WASHINGTON/RAMALLAH: Amerika Syarikat dilaporkan sedang mengadakan rundingan dengan Penguasa Palestin (PA) bagi memperkukuh semula hubungan dua hala yang sebelum ini tegang.

Ia merupakan usaha Washington untuk mendapatkan kerjasama Ramallah bagi melaksanakan pelbagai inisiatif utama berkaitan Gaza dan masa depan Palestin.

Menurut beberapa pegawai pemerintah yang dipetik The Times of Israel, pentadbiran Presiden Donald Trump sedang berunding mengenai beberapa perkara penting termasuk penyaluran berbilion dolar hasil cukai Palestin yang kini dibekukan Israel.

Dana itu dicadang disalurkan kepada Lembaga Keamanan, badan yang diwujudkan Washington bagi melaksanakan pelan 20 perkara untuk menamatkan perang Gaza dan membangunkan semula wilayah berkenaan.

Pelan itu turut membayangkan PA akan mengambil alih pentadbiran Gaza selepas melaksanakan pembaharuan menyeluruh dalam sistem pemerintahannya.

Seorang pegawai Palestin berkata Arab Saudi membantu Tebing Barat melaksanakan proses pembaharuan tersebut, yang dianggap penting bagi membuka laluan kepada penubuhan negara Palestin.

Menurutnya, Riyadh melihat pembaharuan PA sebagai syarat utama sebelum hubungan diplomatik dengan Israel dapat dipulihkan.

“Arab Saudi percaya perlu ada laluan yang tidak boleh berpatah balik ke arah penubuhan negara Palestin sebelum pemulihan hubungan dengan Israel berlaku,” katanya.

Pentadbiran Encik Trump dilaporkan menyokong usaha Saudi itu kerana ia seiring dengan matlamat Washington memperluaskan Perjanjian Abraham di Timur Tengah.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Amerika dan PA juga dilaporkan berbincang mengenai Memorandum Persefahaman (MOU) yang akan mengesahkan sokongan kedua-dua pihak terhadap pelan 20 perkara Encik Trump.

Antara kandungan utama dokumen itu ialah komitmen PA terhadap pembaharuan sistem kebajikan dan pendidikan di bawah pemantauan Saudi, selain usaha membendung hasutan anti-Israel.

Sebagai balasan, Amerika dikatakan bersedia mempertimbangkan penarikan sekatan tertentu terhadap PA sekiranya pembaharuan itu berjaya dilaksanakan dan disahkan.

Ramallah turut berharap MOU itu akan membuka jalan kepada pembukaan semula pejabat diplomatik Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) di Washington yang ditutup Encik Trump ketika penggal pertamanya.

Encik Trump menutup pejabat itu selepas PA enggan bekerjasama dengan pelan damai Amerika pada waktu itu, yang dianggap terlalu memihak kepada Israel.

Menurut sumber risikan Timur Tengah kepada agensi berita, Reuters, Washington kini melihat kedudukan PA yang semakin lemah mungkin memaksanya mempertimbangkan semula cadangan damai Amerika yang diperkenalkan pada 2020.

Dalam masa sama, Amerika mahu PA menghentikan usaha membawa konflik Palestin-Israel ke forum antarabangsa dan menarik balik beberapa kes terhadap Israel di mahkamah antarabangsa.

Sebagai balasan, PA meminta Amerika supaya memberikan komitmen menghentikan peluasan penempatan haram Israel dan tindakan terhadap keganasan penduduk haram Yahudi di Tebing Barat.

Rundingan itu diketuai Naib Presiden PA, Encik Hussein al-Sheikh, manakala pihak Amerika diwakili pegawai kanan Jabatan Negara, Encik Aryeh Lightstone, dan Encik Scott Leith.

Turut terlibat secara berkala ialah menantu Encik Trump dan utusan khas Amerika, Encik Jared Kushner.

Mantan Perdana Menteri Britain, Encik Tony Blair, juga dilaporkan membantu melalui penglibatannya dengan Lembaga Keamanan, selain pegawai kanan Saudi, Encik Manal Radwan.

Bagaimanapun, rundingan itu dilaporkan mula menunjukkan kemajuan lebih perlahan dalam beberapa hari kebelakangan ini apabila pegawai Amerika semakin berhati-hati untuk memeterai MOU rasmi.

Sebaliknya, Washington dikatakan mempertimbangkan pertukaran surat rasmi antara Encik Hussein al-Sheikh dengan Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio.

Seorang pegawai Palestin mendakwa keraguan Washington berpunca daripada tekanan Israel yang tidak mahu hubungan Amerika dengan Ramallah dipertingkat.

Israel berulang kali menuduh PA gagal melaksanakan pembaharuan sebenar, terutama berkaitan program kebajikan yang sebelum ini memberi bayaran kepada tahanan Palestin di penjara Israel dan keluarga penyerang yang terbunuh.

PA pada Februari 2025 mengumumkan sistem baharu yang menetapkan bantuan hanya berdasarkan status kewangan penerima, bukannya latar belakang politik atau tempoh hukuman.

Namun, laporan Jabatan Negara Amerika kepada Kongres pada April lalu mendakwa PA masih meneruskan “sistem pampasan yang menyokong keganasan” menerusi mekanisme baharu.

Bagaimanapun, audit bebas yang dipetik diplomat Barat mendapati pembaharuan itu dilaksanakan dengan betul dan bantuan tidak lagi diberikan berdasarkan sama ada ahli keluarga terbabit melakukan serangan terhadap Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, Amerika turut berharap rundingan dengan PA dapat membantu memudahkan pemindahan sebahagian daripada lebih AS$5 bilion ($6.44 bilion) hasil cukai Palestin yang ditahan Israel kepada Jawatankuasa Nasional Pentadbiran Gaza (NCAG).

NCAG ialah jawatankuasa teknokrat Palestin yang dipantau Lembaga Keamanan dan ditugaskan menggantikan pemerintahan Hamas di Gaza sehingga proses pembaharuan PA selesai.

Pada awalnya, PA keberatan kerana dana itu adalah miliknya sendiri, namun akhirnya bersetuju selepas menyedari sebahagian dana lebih baik daripada tidak menerima apa-apa dalam keadaan kewangan yang kian tenat.

Hasil cukai Palestin merupakan sumber utama belanjawan PA, tetapi Israel enggan memindahkan dana itu sejak lebih setahun lalu.

Menteri Kewangan Israel, Encik Bezalel Smotrich, secara terbuka menyokong kejatuhan PA dan menentang pelan 20 perkara Encik Trump untuk Gaza.

Menurut sumber, tiada kemajuan besar dijangka berlaku sehingga selepas pilihan raya Israel pada musim luruh nanti yang mungkin menyaksikan perubahan pemerintah dan menteri kewangan.

Sementara itu, pegawai Amerika menegaskan pembaharuan PA adalah syarat penting untuk mengurangkan kebimbangan keselamatan Israel.

“Pelan 20 perkara presiden dan Ketetapan 2803 Majlis Keselamatan PBB jelas menyatakan PA perlu melaksanakan pembaharuan menyeluruh yang boleh disahkan, termasuk menamatkan semua bayaran kepada pengganas dan keluarga mereka,” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika.

Walaupun hubungan Amerika-Israel dilihat semakin dingin susulan ketegangan berkaitan perang Iran dan konflik dengan Hezbollah, pegawai Palestin percaya keadaan itu mungkin membuka ruang baharu kepada Ramallah untuk memperbaiki hubungan dengan Washington. – Agensi berita.