RAMALLAH: Penguasa Palestin (PA) mengumumkan Pilihan Raya Presiden akan diadakan pada 2027 dalam usaha memperkukuh penyertaan politik dan memperluaskan proses demokrasi rakyat Palestin selepas bertahun-tahun berdepan konflik serta ketidakstabilan politik.

Pengumuman itu dibuat Presiden Mahmoud Abbas menerusi dekri presiden yang disiarkan agensi berita rasmi Palestin, Wafa.

Bagaimanapun, Encik Abbas tidak menetapkan tarikh khusus bagi pilihan raya tersebut selain menyatakan ia akan berlangsung pada 2027.

Dekri itu turut mengesahkan pilihan raya Majlis Kebangsaan Palestin, iaitu Parlimen Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), akan diadakan pada November 2026.

Perkembangan terbaru itu menunjukkan perubahan jadual berbanding kenyataan Encik Abbas sebelum ini yang menyatakan pilihan raya Palestin dijangka berlangsung setahun selepas perang Gaza berakhir, iaitu sekitar Oktober 2026.

Selain pengumuman pilihan raya, Encik Abbas turut memperkenalkan undang-undang baharu yang bertujuan meningkatkan penyertaan politik serta memperluaskan perwakilan demokrasi dalam PA.

Menurut WAFA, antara perubahan penting dalam reformasi itu ialah peningkatan jumlah kerusi legislatif daripada 132 kepada 200 kerusi.

Syarat minimum calon bagi setiap senarai pilihan raya juga dinaikkan daripada 16 kepada 20 orang.

Langkah lain yang turut mendapat perhatian ialah usaha memperkukuh peranan wanita dalam politik Palestin.

Di bawah undang-undang baharu itu, sekurang-kurangnya satu pertiga daripada calon dalam setiap senarai pilihan raya mesti terdiri daripada wanita.

“Langkah ini bertujuan memperkukuh penyertaan wanita dalam institusi politik dan proses demokrasi Palestin,” menurut laporan Wafa.

Selain itu, usia minimum untuk bertanding dalam pilihan raya turut diturunkan daripada 28 tahun kepada 23 tahun bagi memberi peluang lebih luas kepada golongan muda terlibat dalam politik.

Wafa berkata perubahan itu dibuat bagi menggalakkan “penyertaan belia yang lebih meluas dalam proses demokrasi”.

Encik Abbas juga dijangka mengeluarkan dekri berasingan bagi mengadakan pilihan raya Majlis Perundangan Palestin yang dijadualkan berlangsung pada November 2026.

Dalam kenyataan terdahulu, Encik Abbas menyeru rakyat Palestin di Tebing Barat serta luar negara supaya mengambil bahagian dalam pilihan raya dan membantu memperkukuh proses demokrasi Palestin.

Pengumuman itu dibuat ketika tekanan antarabangsa semakin meningkat terhadap PA supaya melaksanakan pembaharuan politik dan institusi.

Sepanjang 2025, beberapa laporan media antarabangsa menyebut bahawa Amerika Syarikat menekan PA supaya melaksanakan reformasi termasuk mengadakan pilihan raya baharu.

Pemerhati politik melihat langkah terbaru Encik Abbas sebagai usaha penting untuk meningkatkan keyakinan rakyat terhadap institusi Palestin selain memperbaharui sistem politik yang telah lama dikritik.

Pilihan raya tempatan Palestin sebelum ini diadakan pada April lalu di Tebing Barat dan Gaza, yang merupakan pilihan raya tempatan pertama sejak serangan Hamas terhadap Israel pada Oktober 2023.

Pilihan raya itu dijalankan berdasarkan dekri terdahulu yang memperkenalkan sistem pilihan raya berasingan bagi majlis perbandaran dan majlis kampung.

Namun,Encik Abbas turut menerima kritikan kerana beberapa kali membatalkan pilihan raya yang pernah diumumkan sebelum ini.

Beliau kini telah memegang jawatan presiden PA selama kira-kira 20 tahun, iaitu 15 tahun melebihi tempoh asal yang sepatutnya memerlukan beliau mendapatkan mandat baharu menerusi pilihan raya.

Walaupun begitu, pengumuman terbaru ini dilihat sebagai isyarat bahawa kepimpinan Palestin mahu membuka ruang lebih luas kepada pembaharuan politik dan penyertaan rakyat.

Penganalisis berkata langkah memperluas penyertaan wanita dan golongan muda boleh memberi nafas baharu kepada landskap politik Palestin yang selama ini didominasi pemimpin lama.

“Reformasi ini mungkin menjadi peluang penting untuk menghidupkan semula sistem politik Palestin dan memberi lebih banyak suara kepada generasi muda,” kata seorang pemerhati politik Asia Barat.

Bagaimanapun, banyak pihak masih menunggu kepastian mengenai tarikh sebenar pilihan raya serta sama ada proses tersebut dapat dilaksanakan secara menyeluruh di Gaza dan Tebing Barat yang masih berdepan cabaran keselamatan serta perpecahan politik.

Dengan rundingan damai serantau dan konflik Gaza masih belum benar-benar stabil, pilihan raya Palestin yang dirancang itu dijangka menjadi perhatian besar masyarakat antarabangsa dalam tempoh dua tahun akan datang. – Agensi berita.