Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura terus pegang pasport paling berkuasa di dunia

Jul 22, 2025 | 6:10 PM
Singapura, pasport, pasport paling berkuasa, Henley Passport Index
Singapura kekal di tangga teratas meskipun mencatat sedikit penurunan berbanding 195 destinasi yang dicatat dalam edisi Januari 2025 Indeks Pasport Henley. - Foto fail

Warga Singapura terus memegang pasport paling berkuasa di dunia, dengan akses tanpa visa atau visa semasa ketibaan ke 193 daripada 227 destinasi di seluruh dunia, menurut Indeks Pasport Henley terkini yang dikeluarkan pada 22 Julai.

Singapura kekal di tangga teratas meskipun mencatat sedikit penurunan berbanding 195 destinasi lain dalam edisi Januari 2025 indeks tersebut.

Singapura kehilangan akses tanpa visa atau visa semasa ketibaan ke Pakistan dan Mauritania selepas kedua-dua negara itu beralih kepada sistem visa elektronik (e-Visa).

Berbeza dengan visa semasa ketibaan, e-Visa memerlukan pelawat untuk mendapatkan kelulusan sebelum berlepas dan ia tidak dianggap sebagai akses bebas visa dalam penilaian indeks itu.

Ini mengurangkan jumlah destinasi yang boleh diakses secara mudah oleh warga Singapura sebanyak dua mata.

Namun, Singapura kekal di tangga teratas memandangkan pasport negara lain yang turut berada di kedudukan tinggi juga terjejas berikutan peralihan pada e-visa, lapor The Straits Times (ST).

Di tangga kedua ialah Jepun dan Korea Selatan, dengan akses ke 190 destinasi. 

Tujuh negara Kesatuan Eropah (EU) berkongsi tempat ketiga dengan akses ke 189 destinasi – iaitu Denmark, Finland, Perancis, Jerman, Ireland, Italy dan Sepanyol.

Afghanistan pula berada di kedudukan paling bawah, iaitu tangga ke-99, dengan rakyatnya hanya boleh mengunjungi 25 destinasi tanpa memerlukan visa awal.

Sejak Januari, India mencatat lonjakan terbesar dalam kedudukan indeks, dengan menaiki lapan anak tangga dari tangga ke-85 ke tangga ke-77, meskipun hanya menambah dua destinasi bebas visa bagi menjadikan jumlah keseluruhan 59 destinasi.

Arab Saudi pula mencatat peningkatan paling ketara dari segi akses bebas visa, dengan tambahan empat destinasi sejak Januari (2025), sekali gus melonjak empat anak tangga ke kedudukan ke-54.

Negara itu kini menikmati akses bebas visa ke 91 destinasi.

Sebaliknya, Britain dan Amerika Syarikat masing-masing mencatat penurunan dalam kedudukan indeks, meneruskan trend menurun jangka panjang. 

Kedua-dua negara itu pernah menduduki tangga teratas pasport paling berkuasa di dunia – Britain pada 2015 dan Amerika pada 2014 – namun masing-masing kini berada di tangga keenam dan ke-10.

Britain menawarkan akses bebas visa ke 186 destinasi, manakala Amerika ke 182 destinasi. 

Amerika pula nyaris-nyaris terkeluar daripada kelompok 10 negara teratas buat kali pertama sejak indeks itu diperkenalkan pada 2006.

Indeks tersebut disusun oleh firma penasihat kerakyatan dan pemastautin sejagat, Henley & Partners, menggunakan data eksklusif daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (Iata).

Ia diterbitkan dua kali setahun, pada Januari dan Julai, serta menjejak jumlah destinasi yang boleh dimasuki pemegang pasport tanpa memerlukan visa awal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg