BAITULMAKDIS: Tentera Israel pada 2 Januari mendedahkan operasi khas pada September lalu yang menyasarkan sebuah tapak pengeluaran peluru berpandu bawah tanah berhampiran Masyaf, Syria.
Tapak itu dikatakan mampu menghasilkan ratusan peluru berpandu tepat untuk digunakan oleh Hezbollah yang disokong Iran.
Leftenan Kolonel Nadav Shoshani berkata tapak tersebut adalah “simbol utama usaha pengilangan Iran di rantau kami”.
Beliau menambah bahawa kemudahan itu dirancang untuk menghasilkan ratusan peluru berpandu strategik setiap tahun, termasuk yang mempunyai jarak sehingga 300 kilometer.
“Prasarana ini hampir mula beroperasi, menjadikannya ancaman segera kepada Israel,” kata Encik Shoshani dalam taklimat kepada wartawan.
Operasi yang dijalankan pada 8 September itu dilabel sebagai salah satu yang paling kompleks dalam beberapa tahun kebelakangan ini oleh Angkatan Pertahanan Israel (IDF).
Operasi malam itu melibatkan puluhan pesawat, 100 anggota pasukan khas yang diterbangkan menggunakan helikopter melakukan serangan udara serentak.
“Pada akhir serangan, pasukan kami berjaya memusnahkan prasarana tersebut, termasuk mesin dan peralatan pengilangannya,” tambah Encik Shoshani.
Tentera IDF turut menyiarkan rakaman yang menunjukkan anggota mereka memasuki terowong yang dilapisi konkrit dan memeriksa dokumen di tapak industri tersebut.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menyifatkan serangan tersebut sebagai “salah satu operasi pencegahan paling penting” dalam usaha mengekang paksi Iran daripada memperkuatkan diri untuk menyerang Israel.
Media Syria melaporkan sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam serangan udara Israel di kawasan barat negara itu pada waktu kejadian.
Israel menuduh pemerintah mantan Presiden Syria, Encik Bashar al-Assad, membantu Hezbollah menerima senjata dari Iran dan menegaskan komitmen mereka untuk menghentikan aliran senjata ke Lebanon.
Ketika pemerintahan Encik Assad semakin lemah pada 2024, Israel memperhebatkan serangan terhadap prasarana tentera Syria dan tapak menghasilkan senjata untuk mengelakkan ia jatuh ke tangan musuh. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg