WASHINGTON: Amerika Syarikat mencadangkan agar pelawat asing memberikan rekod media sosial mereka sejak lima tahun lalu untuk memasuki negara ini, termasuk mereka yang berasal dari Australia, Jerman, Jepun dan United Kingdom yang kini boleh masuk tanpa visa.
Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika “menambah media sosial sebagai elemen data wajib” sebagai sebahagian daripada proses saringan untuk pelancong yang memasuki Amerika di bawah Program Pengecualian Visa.
Cadangan itu terkandung dalam notis Jabatan Keselamatan Dalam Negeri yang disiarkan pada 10 Disember. Cadangan itu telah diberikan notis 60 hari dengan permintaan untuk komen.
Ia akan terpakai kepada pelancong dari kira-kira 40 negara yang boleh tinggal di Amerika sehingga 90 hari tanpa visa dan ditapis sebelum melancong di bawah sistem elektronik yang dikenali sebagai ESTA.
Rancangan ini adalah yang terbaru dalam satu siri langkah oleh pentadbiran Presiden Donald Trump yang bertujuan untuk menyekat kemasukan. Ini termasuk larangan perjalanan terhadap kira-kira 30 negara yang diumumkan bulan ini susulan kejadian tembakan dua anggota Pengawal Kebangsaan di Washington.
“Kami mahu memastikan kami tidak membiarkan orang yang salah masuk ke negara kami,” kata Encik Trump pada 10 Disember apabila ditanya mengenai dasar tersebut di Rumah Putih.
Pihak berkuasa persekutuan telah mengenal pasti suspek sebagai warga Afghanistan yang bekerja dengan tentera Amerika dan Agensi Perisikan Pusat (CIA) di Afghanistan sebelum tiba di Amerika pada 2021.
Encik Trump menyalahkan pentadbiran pendahulunya, Encik Joe Biden, kerana membenarkannya masuk ke negara itu dan mendesak had yang lebih ketat ke atas pendatang.
Dalam satu catatan di media sosial susulan kejadian tembakan itu, beliau berkata akan menghentikan sementara penghijrahan dari “semua negara Dunia Ketiga” secara kekal.
Amerika juga akan melancarkan “kajian semula yang komprehensif” terhadap kelulusan yang diberikan kepada warga daripada negara-negara yang memasuki atau selepas permulaan penggal Presiden Biden pada 2021, kata Perkhidmatan Kewarganegaraan dan Imigresen Amerika dalam satu memo dasar.
Jabatan Negara berkata pada Disember bahawa ia akan memperluaskan keperluan semakan media sosial untuk visa H-1B untuk pekerja berkemahiran tinggi, menggesa pemohon dan tanggungan “supaya melaraskan tetapan privasi pada semua profil media sosial mereka kepada ‘awam’”.
Pada Jun, ia mengarahkan semakan terhadap media sosial pemohon visa pelajar. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg