GAZA: Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, menegaskan tentera Israel akan terus kekal di zon penampan yang diwujudkan di Gaza, walaupun selepas tercapainya sebarang penyelesaian bagi menamatkan perang.
Kenyataan tegas itu hadir ketika usaha memperbaharui rundingan gencatan senjata terus menemui jalan buntu.
“Tidak seperti sebelum ini, Angkatan Pertahanan Israel (IDF) tidak akan berundur dari kawasan yang telah dibersihkan dan dikuasai,” kata Encik Katz selepas mengadakan mesyuarat bersama komander tentera.
“IDF akan kekal di zon keselamatan ini sebagai benteng antara musuh dengan masyarakat kami, sama ada dalam keadaan sementara atau kekal – seperti di Lebanon dan Syria,” tambahnya.
Sejak operasi ketenteraan disambung pada 18 Mac, tentera Israel telah mewujudkan zon keselamatan yang meliputi hampir 30 peratus wilayah Gaza.
Ia memaksa lebih dua juta penduduk Palestin berhimpit di kawasan sempit di selatan dan sepanjang pantai.
Di selatan Gaza, tentera Israel kini menguasai bandar sempadan Rafah dan telah mara sehingga ke ‘koridor Morag’ yang menghubungkan timur Gaza dengan Laut Mediterranean.
Mereka juga telah mengembangkan zon penampan ratusan meter ke dalam sempadan, termasuk di kawasan Shejaia berhampiran Bandar Gaza.
Israel mendakwa mereka telah membunuh ratusan anggota Hamas, termasuk beberapa komander kanan sejak operasi ketenteraan dimulakan semula.
Namun, tindakan itu mencetuskan kebimbangan masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara Eropah.
Menurut Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (Ocha), lebih 400,000 rakyat Palestin telah kehilangan tempat tinggal sejak 18 Mac.
Serangan udara dan pengeboman Israel pula telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,630 nyawa.
Pertubuhan perubatan Médecins Sans Frontières (MSF) menyifatkan Gaza kini ibarat “kubur besar”.
Penyelaras kecemasan MSF, Cik Amande Bazerolle, berkata: “Kami sedang menyaksikan secara langsung kemusnahan dan pengusiran paksa seluruh penduduk Gaza.”
Israel kini menghalang sepenuhnya kemasukan bantuan sejak awal Mac dan kata Encik Katz, pihaknya sedang merancang prasarana untuk membolehkan penyaluran bantuan melalui syarikat swasta kelak.
Namun, sekatan bantuan kekal diteruskan.
Encik Katz turut menyatakan Israel akan menyokong rakyat Gaza yang ingin meninggalkan wilayah itu, walaupun belum jelas negara manakah yang sudi menerima mereka.
Di pihak Hamas, kumpulan itu menegaskan sebarang seruan melucutkan senjata adalah “garisan merah” yang tiada tolak ansur bagi pihak mereka.
“Sebarang gencatan senjata tanpa jaminan sebenar untuk menghentikan perang, menarik tentera, menamatkan sekatan dan memulakan pembinaan semula hanyalah perangkap politik,” kata Hamas dalam kenyataan.
Sementara itu, dua pegawai Israel menyatakan tiada kemajuan dicapai dalam rundingan walaupun terdapat laporan media mengenai potensi pertukaran tebusan.
Tekanan terhadap pemerintah Israel turut meningkat dengan tunjuk perasaan rakyat yang menuntut perjanjian untuk membawa pulang tebusan.
Di tengah ketegangan itu, serangan udara Israel pada 16 April mengorbankan sekurang-kurangnya 35 rakyat Palestin.
Salah satu serangan di Khan Younis membunuh 10 orang termasuk, Cik Fatema Hassouna, penulis yang juga jurugambar terkenal yang banyak mendokumentasikan peperangan.
Kementerian Kesihatan yang dikendalikan Hamas berkata sekatan bahan api, makanan dan ubat-ubatan semakin menjejas operasi hospital yang masih berfungsi.
“Ratusan pesakit dan mangsa tercedera kini tidak dapat mengakses ubat-ubatan penting, dan penderitaan mereka semakin parah akibat penutupan lintasan sempadan,” kata kementerian itu.
Timbalan Pengarah Operasi, Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Encik John Whyte, di Gaza berkata:
“Bantuan yang masuk semasa gencatan senjata sebelum ini kini hampir habis.
“Kami berdepan kemungkinan kebuluran sekali lagi. Setiap hari yang berlalu tanpa penyelesaian, membawa Gaza lebih dekat kepada bencana kemanusiaan sepenuhnya yang boleh dielakkan.” – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg