Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Assad larikan kekayaan negara sebelum rejim tumbang

Apr 17, 2025 | 4:59 PM
Imej satelit yang dianalisis oleh Reuters menunjukkan jet C5-SKY sedang bergerak menuju ke landasan sebelum berlepas dari Syria di Pangkalan Udara Hmeimim pada 8 Disember 2024.
Imej satelit yang dianalisis oleh Reuters menunjukkan jet C5-SKY sedang bergerak menuju ke landasan sebelum berlepas dari Syria di Pangkalan Udara Hmeimim pada 8 Disember 2024. - Foto REUTERS

DAMSYIK / LONDON / DUBAI: Ketika kuasa pemerintahannya di Syria semakin rapuh akibat tekanan daripada pasukan penentang yang mara ke ibu kota, Bashar al-Assad – yang memerintah dengan tangan besi selama 24 tahun – dilaporkan menggunakan jet peribadi untuk melarikan wang tunai, barangan berharga dan dokumen sulit ke Amiriah Arab Bersatu (UAE).

Operasi rahsia ini disusun oleh penasihat ekonomi kanan Assad, Yasar Ibrahim, yang memainkan peranan penting dalam membentuk rangkaian entiti korporat yang digunakan oleh bekas presiden itu untuk mengawal sektor ekonomi utama negara.

Ibrahim, yang turut mengetuai pejabat ekonomi presiden, sebelum ini dikenakan sekatan oleh Barat kerana didakwa menjadi proksi utama Assad dalam urusan kewangan dan pelaburan.

Menurut siasatan terperinci agensi berita Reuters, operasi tersebut dijalankan dalam tempoh 48 jam sebelum kejatuhan Damsyik.

Jet Embraer Legacy 600 bernombor pendaftaran C5-SKY, yang didaftarkan di Gambia, telah membuat empat penerbangan ulang alik antara Syria dan Abu Dhabi, membawa serta wang tunai, dokumen sulit, dan sekumpulan kecil individu termasuk ahli keluarga Assad, pegawai istana, dan pengiring.

Sumber termasuk kakitangan lapangan terbang, bekas pegawai perisikan, dan individu dalam rangkaian perniagaan Assad mendedahkan bahawa jet peribadi yang digunakan dalam operasi itu membawa beg hitam tanpa sebarang tanda pengenalan. Di dalam beg tersebut dipercayai terdapat wang tunai sekurang-kurangnya AS$500,000 ($656,000), selain dokumen penting, komputer riba dan pemacu keras.

Peralatan digital dan dokumen tersebut mengandungi maklumat sensitif berkaitan “The Group” – kod nama yang digunakan oleh Assad dan penasihatnya, Yasar Ibrahim, merujuk kepada rangkaian entiti korporat yang mengawal pelbagai sektor utama ekonomi Syria seperti telekomunikasi, hartanah, perbankan dan tenaga. Rangkaian ini dipercayai berperanan penting dalam menyalurkan kekayaan negara kepada kepentingan peribadi keluarga dan sekutu rapat Assad.

Menurut rekod penerbangan dan imej satelit yang diteliti Reuters, penerbangan terakhir pesawat tersebut berlepas dari Pangkalan Udara Hmeimim, yang dikendalikan tentera Russia di Latakia, pada 8 Disember – hari yang sama Assad dilaporkan meninggalkan Syria menuju ke Russia, di mana beliau kini diberikan suaka politik.

Kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik diperketatkan oleh pasukan Perisikan Tentera Udara Syria dan Pengawal Republik semasa operasi berlangsung, menurut enam saksi yang berada di lokasi. Menurut seorang bekas anggota kanan Pengawal Republik, penglibatan mereka membuktikan operasi itu dijalankan dengan arahan langsung daripada Assad.

Menurut Mohammed Qairout, Ketua Operasi Darat Syrian Air, ketua keselamatan lapangan terbang, Brigadier Jeneral Ghadeer Ali, mengarahkan kakitangan agar tidak mempersoalkan apa-apa mengenai ketibaan pesawat tersebut. “Anda tidak pernah melihat pesawat ini,” kata Ali kepada mereka.

Pesawat tersebut berlepas dari Dubai ke Damsyik pada 6 Disember dan seterusnya ke Abu Dhabi, sebelum kembali semula untuk tiga penerbangan berikutnya. Kakitangan lapangan terbang menyaksikan kereta-kereta dengan cermin gelap memasuki kawasan VIP lapangan terbang sebelum setiap pesawat berlepas.

Penerbangan kedua membawa karya seni seperti lukisan dan arca kecil. Penerbangan ketiga dilaporkan membawa pemacu data dan dokumen kewangan yang merinci pemilikan syarikat, urus niaga luar pesisir, dan catatan mesyuarat berkaitan empayar korporat Assad.

Kenderaan milik kedutaan UAE di Damsyik turut kelihatan di kawasan itu, mencetuskan spekulasi bahawa UAE mengetahui tentang operasi tersebut.

Penerbangan terakhir pada 8 Disember berhenti sebentar di pangkalan tentera Hmeimim di Latakia. Imej satelit Planet Labs yang dirakam pada pukul 9:11 pagi menunjukkan jet tersebut berada di landasan.

Jet itu juga membawa Ahmed Khalil Khalil – sekutu rapat Ibrahim – yang dipercayai membawa wang tunai sebanyak AS$500,000, menurut mesej WhatsApp dan sumber dalaman.
Wang itu dilaporkan telah dikeluarkan dua hari lebih awal dari Syria International Islamic Bank melalui akaun syarikat Al-Burj Investments, yang dimiliki 50 peratus oleh Ibrahim, menurut rekod rasmi tahun 2018.

Khalil menaiki jet itu dari Hmeimim ke Abu Dhabi dengan menggunakan kenderaan perisai milik Kedutaan UAE.

Jet C5-SKY dipercayai disewa melalui sistem ‘dry lease’ daripada usahawan Lebanon, Mohamad Wehbe, yang memiliki Flying Airline FZCO – sebuah syarikat berdaftar di Zon Bebas Dubai. Wehbe sebelum ini memuat naik gambar jet tersebut di laman LinkedIn dan mengiklankannya untuk dijual pada Januari lalu.

Namun, beliau menafikan sebarang penglibatan dalam operasi keluar masuk pesawat itu dari Syria, dan berkata pesawat tersebut hanya disewa sesekali daripada seorang broker.

Wehbe tidak memberikan butiran lanjut tentang identiti broker tersebut dan tidak menjawab pertanyaan sama ada anaknya, Oussama Wehbe, yang turut berada dalam industri penerbangan, terlibat dalam urusan ini. Reuters juga tidak dapat menghubungi pihak-pihak lain dalam syarikat berdaftar di Gambia yang memiliki jet berkenaan.

Pemerintah baharu Syria di bawah Presiden Ahmed al-Sharaa menyatakan bahawa mereka sedang menyiasat semua wang awam yang telah diseludup keluar menjelang kejatuhan rejim Assad. “Kami sedang menentukan ke mana dana ini disalurkan dan berusaha mendapatkan semula kekayaan negara,” kata seorang pegawai kanan kepada Reuters.

Ketika ditanya tentang operasi pemindahan dana dan dokumen ini, Presiden Sharaa enggan mengulas. Namun seorang bekas pegawai perisikan tentera berkata: “Operasi sebesar ini mustahil berlaku tanpa restu Bashar al-Assad sendiri.” - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg