah memberi kebenaran kepada pasukan perunding Israel agar meneruskan rundingan tidak langsung dengan Hamas di Doha.

Demikian menurut kenyataan pejabatnya pada 2 Januari.

Rundingan itu, yang dikendalikan oleh Qatar, Mesir, dan Amerika Syarikat, diharapkan dapat mencapai kata sepakat berhubung gencatan senjata dan pembebasan tahanan.

Namun, kemajuan masih terbantut.

Rundingan yang berlangsung sejak beberapa minggu lalu menghidupkan kembali harapan.

Bagaimanapun, tuduh-menuduh antara Israel dengan Hamas pada akhir Disember menambah ketegangan, sekali lagi menunda pencapaian kesepakatan.

“Rundingan yang penting ini akan diteruskan oleh delegasi Mossad (agensi perisikan), IDF (Angkatan Pertahanan Israel) dan ISA (Agensi Keselamatan Dalam Negeri) di Doha,” ujar kenyataan pejabat Encik Netanyahu.

Dalam masa yang sama, seorang pegawai Hamas memberitahu bahawa pasukan mereka tiba di Kahirah untuk persediaan sebelum rundingan seterusnya di Doha.

Hamas mendakwa perunding Israel telah memperkenalkan “syarat-syarat baru” yang melambatkan proses.

Sebaliknya, Israel menuduh Hamas sebagai pihak yang mencipta “halangan baru” yang menjejas kesepakatan.

“Jika Hamas terus menahan tahanan dan melancarkan roket ke arah masyarakat Israel, Gaza akan berdepan serangan paling dahsyat dalam sejarahnya,” ancam Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz.

Ancaman itu mencerminkan ketegangan yang semakin meningkat di tengah usaha diplomatik yang belum membuahkan hasil.

Sejak gencatan senjata selama seminggu pada November 2024, rundingan gagal mencapai kemajuan ketara.

Salah satu isu utama adalah keengganan Israel untuk bersetuju dengan gencatan senjata yang berpanjangan.

Selain itu, masa depan pentadbiran Gaza pascaperang turut menjadi titik perbalahan.

Israel menegaskan bahawa ia tidak akan membenarkan Hamas kembali memerintah Gaza.

Pada November 2023, Israel dan Hamas bersetuju dengan satu-satunya gencatan senjata yang pernah berlaku sepanjang pertempuran hampir 15 bulan.

Gencatan senjata selama seminggu itu menyaksikan 80 tebusan Israel dibebaskan sebagai pertukaran dengan 240 rakyat Palestin yang ditahan oleh Israel, bersama 25 tebusan lain, kebanyakannya pekerja ladang warga Thailand, turut dibebaskan.

Di Israel, keluarga tahanan yang masih ditahan di Gaza mengkritik Encik Netanyahu kerana dianggap melambatkan proses pembebasan.

Semasa serangan pada 7 Oktober 2023, Hamas telah menculik 251 orang, dengan 96 daripadanya masih berada di Gaza, termasuk 34 yang disahkan mati oleh tentera Israel.

Menurut angka Kementerian Kesihatan Gaza yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serangan balas Israel selepas kejadian itu telah menyebabkan sekurang-kurangnya 45,581 kematian di Gaza, kebanyakannya orang awam.

Walaupun tekanan semakin meningkat, kedua-dua pihak masih bertegas dengan pendirian masing-masing.

Harapan kini bergantung kepada usaha yang dijalankan oleh Qatar, Mesir dan Amerika untuk mencari jalan penyelesaian yang boleh diterima kedua-dua pihak.

Seorang diplomat Qatar yang enggan dikenali berkata: “Kegagalan mencapai kesepakatan ini hanya akan memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza dan meningkatkan ketidakstabilan di rantau ini.”

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg