Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AS rancang kurangkan 1,000 tentera di Syria

Apr 19, 2025 | 7:25 PM
Seorang anggota tentera daripada pakatan pimpinan Amerika Syarikat memegang tangan seorang budak lelaki semasa rondaan bersama dengan Angkatan Demokratik Syria (SDF) di kawasan luar bandar Qamishli di timur laut Syria.
Seorang anggota tentera daripada pakatan pimpinan Amerika Syarikat memegang tangan seorang budak lelaki semasa rondaan bersama dengan Angkatan Demokratik Syria (SDF) di kawasan luar bandar Qamishli di timur laut Syria. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Amerika Syarikat akan mengurangkan kira-kira separuh jumlah tenteranya yang ditempatkan di Syria kepada kurang daripada 1,000 anggota dalam beberapa bulan akan datang, menurut kenyataan Pentagon.

Washington menempatkan tentera di Syria selama beberapa tahun sebagai sebahagian daripada usaha antarabangsa menentang kumpulan IS.

IS muncul daripada kekacauan perang saudara di negara itu dan pernah menguasai wilayah luas di Syria serta negara jiran, Iraq, lebih sedekad lalu.

Kumpulan pemberontak itu mengalami kekalahan besar di kedua-dua negara, namun masih dianggap sebagai ancaman.

“Setiausaha Pertahanan hari ini mengarahkan penyusunan semula pasukan Amerika Syarikat di Syria... ke lokasi tertentu,” kata jurucakap Pentagon, Encik Sean Parnell, dalam satu kenyataan tanpa mendedahkan lokasi terbabit.

“Proses yang dirancang dan berasaskan keadaan semasa ini akan mengurangkan kehadiran tentera Amerika di Syria kepada kurang daripada 1,000 anggota dalam beberapa bulan akan datang,” tambahnya.

Menurut beliau, sewaktu penyusunan semula itu berlangsung... Komando Pusat Amerika “akan terus melancarkan serangan terhadap saki-baki (IS) di Syria”, merujuk kepada komando tentera yang bertanggungjawab ke atas wilayah tersebut.

Presiden Amerika Donald Trump, sejak sekian lama, mempersoalkan kehadiran negara itu di Syria, dan pernah mengarahkan pengunduran tentera semasa penggal pertamanya, namun akhirnya mengekalkan sebahagian pasukan di negara itu.

Ketika pemberontak diketuai kumpulan Islam melancarkan serangan mengejut pada Disember 2024 hingga akhirnya menumbangkan Presiden Syria Bashar al-Assad, Encik Trump menegaskan Washington tidak seharusnya terbabit.

“Syria adalah sebuah kekacauan, bukan sekutu kita, dan Amerika sepatutnya tidak terbabit dalam hal ini.

“Ini bukan perjuangan kita,” tulis EncikTrump, yang ketika itu bakal Presiden di platform Truth Social miliknya. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg